Penggunaan inai hitam atau henna sebagai hiasan di tangan kaum wanita adalah sangat popular dalam kalangan masyarakat kita dan ia sudah menjadi satu trend.
Trend ini sering kali digunakan di majlis-majlis keraian seperti pertunangan, perkahwinan, persandingan dan lain-lain acara yang menjadi medan perhiasan diri.
Dalam tidak sedar, sebenarnya inai ini akan bawa mudarat pada kulit anda kerana katanya boleh meninggalkan parut. Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut lagi tentangnya.
Tradisi berinai yang popular di negara kita!
Buat anda yang mungkin belum tahu, inai adalah sejenis pewarna semula jadi yang diekstrak daripada pokok inai dan popular digunakan sebagai hiasan pada kulit.
Di negara kita, ia sering kali digunakan pada kulit, kuku dan rambut sebagai hiasan yang boleh kekal sehingga beberapa hari atau minggu, bergantung jenisnya.
Kebiasaannya, inai yang diekstrak secara semula jadi akan berwarna seakan merah, coklat atau oren namun turut boleh menjadi hitam jika dicampur bahan lain.
Meskipun ia sudah lama menjadi tradisi turun-temurun oleh nenek moyang kita semua, namun masih ada individu yang belum tahu inai mungkin boleh bawa mudarat.
Mudarat ini pula akan jauh lebih bahaya lagi jika anda guna henna pada kulit! Kenapa?
Ia mengandungi bahan kimia berbahaya?
Untuk pengetahuan anda, berinai itu mungkin tidak begitu berbahaya jika anda menggunakan inai dengan warna semula jadi seperti warna merah, coklat atau oren.
Pun begitu, akan timbul masalah jika inai yang digunakan itu adalah inai hitam atau henna kerana ia mengandungi bahan kimia paraphenylenediamine (PPD).
Menurut Pengarah Cosmetic, Toiletry & Perfumery Association (CTPA) Dr Chris Flower, PPD mungkin boleh jadi punca kerengsaan dan keradangan pada kulit.
“PPD itu secara dasarnya adalah selamat dan biasa digunakan di dalam proses pembuatan pewarna solekan. Namun, inai hitam pula adalah sangat tinggi dengan bahan kimia, untuk tujuan memberi warna gelap dengan lebih cepat dan kuat”, jelas beliau lagi.
Disebabkan bahan kimia ini, penggunaan inai hitam pada rambut, kuku dan kulit khususnya adalah sangat tidak digalakkan ekoran ia akan bawa mudarat seperti meninggalkan parut kekal.
Apa kesan negatif inai hitam pada kulit?
Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, bahan kimia PPD boleh jadi punca kemudaratan jika ia digunakan ke atas kulit pada tempoh yang agak lama.
Berikut adalah antara kesan negatif penggunaan henna pada kulit yang sangat bahaya:
#1. Memanjangkan tempoh inai itu melekat
Penggunaan hiasan inai semula jadi yang berwarna merah, coklat atau oren itu biasanya mungkin akan melekat pada kulit selama beberapa tempoh tertentu sahaja.
Pun begitu, sesetengah inai yang berwarna hitam yang dicampur dengan bahan kimia pula boleh melekat lebih lama lantas membuat ia amat sukar dibuang jika tidak lagi perlu.
#2. Menyebabkan reaksi alergi pada kulit
Sekiranya anda mempunyai kulit yang sensitif, maka risiko anda untuk mengalami reaksi alergi pada kulit ini adalah lebih tinggi berbanding kulit yang biasa.
Kesan daripada reaksi alergi ini, kulit anda mungkin akan mengalami kemerahan, kegatalan dan ketidakselesaan yang memerlukan rawatan lanjut dengan segera.
#3. Mengakibatkan rasa pedih pada kulit
Paling menakutkan, penggunaan henna secara semberono mungkin akan mengakibatkan rasa pedih akibat kerengsaan dan keradangan pada kulit anda.
Serupa dengan reaksi alergi, kulit anda mungkin akan merah, gatal, tidak selesa dan ditambah pula dengan rasa pedih seakan kulit yang terbakar atau melecur.
Risiko parut kekal tinggi akibat inai hitam!
Selain 3 kesan negatif di atas tadi, wujud juga akibat jangka masa panjang yang sudah pasti mahu dielakkan oleh pengguna henna iaitu wujudnya perut kekal.
Ada satu kes yang melibatkan seorang kanak-kanak wanita di mana tangannya mula tumbuh gelembung air selepas terlalu lama menggunakan inai hitam.
Akibatnya, gelembung itu terpaksa dibuang melalui pembedahan minor dan ia telah jadi punca parut yang kekal pada kulit tangan kanak-kanak malang itu.
Setelah disiasat dengan lebih dalam, dipercayai bahawa henna yang digunakan memang tinggi dengan kandungan PPD dan ditambah pula dengan kondisi kulit sensitif penggunanya itu sendiri.
Disebabkan itu, orang ramai telah dinasihatkan untuk tidak menghias kulit dengan henna ekoran bahan kimia berbahaya yang terkandung di dalamnya.
Konklusinya, sila guna henna dengan waspada…
Sebenarnya, mungkin tidak salah untuk anda guna inai pada kulit, kuku atau rambut asalkan ia adalah produk semula jadi dan tidak ditambah bahan kimia lain.
Sebaiknya, sila berkomunikasi dan berkonsultasi dengan doktor pakar dermatologi terlebih dahulu sebelum anda membeli atau mengguna sebarang produk inai.