Setakat ini, CDC dan FDA telah mengesahkan 633 laporan miokarditis dan perikarditis selepas vaksin. Namun, kaitan antara dua kondisi ini dengan vaksin COVID-19 masih berada dalam siasatan.
Kes radang otot jantung didapati lebih banyak berlaku kepada lelaki yang berusia 16 tahun ke atas. Selain itu, ia juga lebih kerap terjadi kepada mereka yang menerima dos kedua vaksin COVID-19.
Miokarditis atau perikarditis juga akan dikesan beberapa hari selepas pesakit menerima vaksin. Walau bagaimanapun, pesakit yang menerima rawatan akan sembuh dengan cepat selepas rehat yang mencukupi.
Malah, mereka juga boleh melakukan aktiviti harian dengan normal selepas simptom yang dialami berkurangan.
Apakah simptom radang otot jantung?
Jika anda risau mengenai miokarditis atau perikarditis, pastikan anda sentiasa berjaga-jaga dengan simptom seperti:
- Sakit dada.
- Sesak nafas.
- Degupan jantung yang kuat.
- Rasa letih dan penat.
- Rasa hendak pitam.
- Bengkak pada kawasan tangan, kaki dan buku lali.
- Pengsan.
Jika anda mengalami simptom di atas, jumpa doktor dengan kadar yang segera.
Miokarditis atau perikarditis merupakan satu kondisi yang sukar untuk dikesan kerana ketiadaan simptom. Selalunya, simptom yang pesakit alami merupakan tanda penyakit lain seperti serangan jantung.
Di Malaysia, masih belum ada sebarang kes radang otot jantung selepas vaksinasi yang dicatatkan.
Malah, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan tiada kes miokarditis dan perikarditis yang diterima oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Sebagai langkah berjaga-jaga, elakkan melakukan senaman berat selepas vaksin. Jika boleh, berehatlah sehingga anda benar-benar sihat.
Vaksin COVID-19 telah disahkan selamat dan efektif. Malah, jutaan manusia di seluruh dunia telah menerima vaksin ini tanpa sebarang kesan sampingan.
Adakah saya masih perlu mengambil suntikan vaksin?
Jawapannya adalah ya. Vaksinasi merupakan satu komponen yang penting untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan, hospitalisasi dan kematian disebabkan wabak COVID-19.
Jika anda telah menerima vaksin dos pertama, anda perlu mengambil dos kedua kecuali mendapat arahan khas daripada doktor.
Untuk pengetahuan anda, vaksin mempunyai kebaikan yang lebih besar berbanding risikonya, termasuklah risiko radang otot jantung.
Malah, kesan sampingan vaksin bukanlah perkara baharu. Vaksin AstraZeneca juga dikatakan boleh menyebabkan pembentukan darah beku. Namun, kesan sampingan ini juga amat jarang berlaku.
Ingatlah, jutaan vaksin yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia terbukti berkesan dan boleh menyelamatkan nyawa.
Oleh sebab itu, jangan sesekali memilih vaksin dan ambil imunisasi secepat mungkin mengikut jadual yang ditetapkan.
Ubah rutin senaman selepas vaksin

Jika anda suka bersenam, cuba ubah rutin anda kepada senaman yang lebih ringan. Tunggu sekurang-kurangnya seminggu sebelum menyambung rutin seperti sediakala.
Walau bagaimanapun, jika anda alami kesan sampingan vaksinasi seperti demam, batuk, selesema dan sebagainya, rehatlah sebentar dan beri masa untuk badan anda pulih sepenuhnya.
Mungkin anda akan rasa sedih kerana terlepas sesi senaman anda setiap hari, namun tidak ada gunanya untuk terus memaksa diri ketika sakit.
Seperti ubat-ubatan yang lain, vaksin juga mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak mengambil vaksin.
Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita haruslah mengambil vaksinasi untuk melawan virus COVID-19. Jika bukan kita, siapa lagi?
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen