backup og meta

5 Punca Jerawat Naik Mendadak Ketika Remaja, Penyebab No. 4 Paling Lazim!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    5 Punca Jerawat Naik Mendadak Ketika Remaja, Penyebab No. 4 Paling Lazim!

    Jerawat dan remaja merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Tetapi, pasti ramai yang tertanya-tanya apakah penyebab atau punca jerawat naik mendadak ketika remaja? 

    Untuk pengetahuan anda, jerawat boleh berlaku seawal usia 9 atau 10 tahun dan berkekalan sehingga dewasa. 

    Selalunya, jerawat akan bermula sebagai pori yang tersumbat (yang dikenali sebagai comedones) pada kawasan dahi atau zon-T.

    Pori yang tersumbat ini kemudiannya akan mengalami keradangan dan naik sebagai bintik-bintik kecil.

    Walaupun ada remaja yang bebas daripada masalah ini, namun ada juga yang terpaksa mengharungi zaman remaja dengan jerawat.

    Malah, jerawat bukan sahaja meninggalkan parut secara fizikal, tetapi juga secara mental.

    Untuk mereka yang mengalami jerawat yang teruk, mereka perlukan intervensi dan rawatan daripada doktor. 

    Ahli dermatologi dapat membantu merawat jerawat yang dihidapi. Malah, mereka juga boleh mencadangkan pelbagai bentuk rawatan yang lain untuk melawan jerawat.

    Berapa lazimkah jerawat dalam kalangan remaja?

    punca jerawat naik mendadak

    Jerawat merupakan sesuatu yang lazim. Hampir semua orang akan mengalami jerawat sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. 

    Namun, masalah jerawat selalunya paling teruk ketika remaja. Antara punca jerawat naik mendadak pada waktu ini ialah perubahan hormon.

    Menurut statistik, hampir 80% remaja terkesan dengan masalah jerawat. Selain itu:

    1. Jerawat paling lazim berlaku kepada individu berusia 12 hingga 25 tahun.
    2. 3 daripada 10 remaja mempunyai masalah jerawat yang teruk.
    3. Parut selalunya akan muncul pada wajah akibat jerawat. Namun, jerawat juga boleh naik pada bahagian badan yang lain termasuklah leher, belakang badan dan dada.
    4. Jerawat remaja selalunya berkekalan sehingga 10 tahun (tanpa rawatan). Masalah ini akan hilang dengan sendirinya ketika usia menginjak 20 tahun.

    Punca jerawat remaja

    Ada beberapa punca jerawat naik mendadak. Antaranya ialah perubahan hormon dan juga pori yang tersumbat. 

    Mari ikuti penjelasan kami mengenai penyebab jerawat remaja di bawah:

    1. Pori yang tersumbat punca jerawat naik mendadak

    punca jerawat naik mendadak

    Jerawat berlaku apabila lubang-lubang kecil pada kulit atau folikel rambut tersumbat.

    Pada permukaan kulit, ada kelenjar kecil yang dikenali sebagai kelenjar minyak. Kelenjar ini juga menghasikan satu bahan yang dikenali sebagai sebum.

    Individu yang berjerawat menghasilkan banyak sebum berbanding orang biasa. Lebihan sebum ini akan bercampur dengan sel kulit mati dan menyebabkan pori menjadi tersumbat.

    Jika pori yang tersumbat ini dekat dengan kulit, ia akan menghasilkan whitehead. Tetapi, jika folikel ini terbuka, ia akan membentuk blackhead.

    Kemudiannya, bakteria yang tinggal pada kawasan kulit akan menjangkiti folikel ini dan menyebabkan pembentukan papules, pustules, nodules atau sista.

    2. Penghasilan testosteron yang tinggi

    Penyebab jerawat remaja selalunya dikaitkan dengan peningkatan hormon testosteron dalam badan. 

    Hormon ini memainkan peranan penting dalam tumbesaran zakar dan testikel dalam kalangan lelaki.

    Untuk perempuan pula, testosteron digunakan untuk mengekalkan kekuatan otot dan tulang.

    Kelenjar minyak amat sensitif terhadap sebarang perubahan hormon. 

    Oleh sebab itu, peningkatan hormon testosteron dalam badan secara tidak langsung akan menghasilkan lebih banyak sebum pada kulit.

    3. Faktor genetik punca jerawat naik mendadak

    Siapa kata jerawat bukan masalah genetik? 

    Jika ibu atau ayah anda pernah mengalami masalah jerawat ketika muda, besar kemungkinan anda juga akan alami masalah yang sama.

    Malah, kajian menunjukkan jika kedua-dua ibu bapa anda mempunyai masalah ini, maka anda akan mengalami jerawat yang serius pada waktu muda.

    Sama jugalah jika mereka mempunyai jerawat ketika dewasa, anda juga berkemungkinan mempunyai masalah yang sama.

    4. Masalah jerawat dalam kalangan remaja wanita

    Wanita lebih berisiko untuk mempunyai masalah jerawat berbanding lelaki. Semuanya disebabkan perubahan hormon pada waktu tertentu seperti:

    1. Ketika datang haid. Ramai remaja wanita mengalami masalah jerawat sebelum datang haid.
    2. Kehamilan. Ramai wanita yang breakout ketika hamil. Selalunya perkara ini berlaku pada 3 bulan pertama kehamilan.
    3. PCOS. PCOS merupakan penyakit yang akan menyebabkan jerawat, peningkatan berat badan dan pembentukan sista kecil di dalam ovari.

    5. Lain-lain punca jerawat naik mendadak 

    Selain penyebab jerawat remaja yang digariskan di atas, ada beberapa amalan lain yang boleh mencetuskan jerawat. Antaranya ialah:

    1. Penggunaan bahan kosmetik tertentu. Elakkan mengguna pakai bahan kosmetik yang tidak mendapat pengesahan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
    2. Pengambilan ubat-ubatan tertentu, seperti ubat yang mengandungi steroid, lithium (untuk merawat depresi dan bipolar) dan juga beberapa jenis ubat untuk merawat epilepsi.
    3. Sering memakai barang yang menekan kawasan kulit yang terjejas seperti topi atau beg galas.
    4. Merokok. Amalan merokok boleh menyebabkan jerawat dalam kalangan orang dewasa.

    Bolehkah saya mencegah jerawat?

    punca jerawat naik mendadak

    Bukan semua jenis jerawat boleh dicegah. Namun, ada beberapa tip yang mungkin berkesan untuk mengurangkan punca jerawat naik mendadak ini:

    1. Basuh muka dua kali sehari. Gunakan pencuci muka yang lembut dan air suam.
    2. Elakkan mengesat muka dengan kasar menggunakan tuala. Tidak kiralah berapa kali anda kesat muka, jerawat tidak akan hilang. Malah, ia mungkin akan menjadi semakin teruk.
    3. Gunakan alat solek dan pelindung matahari yang mempunyai label ‘noncomedogenic’. Produk ini tidak akan menyebabkan pori tersumbat dan mengakibatkan jerawat.
    4. Jangan biarkan krim atau semburan rambut terkena wajah. Ia boleh menyebabkan pori tersumbat. Jika anda mempunyai rambut panjang, pastikan anda basuh rambut dengan kerap untuk elakkan minyak daripada terlekat pada wajah anda.
    5. Basuh muka selepas bersenam. Jangan biar muka berminyak dalam tempoh masa yang panjang.
    6. Gunakan krim atau losen yang mengandungi asid salisilik atau benzoil peroksida. Kedua-dua bahan ini dapat mengelakkan jerawat dan membantu mencegah pembentukannya pada masa hadapan.
    7. Elakkan pengambilan makanan tertentu. Kadangkala, makanan merupakan antara punca jerawat naik mendadak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan