backup og meta

Ini 5 Tip Penjagaan Untuk Kulit Wajah Yang Kering Semasa Ramadan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    Ini 5 Tip Penjagaan Untuk Kulit Wajah Yang Kering Semasa Ramadan

    Bulan puasa merupakan bulan yang dinanti-nantikan umat Islam di negara kita. Walau bagaimanapun, disebabkan cuaca yang panas, ramai yang alami masalah kulit kering di muka.

    Alamak, macam mana ni? Beberapa minggu lagi kita akan sambut hari raya. Mana boleh sambut dengan kulit yang kusam dan tidak bermaya! Jangan risau, kami ada solusinya di sini.

    Tahukah anda, bukan semua orang terdedah dengan masalah kulit kering? Kulit yang kering membuatkan wajah nampak kasar, berkuping dan bersisik.

    Walau bagaimanapun, kulit kering bukanlah satu masalah yang mendatangkan bahaya. Kulit kering merupakan kondisi lazim yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

    Tetapi, bagaimana hendak mengatasi masalah kulit kering pada bulan puasa? Kalau anda hendak kelihatan cantik di Hari Raya, pertama sekali anda perlulah memakai produk yang betul.

    Malah, banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk mengurangkan masalah kulit kering, termasuklah memakai pelembap dan pelindung matahari sepanjang tahun.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.

    Tanda kulit kering di muka

    kulit kering di muka

    Selalunya, kulit kering di bulan puasa merupakan sesuatu yang sementara.

    Manakan tidak, pada waktu ini, cuaca sangatlah panas. Kita juga tidak minum air kosong dengan mencukupi. Oleh sebab itu, kita terdedah dengan dehidrasi.

    Walau bagaimanapun, masalah kulit kering boleh berlarutan tanpa pencegahan awal.

    Tanda serta simptom kulit kering juga mungkin berbeza mengikut umur, tahap kesihatan, masa yang dihabiskan di luar rumah serta lokasi tempat tinggal anda.

    Antara tanda kulit kering di muka yang perlu diperhatikan:

    1. Kulit nampak dan rasa kasar.
    2. Kulit rasa ketat, terutamanya selepas mandi atau berenang.
    3. Kulit mengelupas atau bersisik.
    4. Gatal-gatal kulit.
    5. Kulit bertukar kelabu.
    6. Wajah kemerah-merahan.
    7. Kulit merekah dan mungkin berdarah.

    Berita baiknya, ada banyak produk di luar sana yang boleh menyelesaikan masalah kulit kering. 

    Malah, perubahan gaya hidup seperti memakai pelembap serta menjauhkan diri daripada terik matahari juga dapat membantu.

    Namun, untuk mereka yang menghidap masalah kulit kering yang kronik, anda perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin.

    Kulit kering selalunya tidak akan mendatangkan masalah yang besar. Namun, jika ia tidak dirawat, masalah ini mungkin akan berlarutan menjadi ekzema. Malah, kawasan yang terluka juga boleh dijangkiti bakteria dan mengalami inflamasi.

    Baca juga:

    5 tip penjagaan kulit kering ketika puasa

    Bagi mereka yang mempunyai kulit kering di muka ketika bulan puasa, ada beberapa tip yang mungkin dapat membantu:

    kulit kering di muka

    1. Basuh muka sekurang-kurangnya dua kali sehari

    Individu yang mempunyai wajah yang kering digalakkan untuk memakai pencuci muka yang lembut dan bebas alkohol. 

    Cari produk yang mengandungi asid stearik atau asid linoleik yang dapat membantu memperbaiki kulit.

    Jika anda mempunyai ubat-ubatan khas untuk merawat kulit kering, sapu ubat tersebut ketika wajah anda masih lagi lembap.

    Kemudian, sapu pelembap pada wajah. Pilih pelembap yang berbentuk krim dan bukannya minyak. Jangan lupa pakai pelindung matahari dengan SPF sekurang-kurangnya 30.

    2. Pilih pelembap yang betul untuk kulit muka

    kulit kering di muka

    Mereka yang mempunyai kulit muka yang kering perlu memakai pelembap beberapa kali sehari, lebih-lebih lagi ketika kulit rasa kering selepas mandi.

    Tidak dinafikan, mencari pelembap yang sesuai dengan wajah bukanlah sesuatu yang mudah. 

    Oleh sebab itu, anda mungkin perlu mencuba beberapa jenis produk yang berbeza sebelum menemui produk yang sesuai dengan kulit anda.

    Sebagai panduan, cari produk yang mengandungi bahan seperti urea, asid lemak, ceramides atau gliserin. Bahan-bahan ini dapat menyembuhkan kulit wajah dan melembapkannya.

    Elakkan produk yang mengandungi sodium lauryl sulfate yang akan menyebabkan kulit kering di muka menjadi semakin teruk.

    3. Jangan mandi terlalu lama

    Amalan mandi terlalu lama sebenarnya boleh membuatkan kulit kering di muka menjadi semakin teruk. Sama jugalah dengan mereka yang suka mandi menggunakan air panas.

    Jika kulit muka anda kering, hadkan masa mandi selama 5 hingga 10 minit. Gunakan air yang hangat dan bukannya panas.

    Cara mandian yang betul untuk individu yang mempunyai kulit kering ialah:

  • Gunakan pencuci wajah yang lembut dan bebas pewangi.
  • Jangan gunakan terlalu banyak pencuci muka, cukup sekadar untuk menghilangkan kekotoran dan minyak di muka.
  • Jangan kesat muka dengan tuala. Sebaliknya, tekap secara perlahan-lahan sehingga kering.
  • Terus sapukan pelembap setelah kulit kering.
  • 4. Cari pencuci muka yang bebas pewangi

    Ada pencuci muka yang mengandungi pewangi dan tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit sensitif. Jika boleh, cari produk yang mempunyai label ‘bebas pewangi’ atau ‘fragrance free’.

    Produk yang tertulis ‘unscented’ pula mungkin selamat. Namun, besar kemungkinan ia mengandungi bahan kimia lain yang bertujuan untuk menghilangkan bau tertentu.

    Bahan kimia ini mungkin akan membuatkan kulit kering di muka menjadi semakin serius.

    5. Jangan jaga kulit muka sahaja, pakai lip balm juga!

    bibir

    Jangan lupa kawasan bibir! Jika muka kering, besar kemungkinan bibir juga mudah merekah dan pecah.

    Pilih pelembap bibir yang selesa untuk dipakai. Jika bibir rasa pedih, berhenti gunakan produk tersebut. Cari lip balm yang tidak akan menyebabkan reaksi ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan