backup og meta

Benarkah Vaksin COVID-19 Boleh Sebabkan Kesan Sampingan Pada Kanak-Kanak?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/06/2022

    Benarkah Vaksin COVID-19 Boleh Sebabkan Kesan Sampingan Pada Kanak-Kanak?

    Kini telah tiba waktu di mana pemberian vaksin COVID 19 untuk kanak-kanak bermula di seluruh negara. Persoalannya, adakah terdapat sebarang kesan sampingan yang perlu diberi perhatian selepas vaksin COVID kanak kanak ini?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan COVID-19, anda boleh klik di sini

    Vaksin COVID 19 untuk kanak-kanak telah bermula

    vaksin covid 19 untuk kanak-kanak

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan fasa pemberian vaksin COVID 19 untuk kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 11 tahun.

    Pemberian vaksin COVID kanak kanak ini telah bermula di Lembah Klang dan akan diteruskan di negeri-negeri lain selepas ini.

    Vaksin yang digunakan adalah daripada jenis mRNA iaitu Comirnaty® 10mcg Concentrate for Dispersion keluaran PfizerBioNTech.

    Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, vaksin jenis ini berkemampuan memberikan perlindungan daripada jangkitan COVID-19 sehingga 90.7%.

    Sepertimana dos yang telah diambil oleh individu dewasa, kelompok kanak-kanak ini juga akan menerima dua suntikan dos vaksin.

    Dos kedua akan diberikan dalam tempoh lapan minggu selepas dos pertama.

    Selang masa ini ditentukan setelah melihat kepada data terkini kajian yang telah dijalankan.

    Hasil kajian menunjukkan bahawa, selang masa selama lapan minggu ini boleh memberikan kadar keberkesanan dan juga kesan tindak balas imuniti yang lebih baik dan lebih lama.

    Kesemua pendaftaran vaksin COVID kanak kanak ini boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera.

    Vaksin COVID 19 untuk kanak-kanak: Adakah terdapat sebarang kesan sampingan vaksin Pfizer ini?

    Untuk makluman anda atau penjaga yang terlibat, kanak-kanak juga akan mengalami beberapa kesan sampingan setelah mendapatkan suntikan vaksin keluaran Pfizer ini.

    Kesan sampingan yang akan berlaku adalah sama sahaja dengan kesan yang dialami oleh remaja atau individu dewasa.

    Antara jenis kesan sampingan ringan yang boleh berlaku ialah seperti kesakitan pada lengan yang disuntik, sakit kepala, keletihan, berasa sejuk dan juga kesakitan pada otot.

    Selain itu, anak anda juga mungkin akan mengalami demam ringan, kesakitan pada sendi, pembengkakan pada kelenjar limfa, loya dan juga hilang selera makan.

    vaksin covid 19 untuk kanak-kanak

    Sama seperti orang dewasa, kanak-kanak juga akan mengalami kesan sampingan ini dalam tempoh dua hari selepas menerima imunisasi COVID-19.

    Kesan sampingan ini juga mungkin akan berlaku antara satu hingga tiga hari.

    Ada juga sesetengah daripada kanak-kanak ini yang mungkin tidak mengalami sebarang kesan sampingan.

    Setelah diberikan suntikan, anak anda akan dipantau selama 30 minit untuk melihat sekiranya mereka mengalami reaksi alahan atau alergi terhadap vaksin yang diberikan.

    Jika ada, rawatan segera akan terus diberikan oleh petugas kesihatan di pusat pemberian vaksin (PPV).

    Ada daripada kalangan ibu bapa yang mungkin merancang untuk memberikan ubat tahan sakit sebelum vaksinasi.

    Perkara ini amat TIDAK disarankan kerana ia boleh menjejaskan keberkesanan vaksin yang diberikan.

    Walau bagaimanapun, ubat tahan sakit ini boleh diberikan kepada anak anda setelah mereka mendapat suntikan vaksin tersebut.

    Benarkah vaksin COVID-19 boleh menjejaskan jantung?

    vaksin covid 19 untuk kanak-kanak

    Di Amerika Syarikat, terdapat peningkatan dalam kes miokarditis dan perikarditis yang dilaporkan selepas suntikan vaksin mRNA COVID-19.

    Kes ini lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki yang berumur 12 hingga 17 tahun.

    Miokarditis ialah keradangan otot jantung, manakala perikarditis ialah keradangan pada lapisan di luar hati. Namun, laporan bagi kes-kes seperti ini agak jarang berlaku.

    Satu kajian menyatakan bahawa, risiko miokarditis dalam seminggu selepas divaksin sepenuhnya, adalah kira-kira 54 kes sahaja bagi setiap satu juta dos yang diberikan kepada lelaki berumur 12 hingga 17 tahun.

    Daripada kes-kes yang telah dilaporkan, ia lebih kerap berlaku selepas dos kedua vaksin COVID-19 dan biasanya dalam masa beberapa hari selepas vaksinasi COVID-19.

    Ini menunjukkan kadar miokarditis untuk berlaku selepas lengkap divaksinasi adalah amat jarang.

    Namun, jika anak anda menunjukkan beberapa gejala seperti sakit pada dada, sesak nafas atau degupan jantung yang laju selepas vaksin COVID 19 untuk kanak-kanak, sila dapatkan bantuan perubatan dengan kadar segera.

    Anda tidak perlu bimbang kerana kebanyakan kes miokarditis dan perikarditis ini hanya bersifat ringan dan akan menghilang dalam tempoh yang singkat. 

    Buat tip ini selepas anak anda terima vaksin COVID kanak kanak

    Kebanyakan kesan sampingan vaksin COVID 19 untuk kanak-kanak ini hanyalah bersifat ringan dan akan menghilang dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

    Namun, anda boleh melakukan beberapa perkara ini untuk membantu meredakan kesan sampingan yang dialami oleh anak anda:

    • Berikan ubat tahan sakit yang boleh didapati daripada farmasi seperti ibuprofen atau paracetamol
    • Berikan anak anda lebih banyak air untuk diminum
    • Biarkan mereka untuk lebih banyak berehat
    • Anda juga boleh menggunakan pek ais bagi melegakan kesakitan pada lokasi suntikan

    Ingat, jangan memberikan ubat tahan sakit sebelum anak anda anda menerima suntikan.

    Ini kerana, ia boleh mengurangkan tindak balas imun tubuh dan merendahkan keberkesanan vaksin COVID kanak-kanak yang telah diberikan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan