backup og meta

Mata Sembap & Kulit Gatal Antara Tanda Masalah Buah Pinggang, Periksa 6 Gejala Bahaya Lain!

Mata Sembap & Kulit Gatal Antara Tanda Masalah Buah Pinggang, Periksa 6 Gejala Bahaya Lain!

Penyakit buah pinggang merupakan salah satu penyakit yang lazim dalam kalangan rakyat Malaysia. Malah, menurut statistik, 1 daripada 10 orang di dunia menghidap sakit buah pinggang. Walau bagaimanapun, disebabkan penyakit ini sukar untuk dikenal pasti, tanda kerosakan buah pinggang hanya dapat dikesan apabila ia telah sampai tahap yang terakhir.

Buah pinggang merupakan dua jenis organ yang berbentuk kekacang dan mempunyai saiz yang hampir sama dengan genggaman tangan anda. 

Antara fungsi penting buah pinggang ialah menapis darah dan membuang segala bahan buangan dan lebihan cecair keluar daripada badan.

Untuk pengetahuan, anda lebih berisiko untuk mengalami penyakit buah pinggang jika ada menghidap diabetes atau tekanan darah tinggi. 

Malah, jika anda mengalami kegagalan buah pinggang, rawatan yang diberikan selalunya ialah dialisis dan juga pemindahan buah pinggang.

Selain semua penyakit yang dinyatakan di atas, sista buah pinggang, batu karang dan jangkitan juga merupakan contoh penyakit buah pinggang yang lain.

Disebabkan buah pinggang merupakan organ yang sangat efisien, simptom yang menandakan buah pinggang telah rosak selalunya akan muncul pada akhir waktu.

Sebab itulah, tanda kerosakan buah pinggang sukar untuk dikenal pasti.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Urologi, sila dapatkannya di sini.

Tanda kerosakan buah pinggang

Buah pinggang dikatakan sedang mengalami kegagalan jika 80-90% daripada fungsi buah pinggang telah hilang. Pada waktu ini, ia juga tidak lagi mampu melakukan tugasnya dengan baik.

Buah pinggang yang telah rosak tidak ada penawarnya. Walau bagaimanapun, rawatan yang sedia ada masih boleh memanjangkan jangka hayat pesakit kegagalan buah pinggang.

Mereka juga masih mampu melakukan aktiviti yang mereka sukai di samping ahli keluarga tercinta dan sahabat handai.

Ada pesakit yang tidak mengalami apa-apa simptom yang menandakan buah pinggang mereka rosak. Walau bagaimanapun, ada juga pesakit yang merasai beberapa tanda awal kerosakan buah pinggang seperti berikut:

tanda kerosakan buah pinggang
Antara tanda-tanda buah pinggang mula bermasalah.

Jika anda mengalami kebanyakan tanda yang kami bincangkan di bawah, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera. Berbincanglah dengan doktor mengenai kerisauan anda.

Hanya doktor yang terlatih sahaja yang mampu mencari punca sebenar simptom yang anda alami.

1. Rasa penat dan sukar fokus

Apabila buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan betul, bahan buangan seperti toksin akan terkumpul di dalam darah. Ini akan membuatkan pesakit rasa penat, lemah dan sukar untuk fokus.

Selain itu, komplikasi lain untuk pesakit buah pinggang ialah anemia. Anemia boleh menyebabkan pesakit rasa lemah dan letih sepanjang hari.

2. Tanda kerosakan buah pinggang – Sukar untuk tidur

Buah pinggang yang tidak dapat menapis darah dengan betul akan menyebabkan bahan buangan berkumpul di dalam darah.

Perkara ini bukan sahaja akan membuatkan pesakit rasa penat, ia juga akan menyebabkan mereka sukar untuk melelapkan mata.

Malah, mereka yang menghidap penyakit buah pinggang selalunya turut menghidap obesiti. Oleh sebab itu, mereka lebih cenderung untuk mengalami apnea tidur yang boleh mengganggu tidur mereka.

3. Rasa gatal pada kawasan kulit juga tanda buah pinggang rosak

Buah pinggang mempunyai fungsi yang penting untuk mengkumuhkan bahan buangan keluar daripada badan.

