Strok bukanlah satu penyakit yang asing lagi dalam masyarakat kita. Antara punca utama strok atau angin ahmar ialah saluran darah pada otak yang pecah atau terhalang. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa jangkitan pada saluran urinari juga boleh mencetuskan beberapa jenis strok yang berbeza!
Menurut sebuah kajian oleh American Heart Association yang dimuatkan di dalam jurnal Stroke, beberapa jenis jangkitan, terutamanya kencing kotor atau UTI boleh menyebabkan jenis strok iskemia iaitu sejenis angin ahmar yang kerap berlaku.
Semua jangkitan boleh menyebabkan jenis strok berbeza
Apa yang mengejutkan, kajian tersebut menunjukkan semua jenis jangkitan boleh meningkatkan risiko pesakit untuk mengalami jenis strok yang berbeza!
Namun, antara semua jenis jangkitan yang dikaji (jangkitan kulit, perut, saluran kencing, pernafasan dan septisemia), jangkitan saluran kencing didapati mempunyai kaitan yang paling kuat.
Malah, mereka yang menghidap UTI diperhatikan mempunyai risiko 3 kali ganda untuk mengalami serangan strok iskemia dalam masa 30 hari jangkitan.
Lebih teruk lagi, penghidap jangkitan jenis ini mempunyai peningkatan risiko yang mendadak semakin lama mereka mengalami jangkitan.
Bukan itu sahaja, jangkitan saluran kencing juga mempunyai kaitan yang kuat dengan pendarahan dalam kepala. Sebarang pendarahan yang berlaku di antara tisu kepala boleh menyebabkan kerosakan otak dan kematian.
Menurut pengarang kajian ini, Dr. Mandip Dhamoon dari Icahn School of Medicine di Mount Sinai, pekerja kesihatan perlulah lebih peka mengenai risiko strok yang boleh dicetuskan oleh jangkitan.
Malah, semua jangkitan boleh mencetuskan jenis strok yang berbeza.
Beliau juga berkata masih banyak yang perlu dilakukan supaya kaitan di antara jangkitan dan jenis strok boleh dirungkai.
Dengan kajian yang lebih mendalam, doktor dan pekerja kesihatan boleh mengesan cara yang terbaik untuk menghalang serangan strok dalam kalangan pesakit.
Tambah Dr. Dhamoon lagi, penemuan ini mungkin menunjukkan bahawa vaksinasi atau pemberian ubat sebagai rawatan bukan sahaja boleh mengubati jangkitan tersebut, tetapi juga boleh digunakan untuk mengelakkan strok dalam kalangan pesakit yang berisiko.
Namun, pesakit digesa untuk tidak terlalu risau. Walaupun berlaku peningkatan risiko, peratusannya untuk berlaku masih lagi rendah.
Apakah simptom-simptomnya?
Sebagai langkah berjaga-jaga, semua orang perlu tahu simptom dan tanda angin ahmar. Strok merupakan sejenis kecemasan dan paling efektif jika dirawat secepat mungkin.
Antara tanda dan simptom strok ialah:
- Sukar bercakap dan memahami percakapan orang lain. Individu yang mengalami serangan strok akan rasa keliru dan sukar untuk bercakap. Mereka juga tidak memahami percakapan orang lain.
- Lumpuh atau rasa kebas pada kawasan muka, lengan atau kaki. Pesakit akan rasa kejang pada kawasan muka, kaki atau tangan. Selalunya, hanya sebelah badan sahaja yang akan terkesan.
- Sukar untuk melihat melalui kedua-dua belah mata. Anda mungkin sukar untuk melihat atau buta sebelah atau kedua-dua belah mata. Tidak mustahil juga pesakit akan mengalami pandangan yang kabur atau berganda.
- Pening kepala. Pening kepala yang berlaku secara tiba-tiba dan teruk merupakan antara tanda serangan strok. Selalunya, sakit ini akan diikuti oleh simptom lain seperti muntah-muntah dan sukar untuk kekal sedar.
- Sukar berjalan. Anda mungkin akan terjatuh atau hilang imbangan badan. Selain itu, anda juga mungkin akan pening kepala dan hilang koordinasi.
Jangan buang masa dan dail 999 secepat mungkin. Jangan tunggu hingga simptom hilang.
Setiap minit amat berharga untuk pesakit strok. Semakin lama strok dibiarkan tanpa rawatan, lebih teruklah kecederaan yang akan dialami oleh pesakit.
Bolehkah kita mencegah strok akibat UTI pada masa hadapan?
Ya, strok boleh dicegah jika anda mengenali faktor risikonya. Selain itu, gaya hidup yang sihat juga dapat membantu mencegah serangan strok pada masa hadapan.
Kebanyakan strategi untuk mencegah strok berkesan untuk mereka yang belum pernah mengalami angin ahmar, atau untuk pesakit yang ingin mencegah serangan kali kedua.
Selain itu, kebanyakan cara untuk mencegah strok akibat UTI juga sama dengan langkah untuk mencegah penyakit jantung. Antaranya ialah:
- Mengawal tekanan darah. Ini merupakan langkah yang paling penting untuk mengelakkan strok pada masa hadapan. Jika anda pernah mengalami serangan strok, pastikan anda cuba untuk mengurangkan tekanan darah pada masa hadapan.
- Elakkan makanan berlemak. Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak dan kolesterol, terutamanya lemak tepu dan lemak trans. Makanan ini boleh menyebabkan arteri tersumbat.
- Berhenti merokok. Merokok bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan anda, malah ia juga punca pelbagai jenis penyakit kronik seperti sakit jantung dan juga kanser.
- Urus diabetes dengan baik. Pastikan kadar gula dalam darah berada dalam julat yang sihat. Jika tidak, anda perlu mengubah diet, lakukan senaman dan juga menurunkan berat badan untuk mengelakkan serangan strok pada masa hadapan.
- Bersenam dengan kerap. Tidak dinafikan, senaman merupakan salah satu langkah yang terbaik untuk mengelakkan pelbagai jenis penyakit. Ia boleh mengurangkan tekanan darah, meningkatkan tahap kolesterol baik dan juga kesihatan anda secara am.
Kesimpulannya, beberapa jenis jangkitan yang berbeza boleh mencetuskan serangan strok. Namun, ada banyak langkah yang kita boleh lakukan untuk menghindarinya pada masa hadapan.
Oleh sebab itu, jika anda mempunyai jangkitan, terutamanya UTI, dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin. Ia mungkin dapat menyelamatkan nyawa anda.