Selain penyakit seperti inkontinen urin, batu karang dan juga jangkitan saluran kencing (UTI), ada banyak lagi kondisi lain yang boleh mempengaruhi sistem urinari anda. Contoh jenis penyakit lain yang boleh berlaku ialah hematuria, penyakit ureter (ureters disease) dan juga glomerulonephritis.
Penyakit urinari adalah kumpulan jenis penyakit yang berlaku pada buah pinggang, ureter, pundi kencing dan uretra. Penyakit ini juga boleh mempengaruhi fungsi organ tersebut.
Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan gangguan pada saluran kencing. Sebagai contoh, sebarang jangkitan, abnormaliti pada struktur organ pada sistem urinari, inflamasi dan juga kecederaan boleh membuatkan individu alami ketidakselesaan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Masalah Urologi, sila dapatkannya di sini.
Apa itu hematuria, ureters disease dan glomerulonephritis?
Hematuria ataupun darah di dalam air kencing merupakan satu kondisi yang membimbangkan. Ia juga merupakan tanda jenis penyakit lain yang lebih serius.
Jika darah di dalam urin boleh dilihat dengan mata kasar, kondisi tersebut dikenali dengan nama gross hematuria. Jika tidak, ia dikenali dengan nama microscopic hematuria yang hanya boleh dikesan setelah air kencing dilihat di bawah mikroskop.
Glomerulonephritis pula ialah sejenis penyakit yang berlaku pada kawasan buah pinggang yang menapis darah. Bahagian ini juga dikenali sebagai glomeruli.
Glomerulonephritis yang menyerang secara tiba-tiba dikenali sebagai glomerulonephritis akut. Apabila simptom telah berlaku dalam satu jangka masa yang panjang, penyakit ini akan bertukar menjadi kronik.
Apabila buah pinggang tercedera, ia tidak mampu untuk melakukan tugasannya dengan sempurna. Bahan buangan dan cecair tambahan dalam badan juga tidak boleh dikumuhkan dengan betul.
Jika glomerulonephritis dibiarkan tanpa sebarang rawatan, pesakit mungkin akan mengalami kegagalan buah pinggang.
Selain itu, salah satu jenis penyakit ureter yang boleh berlaku ialah ureteral obstruction, atau halangan pada sebelah atau kedua-dua tiub (ureter) yang membawa urin daripada buah pinggang ke bahagian pundi kencing.
Ureteral obstruction adalah penyakit yang lazim berlaku. Disebabkan ia boleh dirawat, pesakit jarang mendapat sebarang komplikasi yang serius daripada penyakit ini.
Penyakit yang dibincangkan di atas boleh mendatangkan masalah kesihatan yang lebih serius dan boleh membawa maut jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan.
Simptom
Kadangkala, pesakit yang mempunyai penyakit pada saluran kencing tidak akan mengalami sebarang simptom.
Namun, gejala lazim seperti ketidakselesaan, sakit ketika membuang air kecil dan perubahan dari segi bau dan warna adalah antara simptom yang selalunya menandakan penyakit pada saluran kencing.
Ada banyak simptom yang mungkin menandakan anda menghidap hematuria, penyakit ureter atau glomerulonephritis. Ikuti senarai simptom penyakit ini di bawah:
1. Darah di dalam air kencing (hematuria)
Untuk pengetahuan anda, hanya sedikit sahaja darah yang diperlukan untuk menukar warna air kencing kepada merah. Sebab itulah pesakit selalunya tidak akan rasa sakit jika air kencing mereka berdarah.
Namun, berbeza pula jika air kencing tersebut mengandungi darah beku. Darah beku ini akan menimbulkan ketidakselesaan dan kesakitan kepada pesakit ketika membuang air kecil.
Hematuria juga boleh menjadi simptom kepada penyakit lain. Sebagai contoh, hematuria adalah salah satu simptom penyakit glomerulonephritis dan ureteral obstruction.
2. Rasa sakit disebabkan glomerulonephritis
Pesakit yang menghidap glomerulonephritis akan alami rasa sakit pada bahagian abdomen, lebih-lebih lagi apabila ia telah menjadi kronik.
Sebarang halangan pada tiub ureter juga akan menyebabkan individu rasa sakit dan sukar untuk membuang air kecil.
3. Buang air dengan kuantiti yang sedikit
Pesakit yang menghidap ureteral obstruction akan mengalami perubahan dalam jumlah air kencing yang dikeluarkan setiap hari. Selalunya, jumlahnya akan jadi semakin sedikit.
Individu yang menghidap glomerulonephritis pula kerap ingin ke tandas pada waktu malam. Selain itu, mereka juga terpaksa ke tandas kurang ataupun lebih banyak daripada biasa.
4. Kerap dijangkiti UTI
Jangkitan saluran kencing merupakan salah satu punca hematuria.
Antara simptom UTI termasuklah rasa pedih ketika membuang air kecil, rasa terdesak untuk ke tandas dan muncul bau yang kuat serta tidak menyenangkan daripada air kencing.
5. Hilang selera makan
Glomerulonephritis, lebih-lebih lagi setelah ia mencapai tahap yang kronik, boleh menyebabkan pesakit alami kegagalan buah pinggang. Antara simptom-simptomnya ialah:
- Tidak ada selera makan.
- Rasa letih.
- Sukar untuk tidur.
- Kulit kering dan gatal-gatal.
- Rasa kejang ketika tidur pada waktu malam.
6. Loya dan muntah-muntah
Selain simptom yang digariskan di atas, pesakit yang menghidap glomerulonephritis juga mungkin akan rasa loya dan muntah-muntah.
Punca dan faktor risiko
Ada pelbagai perkara yang boleh menyebabkan pesakit alami jenis penyakit hematuria, ureters disease dan glomerulonephritis. Antaranya ialah:
1. Menstruasi sebabkan hematuria
Salah satu punca hematuria dalam kalangan wanita ialah datang haid. Oleh sebab itu, kebanyakan wanita tidak akan rasa risau jika ada darah di dalam air kencing mereka kerana menyangkakan darah tersebut adalah disebabkan datang bulan.
2. Aktiviti seksual
Aktiviti seksual juga boleh menyebabkan pendarahan terutamanya pada bahagian vagina.
Walau bagaimanapun, bukan semua pendarahan ketika melakukan seks adalah bersifat normal.
Pendarahan ketika melakukan aktiviti seksual boleh berpunca daripada trauma, ataupun penyakit lain seperti kanser.
3. Duplikasi ureter
Ureter merupakan saluran yang membawa urin daripada buah pinggang ke bahagian pundi kencing. Kondisi ini merupakan sejenis kecacatan kogential yang berlaku sejak lahir.
Pesakit yang alami duplikasi ureter mempunyai 2 tiub ureter yang terbentuk pada satu buah pinggang. Saluran kedua boleh menjadi normal, ataupun tidak sempurna.
Jika salah satu daripada saluran tersebut tidak berfungsi dengan baik, air kencing pesakit boleh masuk kembali ke dalam buah pinggang dan menyebabkan kerosakan.
4. Kecacatan pada saluran ureter
Ada individu yang mempunyai sambungan yang abnormal di antara ureter dan buah pinggang. Kecacatan ini akan menyebabkan air kencing untuk mengalir kembali ke buah pinggang.
Keadaan ini boleh menyebabkan buah pinggang membengkak dan berhenti berfungsi.
Abnormatliti ini boleh berlaku sejak lahir atau mula berkembang seiring dengan tumbesaran seseorang. Dalam kes yang lebih jarang, keadaan ini juga boleh berlaku disebabkan kehadiran tumor.
5. Jangkitan menyebabkan hematuria
Jangkitan saluran kencing (UTI) berlaku apabila bakteria memasuki badan melalui uretra dan menjangkiti buah pinggang pesakit.
Pada sesetengah orang, hematuria akan berlaku apabila mereka dijangkiti UTI. Tambah lagi, dalam kalangan warga emas. Satu-satunya simptom UTI yang boleh dikesan kadangkala hanyalah darah mikroskopik dalam urin mereka.
Pesakit boleh mengalami glomerulonephritis yang berpunca daripada jangkitan post-streptococcal glomerulonephritis.
Penyakit ini boleh berlaku dalam masa seminggu atau dua minggu selepas pesakit sembuh daripada jangkitan di bahagian tekak ataupun kulit (impetigo).
Kanak-kanak lebih berisiko untuk menghidap post-streptococcal glomerulonephritis berbanding orang dewasa. Walaupun begitu, mereka cepat sembuh daripada jangkitan ini.
6. Glomerulonephritis berlaku disebabkan penyakit lain
Glomerulonephritis boleh berlaku disebabkan penyakit imun seperti lupus, sindrom Goodpasture, dan igA nephropathy.
Lupus merupakan jenis penyakit inflamasi kronik yang boleh menyerang kulit, sendi, buah pinggang, darah, jantung dan paru-paru pesakit.
Sindrom Goodpasture pula ialah jenis penyakit imun paru-paru yang seakan-akan pneumonia. Ia boleh menyebabkan glomerulonephritis dan juga pendarahan pada permukaan paru-paru.
IgA nephropathy pula merupakan episod pendarahan di dalam urin yang disebabkan oleh deposit daripada immunoglobulin A (IgA) di dalam glomeruli. Penyakit ini boleh berlaku selama bertahun-tahun tanpa sebarang simptom yang jelas.
Diagnosis dan rawatan
Semua penyakit ini mempunyai kaedah diagnosis dan rawatan yang berbeza. Oleh sebab itu, berhubunglah dengan doktor untuk mengenal pasti punca sebenar penyakit yang dialami.
Rawatan hematuria, ureters disease dan glomerulonephritis
Penyakit yang berlaku pada kawasan saluran kencing selalunya akan dirawat dengan pemberian ubat tahan sakit, ubat-ubatan, antibiotik dan pembedahan.
Pemberian antibiotik
Pesakit yang mempunyai halangan pada saluran ureter mungkin memerlukan rawatan untuk membuang objek yang menyumbat saluran tersebut. Antara rawatan yang diberikan termasuk pemberian antibiotik untuk mengurangkan jangkitan.
Selain itu, pesakit yang didiagnosis dengan hematuria juga akan dibekalkan bersama antibiotik untuk merawat UTI yang mereka alami.
Mereka juga mungkin perlu melakukan terapi gelombang bunyi untuk memecahkan batu yang terbentuk pada pundi kencing atau buah pinggang mereka. Kadangkala, pesakit hematuria tidak memerlukan sebarang rawatan.
Glomerulonephritis pula selalunya dirawat mengikut punca penyakit tersebut dan sejauh manakah kerosakan yang telah berlaku kepada glomeruli.
Kes yang ringan mungkin tidak memerlukan sebarang rawatan. Namun, doktor mungkin mencadangkan agar pesakit mengubah diet supaya mengambil makanan yang kurang protein, garam dan potasium.
Antibiotik mungkin diberikan kepada pesakit yang menghidap glomerulonephritis untuk mengelakkan jangkitan bakteria yang mungkin berlaku.
Diagnosis hematuria, ureters disease dan glomerulonephritis?
Diagnosis untuk penyakit yang melibatkan saluran urinari juga berbeza mengikut jenis penyakit yang dialami. Namun, secara lazimnya, doktor mungkin akan melakukan senarai diagnosis di bawah untuk penyakit ini:
1. Mengambil sampel urin dan darah pesakit
Doktor akan mengambil sampel urin dan darah pesakit untuk menyelidik sama ada punca penyakit adalah disebabkan jangkitan, pendarahan atau penyakit lain.
Selepas itu, keputusan daripada ujian tersebut akan digunakan untuk menentukan rawatan yang sewajarnya bagi pesakit.
2. Ujian imbasan
Pesakit juga boleh melalui ujian imbasan atau ujian CT untuk mencari punca sebenar penyakit yang di alami.
Jumpa doktor
Komplikasi yang berpunca daripada penyakit saluran kencing yang tidak dirawat boleh menjadi serius dan mengancam nyawa.
Jika anda menghidap penyakit yang berkaitan dengan saluran kencing, risiko komplikasi boleh dikurangkan jika anda mengikut pelan rawatan dengan baik.
Ada banyak senarai komplikasi yang boleh berlaku disebabkan penyakit ini. Sebagai contoh, anemia, kegagalan buah pinggang, kemandulan, kencing tidak lawas dan rasa sakit kronik yang sering dikaitkan dengan hematuria, penyakit ureter dan glomerulonephritis.
Kadangkala, pesakit yang menghidap glomerulonephritis atau hematuria akan sembuh dengan sendirinya tanpa sebarang rawatan. Namun, ada juga pesakit yang memerlukan rawatan selanjutnya untuk mengekalkan fungsi buah pinggang.
Jangkitan merupakan salah satu tanda lazim untuk penyakit yang berlaku pada saluran kencing.
Jika anda mempunyai air kencing yang berbuih, berwarna merah dan rasa pedih ketika membuang air kecil, itu mungkin punca anda menghidap jangkitan.
Jika mempunyai simptom seperti di atas, segera jumpa doktor.