Walau bagaimanapun, apabila terdapatnya tanda kerosakan buah pinggang gagal berfungsi, kesemua toksin yang terkumpul di dalam darah boleh menyebabkan rasa gatal yang amat sangat pada kawasan kulit.

Malah, pesakit buah pinggang sendiri mengakui simptom ini merupakan salah satu simptom yang mengganggu hidup mereka setiap hari. Ada juga yang menggaru badan mereka hingga berdarah!

4. Perlu ke tandas dengan lebih kerap

tanda kerosakan buah pinggang
Kerap buang air kecil? Ia antara simptom biasa masalah buah pinggang.

Perlu membuang air dengan lebih kerap merupakan satu lagi tanda kerosakan buah pinggang. Apabila buah pinggang telah rosak, anda akan rasa lebih ‘terdesak’ untuk membuang air kecil.

Malah, anda juga mungkin akan terkencing secara tidak sengaja kerana tidak dapat mengawalnya.

5. Darah di dalam urin tanda buah pinggang rosak

Darah di dalam urin merupakan salah satu tanda sakit buah pinggang yang perlu dipandang serius.

Selain tanda penyakit buah pinggang ini, kencing berdarah juga mungkin tanda:

  • Tumor
  • Batu karang
  • Jangkitan pada saluran urinari anda

6. Air kencing berbuih antara tanda kerosakan buah pinggang

Selain kerap kencing dan kencing berdarah, air kencing berbuih juga merupakan tanda penyakit buah pinggang.

Malah, ada pesakit yang mengalami kencing berbuih yang sangat teruk hinggakan mereka terpaksa mengepam tandas berkali-kali.

Bayangkan buih yang terhasil apabila anda sedang mengocak telur untuk digoreng. Begitulah umpamanya buih yang terhasil pada urin.

Malah, protein yang dijumpai di dalam telur iaitu albumin juga merupakan protein yang sama yang menyebabkan pembentukan buih pada air kencing pesakit.

7. Sembap pada kawasan mata juga tanda buah pinggang rosak

Protein di dalam air kencing merupakan tanda kerosakan buah pinggang pada penapisnya.  Selalunya, muka pesakit akan jadi sembap disebabkan kebocoran protein yang terlalu banyak ke dalam air kencing.

8. Makanan rasa seperti besi

Disebabkan bahan toksik mula berkumpul di dalam badan, makanan yang anda ambil akan rasa berbeza dan menyebabkan bau mulut menjadi busuk.

Selain itu, anda juga mungkin akan mengalami penurunan selera makan dan tidak lagi suka makan daging.

Jangan pandang remeh tanda buah pinggang rosak

tanda kerosakan buah pinggang
Jika buah pinggang menjadi rosak, anda mungkin perlu bergantung dengan mesin dialisis.

Buah pinggang merupakan satu organ yang amat penting untuk manusia. Tanpanya, kita mungkin tidak dapat meneruskan kehidupan.

Jika anda mengalami kebanyakan tanda di atas, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera. 

Setelah anda memulakan rawatan untuk penyakit dan tanda sakit buah pinggang yang anda alami, anda akan rasa lebih baik dan lebih bertenaga untuk meneruskan kehidupan seharian.

Jangan abaikan tanda-tanda di atas

Jika berlaku sebarang perkara yang tidak normal seperti di atas, segera buat pemeriksaan lanjut dengan doktor.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Kidney Disease Symptoms. https://lifeoptions.org/learn-about-kidney-disease/kidney-disease-symptoms/.  Accessed April 15, 2021.
  2. 10 Signs You May Have Kidney Disease. https://www.kidney.org/news/ekidney/august14/10_Signs_You_May_Have_Kidney_Disease. Accessed April 15, 2021.
  3. Symptoms – Chronic Kidney Disease. https://www.nhs.uk/conditions/kidney-disease/symptoms/. Accessed April 15, 2021.
  4. Kidney Disease. https://www.niddk.nih.gov/health-information/kidney-disease. Accessed April 15, 2021.
  5. Kidney (Renal) Failure. https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/k/kidney-(renal)-failure. Accessed April 15, 2021.

Versi Terbaru

19/09/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

5 Cara Ini Berkesan Menghilangkan Masalah Kencing Tak Lawas!

Ada Protein Dalam Air Kencing? AWAS! Ini Bahaya Untuk Buah Pinggang Anda


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 19/09/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan