backup og meta

Pentingkah Insurans Perjalanan Ketika Bercuti?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 10/09/2021

    Pentingkah Insurans Perjalanan Ketika Bercuti?

    Sewaktu merancang percutian, apakah perkara penting yang menjadi keutamaan? Tiket penerbangan, pasport, duit belanja atau pakaian ketika bercuti? Semua itu penting, tetapi yang paling penting adalah insurans perjalanan.

    Kisah sedih waktu bercuti

    Baru-baru ini, tular satu kes melibatkan seorang ibu hamil enam bulan yang sedang dalam percutian bersama keluarga di Seoul, Korea terpaksa melahirkan bayi pramatang di sana. Lebih malang lagi apabila bayi yang dilahirkan itu meninggal dunia.

    Dalam kesedihan akibat kehilangan bayi itu, keluarga tersebut dikejutkan dengan kos yang perlu ditampung mencecah hampir RM100,000. Kos tersebut melibatkan kos perubatan di hospital serta kos untuk membawa balik jenazah serta tiket penerbangan balik mereka lima sekeluarga.

    Perkara yang sering dianggap remeh

    Insurans perjalanan sering kali merupakan perkara yang paling diabaikan dan dianggap sebagai tidak penting ketika bercuti. Malahan ada yang langsung tidak teringat atau terfikir mengenainya sewaktu merancang percutian.

    Tetapi sebenarnya terdapat beberapa risiko besar yang boleh berlaku ketika travel atau berada di luar negara yang boleh membuatkan anda jatuh terduduk apabila terpaksa menampung kos yang bakal dikenakan. Malahan ia mungkin akan menyebabkan anda terpaksa memohon bantuan untuk menyelamatkan diri anda yang sedang berada di luar negara.

    Jom kenal pasti apakah risiko yang mungkin berlaku:

  • Jatuh sakit di negara orang
  • Anda mungkin berasakan bahawa anda seorang yang sihat, apatah lagi sewaktu di Malaysia anda jarang untuk jatuh sakit. Namun, faktor-faktor tertentu seperti perubahan cuaca, tempoh perjalanan mungkin akan mengakibatkan anda menjadi tidak sihat.

    Jika setakat demam biasa, mungkin panadol boleh ditelan sebagai penawarnya. Tetapi bagaimana jika anda demam yang serius sehingga memaksa anda untuk masuk ke hospital? Bukan meminta, tetapi segalanya tidak mustahil untuk berlaku.

    Boleh bayangkan jika anda terpaksa dimasukkan ke hospital dan anda tidak dilindungi oleh insurans? Berapakah kos yang perlu anda tampung? Apatah lagi jika negara yang anda pergi itu mempunyai nilai matawang yang lebih tinggi berbanding Malaysia? Adakah anda sanggup untuk menampungnya? Fikir-fikirkanlah.

    • Kecemasan dan perubatan

    Emergency and medical evacuation services, merupakan antara perkara-perkara yang melibatkan kes-kes kecemasan. Sebagai contoh paling mudah, jika anda melancong ke kawasan pedalaman di Tanah Besar China, yang memerlukan anda untuk naik bas dan melalui cerunan serta kawasan lereng gunung.

    Anda mungkin akan dihidangkan dengan pemandangan yang cantik dan menarik, tetapi bagaimana jika berlaku kemalangan yang tidak diduga seperti bas terbabas dan masuk ke gaung. Sudah tentu keadaan seperti itu berisiko untuk menyebabkan kecederaan dan mungkin ada yang kehilangan nyawa.

    Jika anda merupakan antara mangsa yang berjaya diselamatkan, sudah tentu anda akan dibawa ke hospital dengan kadar yang segera untuk pemeriksaan. Pernah terfikir mengenai kosnya? Jika anda mempunyai insurans, mungkin anda boleh menarik nafas lega, kerana anda dilindungi dan kos akan ditampung pihak insurans. 

    Segala kos dan caj rawatan yang akan diberikan di hospital pastinya akan berlipat kali ganda. Ia bukan sahaja kerana perbezaan matawang, tetapi ia juga terjadi kerana anda bukan rakyat negara tersebut. Segalanya akan ditampung oleh insurans.

    Sebaliknya, jika anda tidak mempunyai insurans, bagaimana anda ingin melangsaikan kos perubatan yang sudah tentu mahal? Ambil masa sejenak untuk memikirkan mengenainya. Lebih daripada itu, jika kesakitan anda berpanjangan dan anda memutuskan untuk meneruskan rawatan di Malaysia, sudah tentu terdapat special arrangement yang perlu diuruskan untuk membawa anda pulang.

    • Bawa pulang jenazah

    Turut dikenali sebagai repatriation of mortal remains. Ya, ajal maut di tangan Tuhan. Oleh sebab itu pentingnya untuk kita melakukan persiapan. Kos untuk membawa balik jenazah atau mayat bukanlah satu perkara yang mudah dan murah.

    Ia melibatkan pelbagai kos pengangkutan apatah lagi jika ia berlaku di kawasan pedalaman. Jadi sesungguhnya persediaan itu adalah amat penting, bukan meminta untuk berlaku, tetapi ia akhirnya akan memudahkan jika berlaku perkara yang tidak diingini. 

  • Sukan lasak
  • Jika anda meminati sukan lasak, sesungguhnya anda terdedah dengan pelbagai risiko yang mungkin berlaku. Ia biasa tidak tersedia dalam insurans biasa dan anda perlu untuk membuat tambahan perlindungan jika anda merancang untuk melakukan sebarang aktiviti lasak ketika bercuti

    Antara aktiviti lasak dan berbahaya adalah seperti bungee jump, skydiving, cliff jumping, winter sport seperti bermain ski dan pelbagai aktiviti lain. 

    • Bencana alam

    Ia sesuatu yang di luar jangkaan. Tetapi apabila berlakunya bencana seperti tsunami, gempa bumi, banjir, letusan gunung berapi, ia berisiko menyebabkan anda untuk terperangkap selama berminggu-minggu di negara luar. 

    Sudah tentu perkara sebegini akan meningkatkan lagi kos anda. Tetapi jika anda dilindungi oleh insurans, ia boleh membantu anda untuk membuat tuntutan dengan syarikat insurans. Antara kos yang boleh dituntut adalah kos penginapan, makan minum dan pengangkutan tambahan. 

    Insurans perjalanan dan insurans perubatan

    Mungkin ada yang mengatakan, “Saya sudah memiliki insurans perubatan, maka saya tidak memerlukan insurans perjalanan,” namun adakah benar bahawa anda tidak memerlukan insurans perjalanan jika sudah mempunyai insurans perubatan atau medical card?

    Hakikatnya, insurans perjalanan dan insurans perubatan adalah dua perkara yang berbeza. Sememangnya dalam insurans perubatan, turut memberikan manfaat perlindungan luar negara, tetapi insurans perjalanan akan melindungi banyak risiko yang mungkin berlaku ketika berada di luar negara.

    Lazimnya, insurans perjalanan ini terhad kepada tempoh perjalanan anda. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah syarikat insurans menawarkan kombinasi beberapa perlindungan yang dapat memenuhi keperluan tertentu pengguna, termasuklah polisi tahunan jangka panjang bagi individu yang sering melancong.

    Insurans perjalanan boleh dibeli untuk anda dan keluarga bagi memberikan perlindungan terhadap kemalangan, kerugian (kehilangan) dan gangguan yang berlaku semasa perjalanan, seperti:

    • Kemalangan diri
    • Belanja perubatan dan hospital yang berkaitan
    • Kehilangan deposit perjalanan dan pemendekkan tempoh perjalanan
    • Kehilangan bagasi, barang-barang peribadi dan wang
    • Kehilangan pasport
    • Liabiliti diri
    • Kelewatan bagasi
    • Kelewatan perjalanan
    • Rampasan kenderaan perjalanan
    • Penghantaran pulang jenazah

    Walau bagaimanapun, mempunyai insuran ini tidak bermakna anda boleh sewenang-wenangnya mengabaikan penjagaan barangan anda ketika bercuti. Sebaliknya anda tetap perlu mengambil tindakan yang munasabah untuk melindungi, menyelamat dan memperolehi semula barangan anda yang telah hilang mahupun rosak.

    Akhir kata

    Ingin bercuti tidak salah, tetapi pastikan anda mengambil insurans perjalanan. Ia bagaikan talian hayat apabila berlaku perkara yang tidak terduga sewaktu di luar negara. Jangan sesekali memandang remeh keperluan ini. Selamat bercuti dengan tenang.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 10/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan