1. Demam denggi
Siapa tidak kenal demam denggi di Malaysia? Pasti anda, ahli keluarga atau mana-mana kenalan anda pernah menghidap demam denggi. Pada tahun 2018 sahaja, lebih 77,000 kes telah dicatatkan, paling tinggi di negeri Selangor.
Demam berpunca dari virus denggi bawaan nyamuk aedes ini berpotensi menyebabkan komplikasi serius sehingga mengancam nyawa. Sehingga kini, masih tiada rawatan khusus bagi demam denggi. Hanya rawatan sokongan dalam bentuk air, ubat demam, dan tahan sakit diberikan untuk mengawal simptom.
Vaksin denggi walaupun terdapat di sesetengah negara, ia tidak diluluskan di Malaysia atas sebab-sebab tertentu. Iklim tropikal di Malaysia memberikan suasana yang paling kondusif bagi nyamuk aedes. Oleh sebab itu kes demam denggi di Malaysia sangat tinggi. Langkah mengawal pembiakan nyamuk aedes antara usaha utama yang dilakukan bagi mengurangkan bilangan kes.
2. Hepatitis A
Hepatitis A juga disebabkan oleh virus, iaitu virus hepatitis A (HAV). Berbeza dengan hepatitis B dan C yang tersebar melalui darah, hepatitis A didapati dari makanan yang tercemar. Mereka yang dijangkiti virus ini kebiasaannya mengalami simptom biasa keracunan makanan (sakit perut, muntah, cirit-birit) diikuti dengan simptom radang hati (jaundis, sakit bahagian kanan atas abdomen).
Dalam kebanyakan kes, simptom akan hilang dengan sendiri dan tidak menyebabkan komplikasi serius. Vaksin hepatitis A boleh diambil dan ia memberikan perlindungan seumur hidup.
3. Demam kepialu (tifoid)
Juga berpunca dari keracunan makanan, agen penyebabnya ialah bakteria Salmonella typhi/paratyphi. Antara simptom yang boleh dialami ialah demam, batuk, sembelit atau lebih kerap cirit-birit. Bintik-bintik merah juga kerap ditemui dalam kalangan mereka yang berkulit cerah.