backup og meta

Boleh Ke Pesakit Psoriasis Memiliki Tatu Badan? Sebelum Buat, Baca Artikel Ini!

Boleh Ke Pesakit Psoriasis Memiliki Tatu Badan? Sebelum Buat, Baca Artikel Ini!

Untuk yang menyukai tatu seni badan, kulit mungkin dilihat sebagai kanvas. Akan tetapi, bagaimana pula bagi mereka yang mempunyai penyakit psoriasis?

Tatu adalah satu bentuk seni badan popular yang dilakukan segelintir individu untuk mengekspresikan diri.

Namun, jika anda mempunyai psoriasis dan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan tatu, adalah penting untuk memahami potensi risiko terlebih dahulu.

Psoriasis merupakan penyakit autoimun yang menyebabkan sistem imun menjadi terlalu aktif yang membuatkan sel darah putih menyerang sel kulit, sekali gus mempercepatkan proses penghasilan sel.

Ia juga adalah penyakit kulit yang kronik di mana kulit penghidap menebal lebih cepat daripada kulit yang normal.

Pun begitu, penyakit ini tidak berjangkit dan kawasan yang biasa berlaku adalah kulit kepala, lutut, siku lengan dan kaki. Akan tetapi, ia boleh melibatkan bahagian badan lain termasuk kuku.

Apa itu tatu badan?

Untuk pengetahuan anda, tatu adalah lukisan atau tanda kekal di atas kulit yang dibuat dengan menggunakan dakwat pigmen atau pewarna yang dimasukkan ke kulit melalui tusukan jarum ke lapisan dermis.

Dakwat dimasukkan ke dalam lapisan dermis kerana sel kulit di bahagian ini adalah stabil, oleh itu tatu akan menjadi kekal.

Selain itu, tatu boleh dilakukan secara manual (menggunakan tangan) atau dengan menggunakan peralatan elektrik yang menggunakan sistem tiub dan jarum.

Biasanya dengan menggunakan peralatan elektrik ini, jarum akan mencucuk kulit lebih kurang 3 mm dalam, dan dakwat yang disimpan dalam tiub tersebut akan dimasukkan ke dalam lubang tusukan jarum.

Biasanya, proses pembuatan tatu ini tidak menggunakan bius, oleh itu anda mungkin akan berasa sakit semasa prosedur itu dijalankan.

Bukan itu sahaja, pendarahan kecil juga boleh berlaku di kawasan tusukan jarum tersebut.

Mencacah tatu bagi pesakit psoriasis

psoriasis

Bagi penderita penyakit ini yang sedang mempertimbangkan untuk melakukan tatu badan, terdapat beberapa faktor yang harus kalian fikirkan terlebih dahulu, merangkumi:

  • Lokasi

Seseorang yang mempunyai psoriasis mungkin mempunyai tompok atau kondisi kulit yang kelihatan bersisik.

Tetapi, kondisi ini mungkin berbeza bagi setiap orang dan juga bergantung pada tahap keparahan serta jenis tertentu.

Bagi jenis psoriasis inverse (terbalik), ia berkemungkinan besar terjadi pada lipatan kulit, tapi untuk psoriasis plak (jenis paling umum) boleh berlaku hampir di mana sahaja pada anggota badan.

Justeru, semasa memutuskan lokasi tatu yang sesuai, pesakit dinasihatkan untuk melakukannya di tempat yang tidak akan berlaku perubahan kulit.

Walau bagaimanapun, keradangan dan kerengsaan mungkin berlaku akibat kecederaan yang ditimbulkan oleh tusukan jarum.

Tambahan itu, adalah mustahil untuk mencacah tatu secara berkesan terutamanya di kawasan yang mempunyai tekstur bersisik kerana kewujudan pengumpulan sel-sel kulit.

  • Jangkitan dan alahan

Selain masalah pemilihan lokasi tatu, risiko jangkitan dan reaksi alergi juga berpotensi untuk tercetus.

Ini kerana jarum tatu menembusi lapisan kulit untuk memasukkan pewarna.

Ini secara langsung meningkatkan risiko bakteria dan kuman berbahaya ke dalam kulit, lalu menyebabkan jangkitan serius.

Bukan itu sahaja, pigmen dakwat pewarna yang digunakan kadangkala boleh menyebabkan reaksi alergi terutamanya bagi pesakit psoriasis.

Juga, mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami reaksi yang disebut fenomena Koebner.

Apa pula yang dimaksudkan fenomen Koebner dan bagaimana ia berkaitan dengan penyakit kulit ini? Jom baca!

Apakah fenomena Koebner?

plak psoriasis

Fenomena Koebner boleh menyebabkan psoriasis plak terbentuk di kawasan kulit yang sihat akibat kecederaan atau jangkitan.

Kecederaan kulit yang ringan seperti kesan cakar sudah cukup mencetuskan fenomena ini, apatah lagi disebabkan tindak balas oleh proses tatu, terutama pada penderita psoriasis.

Pesakit mungkin beranggapan dengan memilih lokasi tatu di kulit yang sihat dan tidak bermasalah ialah pilihan terbaik.

Walau bagaimanapun, setelah mencacah tatu, kesan luka psoriasis yang baharu boleh terbentuk, dan biasanya berlaku dalam tempoh masa beberapa minggu kemudiannya.

Dalam fenomena Koebner, gejala biasanya hanya mempengaruhi kawasan di mana kerosakan kulit telah berlaku. Ia bukanlah sejenis jangkitan, dan bukan juga bersifat berjangkit.

Apa yang membimbangkan, para doktor juga tidak dapat memahami sepenuhnya mengapa fenomena Koebner ini berlaku.

Oleh sebab itu, penderita penyakit ini harus menyedari risiko luka yang boleh terjadi di kawasan bertatu, walaupun psoriasis plak tidak pernah terjadi di kawasan itu sebelumnya.

Risiko yang harus difikirkan

Tahukah anda, trauma kulit merupakan pencetus umum bagi psoriasis?

Pencetus lain turut merangkumi tekanan, pendedahan cahaya matahari yang berlebihan, dan tabiat merokok.

Tambahan itu, pesakit harus beringat bahawa mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami luka baharu setelah melakukan tatu.

Risiko yang sama juga harus dipertimbangkan oleh mereka yang tidak mempunyai masalah ini apabila hendak melakukan tatu. Sebagai contoh:

  • Pencemaran silang: Terdapat peraturan yang ketat untuk membersihkan alatan dan jarum, tetapi tidak ada jaminan bahawa setiap pencacah tatu akan mematuhinya dengan betul. Sekiranya mereka menggunakan jarum yang sama atau tidak menyimpan jarum dalam keadaan steril, seseorang individu berisiko dijangkiti penyakit serius, seperti HIV, hepatitis B atau C
  • Pencemaran dakwat: Pernah terjadi, ada syarikat yang menarik balik beberapa produk akibat pencemaran bakteria yang berlaku di dalam dakwat tatu

Kesimpulannya…

Sebagai penutup kata, individu dengan penyakit psoriasis harus menimbang tara keputusan untuk melakukan tatu sedalam-dalamnya.

Seperti yang telah dikupaskan oleh artikel ini, walaupun tatu dicacah pada kawasan kulit yang sihat, namun masih tiada jaminan fenomena Koebner tidak akan berlaku.

Apa pun, bagi pesakit psoriasis yang benar-benar berminat dengan tatu seni badan, dapatkan khidmat nasihat doktor atau pakar terlebih dahulu sebelum melakukannya.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/adult-health/in-depth/tattoos-and-piercings/art-20045067
  2. https://uhs.umich.edu//bodyart
  3. https://www.dermnetnz.org/topics/the-koebner-phenomenon/
  4. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4391350/
  5. https://www2.mst.dk/Udgiv/publications/2017/06/978-87-93614-06-2.pdf

Versi Terbaru

21/06/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Nak Lawan Penyakit Kulit Psoriasis, Mudah Sahaja! Kuatkan Sistem Imun Badan Anda

Cara Membuang Tatu Badan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 21/06/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan