backup og meta

5 Manfaat Durian Untuk Badan, BONUS: Cuba Resepi Serawa Durian Paling Sedap Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/12/2023

    5 Manfaat Durian Untuk Badan, BONUS: Cuba Resepi Serawa Durian Paling Sedap Ini!

    Aduhai, sedapnya serawa durian! Teringin betul rasanya hendak makan hidangan berlemak ini setelah melihat pelbagai resepi serawa durian di media sosial.

    Walau bagaimanapun, bagi mereka yang menghidap penyakit terutamanya kencing manis dan darah tinggi, adakah buah yang manis seperti durian selamat untuk dimakan?

    Tidak dinafikan, buah durian merupakan makanan kegemaran rakyat Malaysia. Walaupun luarnya berduri, isi dalamnya yang manis dan berlemak menjadi igauan ramai. Sebab itulah ramai yang sanggup berhabis ratusan ringgit hanya untuk merasai keenakan raja buah ini.

    Buah durian dikatakan dapat meningkatkan kolesterol badan dan amat bahaya untuk penghidap kencing manis. Namun, adakah semua kenyataan ini benar?

    Sebelum kita kenal pasti apa itu fakta dan apa pula mitos, mari ketahui lebih lanjut mengenai raja buah ini serta khasiatnya terhadap kesihatan. Kemudian, anda boleh cuba resepi serawa durian yang kami sediakan khas ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan, sila dapatkannya di sini.

    Khasiat durian, raja segala buah

    Durian merupakan sejenis buah yang berasal dari spesies durio. Di dunia, hampir 30 spesies durian yang telah dikenal pasti. Namun, hanya 9 spesies sahaja yang boleh dimakan.

    Bertentangan dengan kepercayaan popular, durian tidak akan menyebabkan tahap kolesterol anda meningkat.

    Malah, raja buah ini sebenarnya mengandungi banyak lemak tidak tepu yang sebenarnya boleh menurunkan kadar kolesterol badan!

    Walau bagaimanapun, durian merupakan makanan yang terbukti menggemukkan. Kandungan kalorinya adalah di sekitar 885 hingga 1500 – sudah cukup untuk membuatkan anda tersandar kekenyangan!

    Selain daripada rasanya yang manis, durian mempunyai banyak lagi khasiat lain terhadap kesihatan. Antaranya ialah:

    1. Durian dapat membuatkan kita rasa gembira

    serawa durian

    Mungkin sebab itulah kita rasa gembira selepas makan durian!

    Durian mengandungi triptofan, sejenis asid amino yang boleh meningkatkan tahap serotonin dan melatonin dalam badan.

    Serotonin merupakan sejenis neurotransmiter yang boleh membuatkan kita rasa tenang dan gembira. Bahan yang sama juga terkandung di dalam coklat. Sebab itulah, ramai yang rasa gembira selepas makan sepotong coklat!

    Bukan itu sahaja, durian juga mungkin dapat membantu kita tidur dengan lebih nyenyak disebabkan peningkatan penghasilan hormon melatonin dalam badan.

    Baca juga:

    2. Bermanfaat untuk wanita hamil

    serawa durian

    Siapa sangka durian mempunyai manfaat tersendiri terhadap wanita hamil. Buah ini kaya dengan asid folik, sejenis nutrisi yang amat penting untuk ibu hamil. Malah, kepercayaan mengenai durian boleh menyebabkan bayi kepanasan merupakan satu mitos. 

    Asid folik dapat membantu mencegah kecacatan tiub neural pada bayi. Bukan itu sahaja, ia juga dapat mengurangkan risiko anemia yang boleh menyebabkan ibu rasa letih, sakit kepala dan sukar tidur malam ketika mengandung.

    3. Membantu pencernaan

    Durian mempunyai kandungan serat yang tinggi. Oleh sebab itu, ia dapat membantu sistem pencernaan untuk berfungsi dengan lebih baik.

    Kebanyakan serat yang terkandung dalam durian ialah serat tidak larut. Serat jenis ini dapat mencegah masalah sembelit dan cirit-birit.

    Kita perlu mengambil lebih banyak serat dalam makanan. Pada masa yang sama, jangan lupa kurangkan gula dalam diet seharian.

    Individu yang mengambil lebih banyak serat kurang berisiko untuk menghidap penyakit jantung, strok, diabetes dan kanser usus.

    4. Makan durian untuk lebih tenaga

    Jika anda inginkan lebih tenaga, cuba makan durian. Buah ini mengandungi karbohidrat yang tinggi dan dapat membekalkan tenaga yang banyak.

    Malah, dua ulas durian mempunyai kandungan tenaga yang sama dengan pisang yang bersaiz sederhana! Kandungan potasiumnya yang tinggi juga dapat membantu mengurangkan rasa letih dan gelisah.

    5. Meningkatkan kesuburan wanita

    Durian digunakan dalam perubatan tradisional untuk meningkatkan kesuburan wanita. Kajian menunjukkan, durian mengandungi hormon estrogen dan mungkin dapat membantu wanita yang mempunyai masalah untuk hamil.

    Bukan itu sahaja, durian juga boleh meningkatkan libido dan stamina wanita. Jadi, jika anda ingin menghangatkan malam bersama suami, cubalah makan durian!

    Resepi serawa durian mudah dan sedap

    serawa durian

    Teringin hendak makan serawa durian? Tahukah anda, cara penyediaannya sangatlah mudah. Malah, tidak perlu mengambil masa yang lama pun untuk sediakan hidangan serawa durian yang manis dan berlemak ini.

    Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah:

    1. Isi durian.
    2. Daun pandan.
    3. Santan cair.
    4. Santan pekat.
    5. Gula pasir.
    6. Gula melaka.
    7. Sedikit garam.
    8. Beberapa cawan air.

    Cara memasak:

    1. Masukkan beberapa ulas durian, santan dan daun pandan ke dalam periuk. Kemudian, masak hingga kuah pekat dan isi durian hancur.
    2. Campurkan gula pasir, gula melaka dan garam secukup rasa ke dalam adunan tersebut.
    3. Masukkan santan pekat dan kacau hingga sebati.
    4. Kemudian masukkan santan pekat ke dalam periuk, kacau perlahan-lahan sehingga kuah sebati. Anda boleh tambah air jika kuah terlalu pekat.

    Siap, mudah bukan? Lepas ini, bolehlah cuba resepi serawa durian di atas.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan