Bolehkah seseorang itu menemui maut hanya disebabkan oleh jangkitan saluran kencing? Jawapannya adalah ya jika ada tanda sepsis yang berlaku. Apa itu sepsis?
Sila lihat penerangan di bawah ini.
Tanya Roberts maut disebabkan jangkitan saluran kencing!
Baru-baru ini, seorang aktres, Tanya Roberts telah maut pada umur 65 tahun.
Puncanya adalah disebabkan oleh jangkitan saluran kencing atau ringkasnya disebut UTI (urinary tract infections).
Beliau merupakan seorang pelakon yang pernah membintangi beberapa filem terkenal termasuklah filem James Bond: A View to Kill pada tahun 1985.
Persoalannya, bagaimana seseorang itu boleh maut disebabkan oleh jangkitan saluran kencing?
Apa yang anda perlu tahu mengenai jangkitan saluran kencing
Saluran kencing merujuk kepada kesemua bahagian tubuh yang terlibat dengan sistem perkumuhan atau kencing.
Ini termasuklah buah pinggang, ureter, uretra dan pundi kencing.
Bakteria ini pula boleh menyebabkan keradangan pada saluran kencing apabila tubuh badan anda mula memberi tindak balas kepada jangkitan tersebut.
Biasanya, jangkitan saluran kencing boleh dirawat pada peringkat awal ia dikesan.
Bagi jangkitan bakteria, penggunaan antibiotik sudah mencukupi.
Namun, dalam beberapa kes, tubuh badan anda mungkin akan memberikan tindak balas yang sangat kuat kepada jangkitan yang berlaku.
Keadaan ini disebut sebagai sepsis.
Keadaan sepsis inilah yang boleh menyebabkan kematian yang berpunca daripada jangkitan saluran kencing.
Apa itu sepsis?
Mesti anda ingin tahu apa itu sepsis. Sepsis ialah satu keadaan kecemasan perubatan yang disebabkan oleh tindak balas tubuh terhadap jangkitan.
Sepsis juga boleh mengancam nyawa. Sepsis berlaku disebabkan kesan keradangan pada seluruh tubuh.
Keradangan dan pembekuan darah yang berlaku ketika sepsis boleh menyebabkan aliran darah berkurangan ke bahagian tubuh dan organ badan yang penting.
Apabila hal ini berlaku, maka organ-organ penting boleh mengalami kegagalan berfungsi seterusnya menyebabkan kematian.
Sekarang anda sudah mengetahui apa itu sepsis.
Siapakah yang berisiko untuk mendapat sepsis?
Sepsis boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Namun, golongan di bawah ini adalah mereka yang paling berisiko untuk mengalami sepsis.
- Warga emas
- Wanita hamil
- Kanak-kanak yang berumur kurang 1 tahun
- Mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik seperti diabetes, buah pinggang dan kanser
- Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti individu yang mempunyai HIV
- Pesakit yang berada di hospital
- Pesakit yang menggunakan bantuan tiub saluran kencing atau tiub pernafasan
Simptom atau tanda sepsis yang perlu anda perhatikan
Terdapat beberapa tanda sepsis yang boleh berlaku mengikut peringkat.
Ada beberapa tanda sepsis yang biasa berlaku. Tanda ini termasuklah tanda sepsis biasa, tanda sepsis teruk atau parah, dan tanda kejutan septik:
Tanda sepsis biasa:
- Mengalami demam yang melebihi 36 darjah Celsius
- Kadar denyutan jantung yang melebihi 90 degupan setiap minit
- Bernafas lebih daripada 20 pernafasan setiap minit
- Kemungkinan berlakunya jangkitan atau jangkitan yang telah disahkan
Tanda sepsis teruk atau parah
Tanda sepsis teruk berlaku apabila terdapat organ yang gagal berfungsi. Antara tanda sepsis teruk adalah seperti berikut:
- Terdapat tompok pada kulit
- Pengeluaran air kencing yang berkurangan
- Perubahan pada keupayaan mental
- Platelet yang berkurangan
- Mengalami masalah untuk bernafas
- Degupan jantung yang tidak normal
- Berasa sejuk kerana penurunan suhu tubuh
- Tidak sedarkan diri
- Berasa lemah yang terlampau
Tanda kejutan septik
Tanda kejutan septik adalah sama dengan tanda sepsis teruk, dengan tambahan tekanan darah yang rendah.
Bilakah perlu berjumpa doktor?
Biasanya, sepsis atau tanda sepsis berlaku ketika seseorang pesakit itu sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Mereka yang berada di Unit Rawatan Rapi lebih terdedah untuk mengalami jangkitan yang kemudiannya menyebabkan sepsis.
Sekiranya anda mendapati simptom atau tanda sepsis berlaku selepas anda pulang dari hospital, segera hubungi ambulans atau terus ke unit kecemasan hospital.
Kesimpulan
Jangkitan saluran kencing biasanya tidak menyebabkan maut. Namun, sekiranya sepsis berlaku disebabkan jangkitan seperti ini, ia boleh mengancam nyawa.
Apatah lagi jika ia berlaku kepada golongan berisiko yang telah dinyatakan sebelum ini.
Oleh itu, jika anda mengalami sebarang jangkitan saluran kencing, jangan berasa malu untuk mendapatkan rawatan sepantas mungkin.