Penyakit kulit ekzema bukanlah masalah kulit yang asing lagi buat ramai orang. Namun, tahukah anda mengenai kewujudan mandian peluntur sebagai salah satu kaedah merawatnya?
Mandian ini ialah air rendaman yang ditambah dengan sedikit cecair peluntur, tujuannya dapat membantu mengurangkan gejala-gejala ekzema yang kronik (dermatitis atopik).
Ekzema adalah satu kondisi kulit yang gatal, dan ia sering diakibatkan oleh jangkitan bakteria.
Katanya, mandian cecair peluntur bagi masalah ekzema dapat membunuh bakteria pada kulit, mengurangkan rasa gatal, kemerahan dan kulit bersisik.
Persoalannya, benarkah mandian peluntur ini dapat membantu pesakit ekzema? Adalah ia tidak berbahaya?
Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui jawapannya.
Mandian peluntur untuk penyakit kulit ekzema
Sekiranya anda menghidap ekzema kronik (dermatitis atopik), anda mungkin ingin tahu dengan lebih lanjut mengenai kaedah perawatan menggunakan cecair peluntur ini.
Simptom-simptom ekzema boleh dicetuskan oleh alahan, genetik, iklim, tekanan, dan faktor-faktor lain.
Terdapat beberapa jenis mandian yang dapat membantu melegakan simptom ekzema.
Antaranya ialah mandian bercampur oatmeal, mandian air masin, dan mandian cuka; ini adalah antara mandian yang disyorkan.
Mandi dengan campuran larutan air dan peluntur dalam jumlah yang kecil mungkin berkesan kerana ia membersihkan bakteria pada permukaan badan dan mengurangkan isu keradangan.
Bagaimana mandian peluntur ini berfungsi kepada kulit ekzema?
Mandian bercampur cecair peluntur adalah unik kerana ia mampu membunuh bakteria, mengurangkan keradangan, dan melembapkan kulit anda.
Satu kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menghidap penyakit kulit ini cenderung untuk mengalami jangkitan bakteria sekunder, seperti jangkitan staph, sebagai kesan sampingan daripada ekzema.
Bersama dengan kaedah mandian lain, cecair peluntur akan mengurangkan kadar jangkitan kulit primer dan sekunder.
Mandian peluntur juga mempunyai spektrum tindakan yang luas terhadap:
- Bakteria
- Kulat dan spora
- Virus
Sekiranya ia dicampurkan dengan betul dan digunakan mengikut arahan, mandian peluntur ini selamat untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Untuk mendapatkan hasil terbaik, ini caranya:
- Tambahkan 1/4 cawan (kira-kira 59 mililiter) hingga 1/2 cawan (kira-kira 118 mililiter) peluntur ke dalam tab mandi 40 galon (kira-kira 151 liter) yang diisi dengan air suam
- Gunakan peluntur rumah dan baca label produk. Produk peluntur mungkin mengandungi 6% sehingga 8.25% natrium hipoklorit. Sekiranya kepekatan natrium hipoklorit berada pada hujung julat yang lebih tinggi, gunakan peluntur kurang daripada 1/2 cawan
- Rendam badan dari leher ke bawah atau hanya pada bahagian kulit yang bermasalah selama kira-kira 10 minit
- Bilas jika kulit anda tidak tahan terhadap larutan cecair peluntur tersebut dan lap perlahan-lahan dengan tuala bersih
- Sapukan banyak pelembap dengan segera
- Mandian peluntur tidak patut dilakukan lebih daripada 3 kali seminggu
Selain itu, anda mungkin akan mengalami kulit kering jika mandi larutan cecair ini terlalu kerap.
Apa yang harus dipertimbangkan?
Mandian cecair peluntur ini bukanlah rawatan yang sesuai untuk semua orang yang menghidap penyakit kulit ekzema.
Bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun harus mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar pediatrik terlebih dahulu.
Selain itu, anda boleh melakukan ujian patch pada kulit anda dengan peluntur yang dicairkan terlebih dahulu untuk melihat jika berlaku sebarang kesan sampingan pada kulit.
Di samping itu, penghidap asma tidak digalakkan untuk mencuba mandian cecair larutan ini kerana pendedahan kepada bau peluntur boleh mencetuskan gejala asma.
Pastikan juga anda melakukannya di bilik mandi yang mempunyai tingkap atau pengudaraan yang betul, kerana pendedahan yang lama terhadap bau peluntur memberi kesan terhadap sistem pernafasan.
Sekiranya anda sedang menggunakan ubat-ubatan atau kosmetik yang menjadikan kulit anda nipis dan mudah mengalami iritasi, seperti rawatan retinol anti penuaan, atau kortikosteroid, anda harus lebih berhati-hati dengan mandian ini.
Anda juga harus beringat agar tidak sekali-kali mandi jika mengalami luka yang terbuka, atau berdarah.
Apakah risiko mandian peluntur terhadap mereka yang ada penyakit kulit ekzema?
Antara risiko pendedahan pada mandian peluntur adalah ia boleh menyebabkan:
- Kulit kering
- Ruam, dermatitis dan kerengsaan kulit
- Asma
- Kerengsaan hidung
Gejala-gejala ini sering disebabkan oleh tambahan minyak wangi atau detergen dalam peluntur.
Isu keracunan jarang berlaku tetapi ia berpotensi untuk menjadi sangat serius. Ia biasanya disebabkan oleh pengambilan larutan yang tidak dicairkan.
Rumusan
Terdapat bukti untuk menyokong mandian peluntur boleh merawat ekzema kronik, tetapi ada juga bukti yang menunjukkan sebaliknya.
Namun, jika anda mempunyai penyakit kulit ekzema, kaedah ini mudah untuk dicuba di rumah, walaupun terdapat sedikit risiko.
Walau bagaimanapun, jika anda ingin mencuba kaedah ini, gunakan peluntur dengan berhati-hati, dan pastikan untuk membilas kulit selepas itu.
Pastikan anda juga menggunakan krim pelembap untuk mengunci kelembapan setelah melakukannya.
Apa yang penting, sentiasa dapatkan nasihat pakar sebelum anda mencuba kaedah ini.