backup og meta

Lelaki Kuat Sentap Mengalahkan Wanita PMS? Jaga-Jaga! Ini Sindrom Lelaki Mudah Jengkel!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/09/2021

    Lelaki Kuat Sentap Mengalahkan Wanita PMS? Jaga-Jaga! Ini Sindrom Lelaki Mudah Jengkel!

    Tahukah anda lelaki juga boleh alami gangguan emosi yang seakan-akan PMS? Rasa moody dan cepat sentap ini selalunya disebabkan oleh hormon lelaki yang tidak stabil.

    Jangan pandang rendah gangguan emosi sebegini! Mungkin perkara ini boleh akibatkan persahabatan, percintaan ataupun pekerjaan anda terganggu.

    Jika, anda ingin tahu lebih lanjut tentang simptom PMS lelaki, jom, ikuti penerangan kami di bawah!

    Betul ke lelaki juga boleh mengalami PMS?

    PMS ataupun premenstrual syndrome merupakan satu keadaan yang mempengaruhi emosi wanita beberapa hari sebelum datang bulan.

    Ketika ini, wanita akan mudah rasa sakit hati, marah dan mungkin merajuk secara tiba-tiba.

    Tetapi, adakah simptom gangguan emosi yang sama juga berlaku kepada kaum Adam?

    Jawapannya, mungkin tidak. Menurut pakar, mereka juga tidak mempunyai bukti bahawa PMS turut berlaku kepada lelaki.

    Walaupun kebanyakan lelaki mengakui kadangkala rasa emosional, namun rasa jengkel dan tidak ada mood secara tiba-tiba ialah perkara normal yang berlaku kepada sesiapa sahaja dan bukannya disebabkan oleh PMS semata-mata.

    Tetapi, walaupun lelaki tidak mungkin menghidap PMS, tapi mereka mungkin boleh mengalami IMS, ataupun irritable men syndrome.

    Apa itu sindrom lelaki mudah jengkel atau irritable men syndrome (IMS)?

    hormon lelaki

    Jika anda pernah mendengar tentang andropaus, ataupun menopaus lelaki, sindrom IMS ialah perkara yang sama dan kedua-dua istilah ini saling digunakan secara bertukar-tukar.

    Sebenarnya, IMS dan andropaus merupakan perkara yang sama. Tetapi, andropaus dan menopaus pula ialah 2 perkara yang amat berbeza.

    Menopaus terjadi akibat daripada penurunan hormon secara tiba-tiba dalam badan wanita. Namun, penurunan hormon secara drastik ini tidak terjadi kepada lelaki.

    Benar, penurunan hormon testosteron juga berlaku kepada kaum Adam.

    Tetapi, penurunan itu berlaku secara perlahan-lahan dalam kadar kurang daripada 2% setahun ketika lelaki dalam lingkungan umur 30 hingga 40 tahun.

    Ini boleh akibatkan lelaki mengalami mood swing dan perubahan dari segi emosi.

    Anda rasa mengalami IMS? Cuba periksa ada tak alami simptom berikut

    Lelaki yang mempunyai sindrom IMS selalunya mengalami penurunan dalam tahap testosteron dalam badan.

    Selain itu, mereka juga alami gangguan emosi. Namun, simptom ini mungkin berbeza bergantung kepada umur lelaki tersebut.

    Secara umumnya, simptom IMS adalah seperti di bawah:

    1. Nafsu seksual rendah.
    2. Disfungsi erektil.
    3. Rasa depres.
    4. Susah untuk fokus dan kerap lupa.
    5. Kepenatan dan kelesuan.
    6. Kerap rasa murung dan jengkel.
    7. Tidak lagi sekuat dahulu.

    Selain itu, simptom lain termasuklah penambahan berat badan, rambut gugur, susah untuk tidur dan juga kadar tenaga yang semakin berkurangan.

    Punca lain yang mungkin sebabkan anda alami gangguan emosi

    Walaupun punca utama IMS ialah tahap hormon lelaki yang rendah, namun banyak lagi punca lain yang boleh menyebabkan lelaki mengalami simptom tersebut.

    Sebagai contoh, mereka juga boleh menghidap:

    • Masalah psikologi seperti stres, kegelisahan dan kemurungan yang mungkin disebabkan oleh masalah dalam pekerjaan ataupun hubungan.
    • Krisis pertengahan umur. Lelaki selalunya mengalami krisis pertengahan umur yang lebih teruk daripada wanita. Mereka selalu rasa risau tentang apa yang mereka telah capai dalam hidup. Kerisauan ini boleh akibatkan lelaki rasa stres dan kadang-kadang sukar untuk tidur malam.
    • Tidak amalkan diet secara sihat dan bersenam. Badan sihat, otak juga sihat! Oleh itu, cuba beralih kepada pemakanan yang sihat dan lakukan senaman ringan sebagai permulaan.
    • Gaya hidup yang tidak sihat. Jika anda gemar minum arak dan merokok, kurang-kurangkanlah ya. Amalan ini akan sebabkan ada alami simptom IMS yang teruk.
    • Hypogonadism. Masalah ini berlaku apabila testis tidak lagi mengeluarkan hormon. Masalah ini boleh jadi daripada lahir ataupun berlaku ketika tua (lebih-lebih lagi jika anda alami berat badan berlebihan atau diabetes tahap 2).

    Apa yang perlu anda lakukan untuk elak gangguan emosi? 

    hormon lelaki

    Jika anda mengalami simptom seperti di atas, sila jumpa doktor anda untuk rawatan lanjut.

    Doktor mungkin akan bertanya tentang latar belakang anda seperti kerja dan juga masalah personal untuk kenal pasti sama ada simptom disebabkan tekanan perasaan ataupun tidak.

    Jika anda didiagnosis mengalami stres yang melampau, ada banyak terapi yang boleh membantu anda. Senaman dan juga meditasi juga boleh bantu anda atasi masalah ini.

    Sindrom IMS akan memberi impak terhadap keyakinan diri, tenaga dan juga dorongan seksual lelaki.

    Oleh itu, lelaki yang mengalami andropaus mungkin akan alami masalah hubungan bersama pasangan mereka.

    Cuba bertenang dan relaks jika anda rasa ingin marah atau meletup. Jangan bertindak mengikut emosi sebagai respons kepada sesuatu situasi.

    Anda juga boleh cuba kaunseling jika rasa sesuai. Namun, jangan pula berhenti setengah jalan!

    Kaunseling boleh bantu anda untuk mengendalikan stres dengan lebih baik. Namun, sesi kaunseling perlu dijalankan sekurang-kurangnya beberapa bulan untuk anda nampak perbezaan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan