“Aduh, banyaknya blackheads kat hidung ni! Ada ke cara hilangkan bintik hitam di muka?” Bintik hitam atau blackheads merupakan satu bentuk jerawat yang sangat menjengkelkan. Disebabkan ia tertanam dalam pori wajah, membuang bintik hitam merupakan sesuatu yang amat sukar.
Ramai yang sangka, blackheads terbentuk disebabkan pengumpulan kotoran pada kulit wajah. Namun, anggapan ini tidak benar sama sekali.
Bintik hitam berlaku apabila pori wajah tersumbat dengan sel kulit mati dan minyak.
Bahan-bahan ini akan mengalami proses oksidasi setelah terdedah dengan udara. Lama-kelamaan, ia akan bertukar kehitam-hitaman dan menjadi blackheads.
Cara hilangkan bintik hitam di muka
Bintik hitam lebih banyak muncul pada kawasan muka yang menghasilkan banyak minyak, seperti di dahi, hidung dan dagu. Kawasan ini turut dikenali sebagai zon-T.
Kadangkala, blackheads juga boleh terbentuk di dalam cuping telinga, pada kawasan bahu, belakang badan dan dada.
Walau bagaimanapun, pembentukan blackhead adalah normal. Malah, sukar untuk kita mengatasinya secara keseluruhan.
Tapi, itu tidak bermaksud tidak ada cara hilangkan bintik hitam di muka.
Berbeza dengan bintik putih, bintik hitam amat degil dan boleh berkekalan sehingga berbulan-bulan lamanya jika tidak dibuang.
Di dalam artikel ini, kami akan kongsikan beberapa tip penjagaan wajah untuk mengurangkan pembentukan blackheads.
1. Basuh muka dengan pencuci muka yang lembut
Elakkan menggunakan skrub yang kasar untuk menyental hidung semata-mata untuk membuang blackheads.
Amalan ini bukan sahaja akan melukakan kulit, skrub yang kasar hanya akan mengeringkan kulit dan membuatkan kulit jadi lebih berminyak. Akibatnya, lebih banyak bintik hitam yang akan muncul pada kawasan kulit nanti.
Cuba gunakan pembersih wajah yang mengandungi asid glikolik atau asid salisilik. Kedua-dua asid ini dapat membersihkan pori dengan lebih dalam dan berkesan.
Cara hilangkan bintik hitam di muka #2. Wapkan wajah terlebih dahulu
Sebelum mencuci muka atau melakukan pengekstrakan, wap wajah dengan tuala hangat untuk membuka pori dan melembutkan sebarang partikel yang tersumbat di dalamnya.
Menurut Renee Reuleau, seorang pakar kecantikan di New York, ada cara hilangkan bintik hitam di muka secara mudah dan berkesan.
Pertama sekali, mandi seperti biasa. Kemudian, sapukan pelembap pada kawasan yang dipenuhi blackheads. Pelembap akan memerangkap haba pada kulit dan memudahkan proses ekstraksi.
Letakkan balutan plastik pada wajah dan letakkan tuala hangat di atasnya. Selepas beberapa minit, sapukan pelembap sekali lagi sebelum melakukan ekstraksi.
3. Jika perlu picit, jangan gunakan kuku
Elakkan memicit bintik hitam menggunakan kuku. Jika tidak, habislah kulit jadi menggerutu dan berparut!
Cara yang terbaik adalah menggunakan alat ekstraksi. Untuk menggunakannya secara betul, pastikan bahagian hujungnya pada sebelah bintik hitam. Bahagian yang bengkok sepatutnya pada kulit dan batangnya yang lurus dipegang secara menegak.
Perlahan-lahan, tekan dan picit bintik hitam tersebut sehingga partikel hitam di dalamnya terkeluar. Namun, jika anda tidak boleh mengeluarkan blackhead tersebut, berhenti dan serahkannya pada pakar.
Selepas ekstraksi, sapu wajah dengan toner antibakteria.
4. Lakukan proses pengelupasan
Proses pengelupasan atau exfoliating yang terbaik adalah menggunakan bahan kimia. Cuba cari produk yang mengandungi asid glikolik, asid laktik dan asid salisilik.
Semua asid ini bertindak lembut terhadap kulit, namun masih berkesan untuk melawan pembentukan bintik hitam.
Malah, anda tidak perlu gunakan produk ini di seluruh wajah. Cukup pada kawasan hidung, dagu dan dahi yang terkesan dengan blackhead.
5. Gunakan pore strip untuk membuang bintik hitam
Mudah dan murah, pore strip merupakan alat kegemaran ramai untuk membuang bintik hitam pada hidung. Lekatkan sahaja pada hidung dan tanggalkannya, senang bukan!
Walau bagaimanapun, pore strip hanya bertindak membuang bahagian luar blackhead sahaja. Ia tidak dapat menghalangnya daripada terbentuk lagi.
Cara hilangkan bintik hitam di muka #6. Jangan lupa gunakan pelembap
Walaupun minyak merupakan penyebab utama bintik hitam, wajah kita masih perlukannya untuk nampak sihat dan bermaya. Malah, kulit yang kering hanya akan menyebabkan blackhead tumbuh dengan lebih teruk!
Tetapi, gunakan pelembap yang ringan dan tidak akan menyebabkan pori tersumbat. Elakkan pelembap yang mempunyai minyak kelapa atau minyak avocado.
7. Gunakan vitamin C untuk membuang bintik hitam
Siapa sangka bahan pencerah kegemaran ramai ini dapat mengurangkan bintik hitam?
Bintik hitam merupakan sejenis minyak yang telah teroksida. Vitamin C dapat mengelakkan proses ini daripada berlaku, lantas mencegah pembentukan blackhead daripada akarnya!
Walau bagaimanapun, gunakan serum vitamin C yang berkualiti. Vitamin C yang tidak stabil hanya akan membuatkan masalah bintik hitam menjadi semakin teruk.
Jadi, jangan beli serum yang murah. Tidak mengapa jika anda berbelanja lebih untuk produk yang berkualiti dan berkesan.
8. Jumpa pakar jika semuanya tidak berkesan
Kadangkala, cara yang terbaik untuk membuang bintik hitam pada muka adalah dengan mendapatkan rawatan daripada pakar.
Ahli dermatologi yang terlatih boleh melakukan proses ektraksi dengan selamat. Malah, mereka juga boleh memberikan nasihat mengenai penjagaan wajah untuk mengelakkan bintik hitam daripada mengganggu hidup anda lagi.