Adakah anda pernah atau sedang mengalami situasi air kencing kuning berubah ke warna lain, tapi tidak tahu sebabnya? Usah khuatir, ini kerana anda bukan keseorangan dan ia juga normal.
Perubahan pada warna urin individu itu mungkin boleh berlaku angkara pengambilan ubatan atau rawatan tertentu, kitaran menstruasi serta masalah kesihatan tubuh badan.
Dalam pada itu, makanan atau minuman yang anda ambil juga boleh jadi punca air kencing berubah warna! Persoalannya, apa sahaja jenis makanan atau minuman tersebut?
Adakah air kencing kuning normal?
Umumnya, mungkin ramai individu yang berpendapat bahawa warna urin yang normal adalah kuning dan jernih. Bagi pendapat doktor pula, ia adalah warna ‘urochrome’.
Ya, anda mungkin tidak salah tentangnya. Berikut ini pula adalah variasi warna urin yang normal:
- Warna air kencing kuning jernih – Merupakan warna yang paling umum dan biasa ditemui, ia adalah petanda bahawa urin anda itu normal dan mungkin tidak ada masalah berkaitan dengannya
- Warna jerami pucat – Jika anda ada warna urin seperti ini, anda boleh dianggap bertuah kerana ia adalah warna yang paling sihat dan menandakan anda terhidrat dengan sempurna
Terma normal yang dimaksudkan di atas tadi mungkin boleh diklasifikasikan sebagai sihat. Pun begitu, ia bukan bermakna jika air kencing bertukar warna lain, urin anda itu tidak normal.
Ini kerana wujud juga beberapa faktor luaran lain seperti makanan dan minuman yang anda ambil itu akan menyebabkan perubahan pada warna urin. Tenang, ia juga masih lagi normal.
Warna urin berubah angkara diet?
Untuk pengetahuan anda semua, warna urin itu akan dipengaruhi oleh pigmen yang dikenali sebagai urokrom serta urobilin dan ia boleh berubah bergantung kepada diet seharian.
#1. Sayur asparagus
Buat anda yang mungkin jarang ke dapur, jenis sayur yang berwarna seakan hijau muda dan berbentuk seperti buluh mini ini biasa dimasak tumis bersama belacan atau bawang.
Ia mengandungi asid khas bernama asparagusic. Apabila sayur ini dicernakan oleh sistem penghadaman tubuh badan, maka asid ini akan pecah lantas menjadi sebatian sulfur.
Sebatian sulfur ini kemudiannya boleh bercampur ke dalam sistem perkumuhan tubuh badan, lantas menyebabkan air kencing kuning berubah menjadi warna kuning gelap atau hijau gelap.
#2. Air kencing kuning berubah warna jika makan buah naga
Buah yang diambil daripada nama haiwan legenda ini juga ada ‘kebolehan’ luar biasa yakni menjadikan air kencing anda berubah menjadi warna merah pekat atau merah jambu.
Bukan sahaja urin, malah najis tinja anda juga boleh berubah warnanya apabila buah naga diambil akibat kesan daripada pigmen betahiasin yang wujud di dalam buah ini.
Perubahan warna air kencing atau najis tinja menjadi kemerahan ini turut dikenali sebagai proses pseudohematuria. Namun jangan risau tentangnya, ia masih lagi normal.
#3. Ikan salmon juga boleh buat air kencing kuning bertukar warna?
Sebagai antara sumber utama vitamin B6 atau asid lemak Omega-3, pengambilan ikan salmon mungkin akan dapat membantu anda dalam menambah protein dan lemak.
Pun begitu, pengambilan kedua-dua sumber nutrisi ini dipercayai boleh mendatangkan sedikit kesan sampingan terutamanya terhadap sistem perkumuhan tubuh badan.
Ini kerana ia bukan sahaja akan menyebabkan perubahan pada bau air kencing malah juga pada warna urin lantas menjadikan ia lebih kuning pekat daripada asal.
#4. Lobak merah
Jus lobak merah itu memang sedap untuk diminum, namun jangan pula anda risau akan kesannya yang akan buat warna urin berubah menjadi oren kerana ia masih lagi normal.
Perubahan pada warna urin ini adalah disebabkan kandungan betakaroten serta pigmen karotenoid yang wujud pada sayur ini dan akan beri kesan pada tubuh badan juga.
Apabila diambil dengan jumlah yang mungkin terlalu banyak, anda juga mungkin boleh mengalami kondisi karotenemia atau kadar betakaroten berlebihan di dalam tubuh badan.
#5. Makan ubi bit merah boleh buat air kencing kuning berubah warna
Ubi bit merupakan sayuran dalam kategori keluarga lobak, ia juga memiliki warna pekat. Disebabkan itu juga, tidak hairan jika ia sangat popular sebagai pewarna makanan semula jadi.
Sayangnya, pengambilan ubi bit merah mungkin akan menimbulkan kesan sampingan beeturia di mana air kencing boleh berubah warna menjadi merah muda hingga merah tua.
Meskipun ia tidak berbahaya, kondisi ini biasa terjadi kepada individu yang kurang zat besi atau ada masalah penyerapan nutrisi dalam tubuh badan. Jadi, sila lebih berwaspada.
Konklusinya, anda mungkin tidak perlu risau jika warna urin berubah angkara pengambilan makanan atau minuman di atas ini kerana ia masih lagi normal dan urin anda akan berubah menjadi normal semula nanti!
[embed-health-tool-bmi]