
Kebanyakan lelaki tidak mementingkan hal-hal penampilan diri mereka. Pemikiran ini sebenarnya tidak betul kerana realitinya lelaki juga perlu mementingkan penampilan mereka agar sentiasa kelihatan kemas, bersih dan tampan. Ikuti artikel ini untuk mengetahui kesilapan penampilan lelaki yang selalu terjadi dan cara untuk memperbetulkannya.
Kesilapan Penampilan Lelaki
#1. Tidak menggunakan pelembap muka
Lelaki kebiasaannya tidak mengambil peduli untuk menyapu krim pada muka kerana mereka sendiri mungkin tidak tahu produk yang perlu digunakan. Anda perlu tahu bahawa kulit kering tidak menonjolkan imej maskulin sebaliknya menunjukkan imej yang selekeh. Sebaiknya, anda sebagai lelaki boleh bertanya kepada pasangan, rakan atau ahli keluarga wanita anda untuk memilih pelembap muka yang paling sesuai untuk kulit muka ada.
#2. Jambang yang terlalu serabut
Kini, jambang dianggap sebagai satu trend. Namun begitu, jika ia terlalu panjang atau serabut, ia kelihatan buruk. Apa yang boleh lelaki lakukan adalah kunjungi salun atau kedai gunting rambut untuk mengemaskannya. Selain itu, sentiasa sapukan minyak dan syampu dengan kerap agar ia sentiasa kelihatan kemas dan mudah untuk dirapikan.
#3. Memakai wangian yang berlebihan
Memakai pakaian yang segak dan tampan untuk menghadiri temasya adalah sangat penting. Lelaki perlu membersihkan diri dan menyembur wangian untuk menggoda pasangan anda. Namun begitu, anda tidak perlu terlebih dalam melakukannya. Ini kerana hidung wanita jauh lebih sensitif berbanding lelaki. Disebabkan itu, memakai wangian yang terlalu banyak boleh menyebabkan wanita pening kepala. Caranya, hanya gunakan wangian pada bahagian badan tertentu seperti pergelangan tangan, belakang telinga dan tengkuk. Ini kerana apabila suhu badan anda meningkat, bau wangian itu akan melekat pada kulit dan tersebar untuk sepanjang hari.
#4. Kuku yang tidak kemas
Selagi kuku lelaki tidak penuh dengan kotoran di celahnya, mereka tidak akan memberi perhatian kepada kuku mereka. Anda perlu tahu bahawa di sebalik tangan yang bersih, kuku anda juga perlu diberi perhatian untuk memberi persepsi yang baik kepada pasangan anda. Tidak perlu sehingga melakukan rawatan kuku di salun, cukup sekadar anda mengetip dan mengemaskannya di rumah atau minta individu lain melakukannya untuk anda.
#5. Kening dan bulu hidung yang terlalu panjang
Ada kajian saintifik yang menunjukkan bahawa individu akan memandang tepat ke mata, hidung dan mulut apabila memandang individu yang sedang bercakap. Oleh itu, kemaskan bulu hidung dan kening anda sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi menjaga kekemasan imej anda. Selain itu, kemaskan kening anda setiap kali anda pergi menggunting rambut. Ya, kening yang lebat mungkin akan memberi imej “ganas’’, tetapi jika ia terlalu panjang dan serabut, ia kelihatan sangat buruk.
Konklusinya, kesilapan penampilan lelaki adalah selalu terjadi akibat lelaki itu sendiri tidak mengetahui akan kepentingan menjaganya. Oleh itu, sentiasa pastikan anda menjaga penampilan diri agak sentiasa kelihatan kemas, segak dan tampan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga:
- 3 Tip Mengekalkan Penampilan Diri Anda
- Merokok, Bagaimana Ia Menjejaskan Penampilan Anda
- Perubahan Wajah dan Penampilan Akibat Pendakap Gigi
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.