
Bercerita tentang keganasan domestik yang berlaku dalam rumah tangga atau keluarga dianggap seperti membuka pekung di dada. Tetapi hakikatnya kisah penderaan seperti ini turut berlaku dalam kalangan selebriti.
Memahami keganasan domestik
Berdasarkan Akta 521 (Akta Keganasan Rumah Tangga 1994), menyatakan keganasan domestik atau adakala dipanggil penderaan domestik adalah perbuatan-perbuatan daripada pendera kepada mangsa, seperti:
- Menyebabkan kecederaan secara fizikal, mental atau emosi
- Melibatkan ancaman, ugutan mahupun paksaan berbentuk seksual
- Mengurung atau menahan tanpa kerelaan sehingga mangsa tidak boleh bergerak bebas
- Melakukan khianat dengan merosakkan atau memusnahkan harta benda
- Sengaja membuat mangsa berada dalam ketakutan atau kebimbangan
Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa dan bukan hanya melibatkan pasangan suami isteri semata-mata. Antara individu yang boleh menjadi mangsa penderaan ini seperti:
- Isteri / bekas isteri
- Suami / bekas suami
- Anak-anak
- Ibu bapa
- Ahli keluarga yang tinggal serumah
Selebriti dan keganasan domestik
Biasanya masalah penderaan atau keganasan rumah tangga ini seperti hanya berlaku kepada individu wanita, bukan? Namun hakikatnya, individu lelaki juga boleh dan turut menjadi mangsa. Malahan isu ini juga berlaku dalam kalangan selebriti terkenal.
Berikut 5 senarai selebriti yang pernah menjadi mangsa penderaan domestik dalam perhubungan:
- Rihanna
Merupakan pemenang Grammy Awards, Rihanna pernah menggegarkan dunia hiburan pada tahun 2009 apabila mendedahkan kes salah laku yang dibuat oleh bekas teman lelakinya yang juga merupakan seorang selebriti, Chris Brown.
Beliau yang secara terbuka mengakui kesilapannya berbaik semula dengan Chris berkata, beliau pernah dihentak pada cermin sebelum dipukul berulang kali pada bahagian muka, tangan dan kaki.
“Ramai wanita, gadis muda masih melaluinya. Begitu juga dengan kanak-kanak lelaki. Ia bukanlah 1 perkara yang boleh diabaikan. Saya tidak boleh menganggap ia seperti tidak ada apa-apa yang berlaku atau tidak mengambilnya dengan serius.” – Rihanna
- Mariah Carey
Dalam pengakuan terbuka bersama rancangan siaran langsung, Mariah mengakui beliau didera secara emosional oleh bekas teman lelakinya. Penyanyi terkenal ini memberitahu bahawa ia adalah menakutkan untuk keluar daripada hubungan yang tidak sihat dan berasa terkurung di dalamnya.
“Bagi saya, untuk benar-benar keluar daripada hubungan ini adalah sukar kerana terdapat hubung kait bukan sekadar perkahwinan tetapi melibatkan perniagaan dengan individu yang mengawal hidup saya,” – Mariah, mendapat inspirasi untuk membuat pengakuan daripada selebriti Hollywood, Rihanna
- Lionel Richie
Apa yang tidak kita ketahui, dianggarkan 1 daripada 3 mangsa keganasan domestik adalah individu lelaki. Antaranya adalah penyanyi Lionel Richie. Pada tahun 1988, Richie dan isteri pertamanya, Brenda Harvey berdepan kemelut dalam perkahwinan.
Kemudian Brenda berjaya menangkap Lionel dengan wanita lain di dalam hotel dan bertindak memukulnya. Walaupun pasangan ini cuba memperbaiki hubungan perkahwinan mereka, namun mereka akhirnya bercerai pada tahun 1993.
Ya, curang itu sangat tidak bagus dalam perkahwinan tetapi ia bukan jalan untuk melakukan keganasan. Gunakan cara yang lebih bijak dalam menyelesaikan masalah, okay para isteri sekalian?
- Johnny Depp
Kes melibatkan pelakon popular Hollywood ini agak berbelit. Ini kerana pada mulanya, Johnny Depp didakwa mendera Amber Heard yang ketika itu masih bergelar isterinya. Namun perkara itu disangkal oleh pelakon utama filem Pirates of the Carribean.
Malangnya pada ketika itu, kebanyakan netizen menyebelahi Heard tanpa mempedulikan kenyataan Depp pada fasa awal kes penceraian mereka. Akibatnya selebriti popular itu melalui saat kejatuhan dalam dunia lakonan akibat pertuduhan tersebut.
Namun baru-baru ini, tular 1 rakaman audio membuktikan kebenaran seperti yang dikatakan Depp dan beliau sememangnya didera Amber. Berdasarkan rakaman, Depp telah ditampar dan dibaling dengan periuk, kuali serta pasu bunga ketika berlaku persengketaan antara kedua-duanya.
- Christina Aguilera
Ini antara bukti penderaan domestik tidak hanya berlaku dalam kalangan suami isteri. Christina menjadi mangsa penderaan bapanya sendiri yang turut mendera ibunya. Menurut ibunya, pada usia 4 tahun, dia melihat ada titisan darah mengalir daripada wajahnya.
“Saya berharap untuk dapat membuka tempat perlindungan saya sendiri. Saya berasakan ia adalah penting untuk saya dapat berkongsi kisah dengan wanita yang pernah didera. Ini kerana apa yang saya lalui mendorong saya untuk berdiri sehingga ke hari ini. Ia memberikan saya kekuatan dan motivasi terbaik buat saya.” – Christina Aguilera
Pendera dalam penderaan domestik
Jika tadi Hello Doktor berkongsi tentang mangsa penderaan domestik ini, apa kata kita lihat pula 5 selebriti yang pernah ditangkap atau didakwa atas kesalahan penderaan ini.
- Chris Brown
Sudah tentu, jika Rihanna mangsanya maka pelakunya adalah Chris Brown. Pada tahun 2009, Chris ditahan selepas memukul teman wanitanya sebelum Grammy Awards.
Chris yang sememangnya mempunyai sejarah melibatkan keganasan, telah ditangkap sekali lagi pada 2013 selepas menumbuk seorang lelaki di muka hanya kerana mahu bergambar dengannya.
- Nicholas Cage
Pelakon popular filem Ghost Rider ini pernah ditahan pada 2011 kerana kesalahan domestik seperti mengganggu keamanan awam. Cage dilaporkan menolak isterinya di luar sebuah kedai tatu dan menumbuk beberapa buah kereta berdekatan.
- Chyna
Jika anda peminat rancangan gusti (wrestling) pasti anda pernah mendengar dan mengenali bintang gusti bernama Chyna ini. Dia pernah ditangkap kerana keganasan rumah tangga pada tahun 2003 dan 2005.
- Ozzy Osbourne
Penyanyi utama kumpulan The Black Sabbath ini ditahan untuk isu penderaan domestik pada tahun 1989. Osbourne juga pernah didakwa kerana memecah masuk serta membuang air di tempat awam.
- Charlie Sheen
Pada tahun 2009, bintang “Two and a Half Men” ini telah ditahan pada tahun 2009 atas dakwaan penderaan domestik selepas cubaan mencekik isterinya, Brooke Mueller. Pelakon ini berdepan tuduhan menyerang teman wanitanya pada tahun 1996.
Jangan ambil mudah
Masalah ini boleh berlaku kepada mana-mana individu, lelaki atau wanita, tanpa mengira usia mahupun hubungan. Jadi jika anda adalah antara mangsa yang terlibat dalam keganasan domestik, jangan berdiam diri. Dapatkan bantuan sewajarnya. Anda berhak ke atas diri anda.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- Tip Mengatasi Penderaan Domestik
- Bagaimana Menghadapi Penderaan Domestik?
- Elakkan Penderaan Kanak-kanak: Awasi Kelakuan Pengasuh Bayi Anda
- Gangguan Dan Serangan Seksual: Fahami Emosi Mangsa
- Kongsi Info Ini Jika Anda Dapati Berlakunya Sebarang Kes Keganasan Rumah Tangga di Sekitar Anda
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.