Penyakit kulit psoriasis merupakan satu penyakit tidak berjangkit yang menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan dan bersisik lebih-lebih lagi pada bahagian siku, lutut, dan kulit kepala.
Penyakit ini merupakan penyakit kronik yang tidak ada penawar. Oleh itu, aktiviti harian seperti bercukur akan menjadi amat sukar untuk pesakit psoriasis.
Bercukur, jika tidak dilakukan dengan betul boleh menyebabkan luka pada permukaan kulit. Ini akan membuatkan kulit menjadi gatal dan memburukkan lagi psoriasis yang dialami pesakit.
Jangan salah bezakan antara psoriasis dan ekzema!
Walaupun kedua-duanya merupakan penyakit kulit, namun penting untuk anda dapat bezakannya supaya boleh mengenal pasti rawatan yang betul.
Penghidap penyakit kulit psoriasis boleh mengalami fenomena Koebner (Koebner phenomenon) jika tidak berhati-hati semasa bercukur.
Fenomena Koebner merujuk kepada pembentukan luka pada kawasan kulit yang tidak pernah dijangkiti psoriasis.
Hampir separuh daripada pesakit psoriasis pernah mengalami fenomena Koebner dalam hidup mereka.
10% daripada mereka melaporkan fenomena ini terjadi apabila terdapat luka pada permukaan kulit. Oleh itu, pesakit psoriasis haruslah lebih berhati-hati semasa bercukur.
Selain itu, pesakit psoriasis juga mempunyai potensi untuk mengalami masalah arthritis.
5 tip bercukur secara selamat untuk penghidap penyakit kulit psoriasis
Tip 1: Amalkan cukuran basah (wet shave)
Cukuran basah merupakan antara cara bercukur yang paling digemari pesakit psoriasis.
Bukan sahaja cara cukuran ini lebih selamat, malah cara ini juga dapat mengurangkan luka dan iritasi ketika bercukur.
Cukuran basah bukan sahaja merujuk kepada permukaan kulit yang basah ketika bercukur.
Akan tetapi, cara cukuran ini juga merujuk kepada penggunaan gel atau krim pencukur yang akan memastikan cukuran anda rapat dengan kulit.
Sebelum anda ingin mencuba cara ini, pastikan gel atau krim pencukur yang anda gunakan sesuai dengan kulit anda ya!
Tip 2: Penghidap penyakit kulit psoriasis boleh gunakan pencukur berkualiti
Ada pesakit psoriasis yang lebih gemar menggunakan pencukur elektrik walaupun cukurannya lebih kasar.
Ada juga yang lebih suka gunakan pencukur biasa kerana lebih mudah untuk mengawal cukuran pada permukaan kulit.
Jika anda mahu gunakan pencukur biasa, cuba pencukur yang mempunyai 3 bilah pisau atau kurang.
Pisau yang mempunyai 4 bilah lebih sukar untuk dikawal mengikut kontur muka.
Pendek kata, gunakan pencukur yang tajam, berkualiti dan sesuai dengan keadaan kulit.
Tip 3: Gunakan pelembap selepas bercukur
Penghidap penyakit kulit psoriasis pasti mempunyai pelembap sendiri yang dirasakan sesuai dengan kulit. Fungsi pelembap adalah untuk mengelakkan kulit menjadi kering, mengelupas dan berkuping.
Kulit yang kering akan menggalakkan lagi psoriasis. Oleh itu, selalulah amalkan pemakaian pelembap untuk lindungi kulit anda.
Pelembap akan membuatkan kuping pada kulit menjadi lebih lembut dan mudah tertanggal. Pemakaian pelembap juga boleh mengurangkan rasa gatal dan iritasi pada kulit.
Jika anda mengalami psoriasis yang teruk, cuba amalkan bercukur selepas mencuci muka.
Sapukan emolien pada kulit sebelum menggunakan gel atau krim pencukur. Cara ini dapat membantu anda mendapatkan cukuran yang lebih licin dan selamat.
Tip 4: Elakkan bercukur selalu
Jika boleh, elakkanlah untuk selalu bercukur. Bercukur secara kerap akan buatkan kulit anda mengalami gatal-gatal.
Selain itu, bulu yang pendek juga sukar untuk dicukur. Oleh itu, ada kemungkinan untuk anda mengalami iritasi jika bercukur terlalu kerap.
Tip 5: Jangan takut untuk cuba sesuatu yang baru
Pesakit psoriasis harus sentiasa bereksperimen untuk mencari cara yang paling sesuai dan tidak menyakitkan ketika bercukur.
Menurut Helen Hanrahan dan Simon Jury daripada National Psoriasis Foundation, mereka berdua akui bahawa proses ini memakan masa yang agak lama.
Helen sendiri telahpun mencuba pelbagai cara baharu semasa bercukur termasuklah menggunakan conditioner rambut sebagai ganti gel pencukur.
Selain itu, Simon pula mencadangkan pesakit psioriasis untuk ambil masa dan kenal pasti alat yang sesuai ketika bercukur.
Penting bagi pesakit psoriasis untuk bercukur secara perlahan-lahan supaya tidak melukakan kulit.
Jadi, apa yang penghidap penyakit kulit psoriasis perlu lakukan?
Pesakit psoriasis pasti rasa tidak selesa untuk meneruskan aktiviti seharian dengan keadaan kulit mereka.
Di samping bergelut dengan aktiviti harian seperti penjagaan diri, pesakit psoriasis juga terpaksa melawan stigma yang mereka hadapi saban hari.
Walaupun psoriasis tiada penawar, rawatan menggunakan ubat-ubatan topikal atau penggunaan ubat biologik dapat membantu mengawal penyakit ini.
Anda juga boleh mencuba beberapa cara untuk merawat psoriasis secara semula jadi.
Cuba elakkan daripada menggaru kawasan yang terkena psoriasis kerana keadaan kulit akan jadi lebih teruk. Kulit akan menebal dan mungkin berjangkit pula pada kawasan lain.
Jika anda mengalami psoriasis yang teruk, sila lawati klinik kesihatan yang terdekat dan dapatkan nasihat pakar.
Rawatan akan diberi bergantung kepada tahap keseriusan psoriasis yang anda alami.