backup og meta

Bila Virus Lama Hidup Balik, Ini Tanda-Tanda Kayap Yang Ramai Salah Anggap

Bayangkan anda bangun pagi dengan rasa berdenyut dan gatal di bahagian tertentu badan. Tak lama kemudian, muncul ruam yang menyakitkan seperti lepuh terbakar. Itulah yang dinamakan sakit kayap, sejenis jangkitan virus yang disebabkan oleh virus varicella-zoster, iaitu virus yang sama menyebabkan cacar air (chickenpox).

Walaupun anda pernah sembuh sepenuhnya daripada cacar air semasa kecil, virus ini tidak hilang sepenuhnya. 

Ia boleh ‘tidur’ dalam sistem saraf selama bertahun-tahun sebelum ‘bangkit semula’ dalam bentuk kayap, khususnya apabila sistem imun badan menjadi lemah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Penyakit Berjangkit, anda boleh klik di sini.

Siapa yang berisiko mendapat kayap seperti kayap air?

sakit kayap
Contoh ruam kayap pada kulit.

Secara asasnya, sesiapa sahaja yang pernah dijangkiti cacar air berisiko untuk mengalami sakit kayap. Namun, risikonya meningkat jika anda:

  • Berumur 50 tahun ke atas
  • Menghidap penyakit kronik seperti diabetes atau kanser
  • Mengalami tekanan yang tinggi atau kurang tidur
  • Mempunyai sistem imun yang lemah

Sama seperti yang pernah dialami selebriti seperti Harrison Ford, kayap tidak memilih mangsa. Sesiapa pun boleh terkena penyakit ini!

Antara punca kayap paling lazim ialah stres dan penyakit yang melemahkan daya tahan badan.

Tanda-tanda awal sakit kayap yang perlu diperhatikan

Ramai yang keliru antara kayap dengan ruam biasa. 

Namun, kayap biasanya bermula dengan:

  • Rasa gatal, panas, mencucuk atau kebas di satu bahagian badan
  • Kemudian muncul gelembung kecil berisi air yang menyakitkan
  • Disertai simptom seperti demam, sakit kepala, atau keletihan

Dalam kebanyakan kes, gelembung ini hanya muncul di satu sisi badan.

Biasanya di bahagian dada, pinggang, atau muka. 

Sakit boleh menjadi sangat teruk sehingga mengganggu aktiviti harian.

Ada juga kes kayap air yang berlaku berdekatan mata (herpes zoster ophthalmicus), dan ini boleh membawa risiko kepada penglihatan jika tidak dirawat segera.

Komplikasi jika kayap tidak dirawat

sakit kayap
Vaksin boleh membantu anda mencegah jangkitan kayap.

Kebanyakan kes sakit kayap pulih dalam masa 2 hingga 4 minggu. 

Namun, ada individu yang terus mengalami kesakitan walaupun ruam telah hilang. 

Keadaan ini dikenali sebagai neuralgia pascakayap (postherpetic neuralgia).

Komplikasi lain termasuklah:

  • Jangkitan sekunder pada kulit
  • Masalah saraf, termasuk lumpuh sementara di bahagian muka
  • Dalam kes jarang, kayap boleh merebak ke organ dalaman seperti otak atau paru-paru

Adakah sakit kayap berjangkit?

Kayap sendiri tidak berjangkit, tetapi virus yang menyebabkannya boleh berjangkit. 

Jika seseorang yang belum pernah kena cacar air menyentuh lepuh kayap air pesakit, mereka mungkin akan dijangkiti cacar air, bukan kayap.

Untuk mencegah penularan:

  • Tutup ruam dengan kain bersih
  • Elakkan sentuhan langsung dengan bayi, ibu hamil dan individu imun lemah
  • Amalkan kebersihan tangan yang baik

Vaksin kayap: perlindungan terbaik untuk warga emas

Bagi mengurangkan risiko sakit kayap, Kementerian Kesihatan Malaysia menggalakkan pengambilan vaksin herpes zoster bagi individu berumur 50 tahun ke atas. 

Vaksin ini membantu mengurangkan kebarangkalian jangkitan semula serta mencegah komplikasi seperti neuralgia pascakayap.

Vaksin boleh didapati di klinik kesihatan swasta, hospital pakar, dan sesetengah farmasi yang menyediakan program imunisasi dewasa.

sakit kayap
Tanda-tanda anda dijangkiti kayap.

Soalan popular tentang kayap

#1. Boleh ke kena kayap lebih dari sekali?

Ya, walaupun jarang, ada pesakit yang mengalami sakit kayap berulang, terutama mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

#2. Boleh ke jangkitan kayap sebabkan masalah organ dalaman?

Dalam kes yang jarang berlaku, virus boleh menyerang otak atau paru-paru dan menyebabkan komplikasi serius seperti radang otak atau pneumonia.

#3. Ada ke makanan yang perlu dielakkan masa kena kayap?

Walaupun tiada pantang larang kayap secara rasmi dalam perubatan moden, ramai percaya elakkan makanan ‘panas’ atau tinggi lemak seperti durian, makanan laut atau makanan berminyak boleh bantu cepatkan pemulihan. 

Apa pun, rujuk doktor untuk nasihat yang sesuai.

Kesimpulan

Sakit kayap bukan sekadar ruam biasa. Ia boleh membawa kesakitan yang berpanjangan dan memberi kesan kepada kualiti hidup jika tidak dirawat. 

Kenali punca kayap, cegah melalui vaksinasi, dan jangan abaikan simptom awal. 

Amalkan gaya hidup sihat, kurangkan stres, dan jaga sistem imun kerana kayap boleh ‘menyerang’ bila-bila masa tubuh lemah.

Jika anda berumur 50 tahun ke atas atau pernah mengalami kayap sebelum ini, pertimbangkan untuk mendapatkan nasihat lanjut mengenai vaksin. 

Lindungi diri anda sebelum virus ini ‘bangkit semula’.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. World Health Organization (WHO). Shingles (Herpes Zoster) Fact Sheet. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/shingles-%28herpes-zoster%29. Accessed March 08, 2025
  2. CDC.gov. Shingles (Herpes Zoster). https://www.cdc.gov/shingles/index.html. Accessed March 08, 2025
  3. Health.mil. Shingles. Information. https://www.health.mil/Military-Health-Topics/Health-Readiness/Immunization-Healthcare/Vaccine-Preventable-Diseases/Shingles Accessed March 08, 2025
  4. Ministry of Health Singapore. Subsidies and MediSave Coverage for Shingles Vaccine. https://www.moh.gov.sg/newsroom/subsidies-and-medisave-coverage-for-shingles-vaccine- Accessed March 08, 2025
  5. National Centre for Infectious Diseases (NCID) Singapore. What is shingles and how is it prevented? https://www.ncid.sg/News-Events/News/Pages/What-is-shingles-and-how-is-it-prevented.aspx Accessed March 08, 2025
  6. Channel NewsAsia (CNA). MOH to extend subsidies, MediSave usage for shingles vaccine. https://www.channelnewsasia.com/singapore/shingles-vaccine-shingrix-covered-subsidies-medisave-moh-4928246 Accessed March 08, 2025
  7. The Straits Times. Subsidies allowed for shingles vaccine from September. https://www.straitstimes.com/singapore/subsidies-allowed-for-shingles-vaccine-from-september Accessed March 08, 2025
  8. Mayo Clinic. Shingles (Herpes Zoster) Overview.
    https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/shingles/symptoms-causes/syc-20353054 Accessed March 08, 2025
  9. Johns Hopkins Medicine. Shingles Symptoms and Treatment.
    https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/shingles Accessed March 08, 2025
  10. National Health Service (NHS) UK. Shingles Guide
    https://www.nhs.uk/conditions/shingles/ Accessed March 08, 2025
  11. Australian Government Department of Health and Aged Care. Shingles and Vaccination. https://www.health.gov.au/health-topics/shingles Accessed March 08, 2025

Versi Terbaru

20/05/2025

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Pesakit Kanser Berisiko Dapat Kayap, Ini Yang Perlu Anda Lakukan Jika Nak Elak!

Bukan Setakat Kayap, Tapi Orang Tua Anda Juga Mudah Dapat 5 Jangkitan Ini!


Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor · · · Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Dikemas kini 20/05/2025

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan