Jika lelaki mencapai orgasma dengan memancut sperma, bagaimana pula dengan ejakulasi wanita? Adakah ia melibatkan rangsangan seksual atau air kencing?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.
Ejakulasi wanita
Pernahkah anda mendengar tentang ejakulasi wanita atau nama lainnya squirting?
Apakah squirting? Tidak pernah dengar perkataan ini?
Ejakulasi adalah 1 proses yang sering dikaitkan dengan lelaki. Namun, hakikatnya wanita juga boleh mengalaminya dan anda tidak perlukan zakar untuk berejakulasi.
Apa yang anda perlukan hanyalah uretra, iaitu saluran yang membolehkan air kencing keluar dari badan.
Ejakulasi berlaku apabila cecair – tidak semestinya air kencing – dikeluarkan dari saluran uretra semasa rangsangan seksual atau mencapai orgasma (klimaks).
Ia berbeza sama sekali dengan cairan serviks yang berfungsi sebagai pelincir faraj semasa anda terangsang atau ‘basah’.
Apa sebenarnya ejakulasi?
Proses ejakulasi melibatkan cecair yang pekat dan berwarna putih seakan-akan susu.
Dalam kajian yang dilakukan pada tahun 2011, ejakulasi yang dilakukan wanita mengandungi komponen yang sama seperti air mani. Ia termasuk antigen spesifik prostat (PSA) dan fosfatase asid prostat.
Ia juga mengandungi jumlah yang kecil urea dan kreatinin – iaitu komponen utama air kencing.
Jadi terdapat kemungkinan ejakulasi yang berlaku itu adalah air kencing, bukan?
Punca penghasilan cecair
Sebelum persoalan itu dijawab, jom ketahui punca terhasilnya cecair sewaktu squirting berlaku.
Umumnya, cecair ejakulasi berasal dari kelenjar Skene atau ‘prostat wanita’. Ia terletak di dinding depan vagina, mengelilingi uretra.
Kedua-duanya mempunyai saluran yang boleh melepaskan cecair ejakulasi.
Kelenjar Skene adalah 1 struktur kecil yang mengalir ke uretra.
Walaupun ia kenali sebagai prostat wanita, tetapi ukuran dan bentuknya berbeza berbanding prostat lelaki. Malah fungsinya tidak dapat diketahui secara tepat.
Dalam kajian 2017 menunjukkan, kelenjar tersebut dapat meningkatkan bukaan saluran di sepanjang uretra bagi menampung jumlah cecair rembesan yang banyak.
Manakala kajian pada 2014 mencadangkan bahawa cecair yang dihasilkan ketika ejakulasi disifatkan sebagai manis.
Jika anda tertanya-tanya mengenai baunya, ia dikatakan tidak menghasilkan bau seperti urin. Malahan cecair yang keluar ketika ejakulasi tidak berbau langsung.
Ejakulasi wanita adalah air kencing?
Sebenarnya, ia bukanlah 100% air kencing. Kebanyakan cecair yang keluar ketika ejakulasi berlaku adalah enzim prostat dengan hanya sedikit kehadiran cecair urin.
Walau bagaimanapun, cecair yang keluar ketika berlakunya squirting adalah campuran cecair air kencing dengan cecair ejakulasi.
Secara mudahnya, ejakulasi wanita mengandungi sedikit petunjuk kehadiran komponen air kencing iaitu urea dan kreatinin.
Tetapi itu tidak bermakna cecair ejakulasi yang terhasil adalah sama seperti air kencing. Cuma kedua-dua cecair itu berkongsi persamaan yang sama.
Kajian pada 2013 melibatkan 320 responden menyatakan jumlah cecair yang keluar semasa waktu ejakulasi adalah dalam anggaran 0.3 sehingga 150 mililiter (mL).
Apa rasanya ketika ejakulasi wanita berlaku?
Sudah tentu apa yang dirasakan bagi setiap individu adalah berbeza-beza.
Bagi sesetengah individu, ia dikatakan seperti orgasma yang berlaku tanpa ejakulasi.
Ada pula wanita yang mengalami squirting ini menggambarkan ia seperti peningkatan kehangatan dan gegaran di antara kedua-dua paha mereka.
Walaupun ada penyelidik yang menyatakan bahawa ejakulasi yang sebenar berlaku bersama orgasma, namun terdapat saintis percaya ia boleh berlaku di luar rangsangan seksual, iaitu melalui rangsangan G-spot.
Mungkin boleh disimpulkan, tahap rangsangan seksual yang melibatkan keghairahan, kedudukan atau teknik memainkan peranan penting untuk berlakunya ejakulasi.
Kaitan antara G-Spot dan ejakulasi wanita
Setakat ini, masih belum ada sebarang petunjuk untuk membuktikan perkaitan antara G-spot dan juga ejakulasi.
Ada sesetengah pengkaji menyatakan, rangsangan seksual pada G-spot, orgasma dan ejakulasi yang berlaku kepada wanita adalah saling berkaitan.
Itu jawapan yang masih tergantung, bukan?
Hakikatnya, kajian pada 2017 untuk mencari punca atau bahagian G-Spot berakhir tanpa sebarang penemuan mahupun bukti.
Ia dikatakan kerana G-spot bukan bahagian yang berlainan dalam faraj, malahan ia adalah sebahagian daripada rangkaian klitoris wanita.
Ini bermakna jika anda menerima rangsangan kepada G-spot, anda sebenarnya dirangsang pada bahagian klitoris.
Tempatnya mungkin berbeza, jadi sukar untuk ditentukan secara tepat.
Sekiranya pasangan anda dapat menemui dan merangsang G-spot anda, ia berkemungkinan boleh menyebabkan anda mengalami ejakulasi.
Seandainya ejakulasi tidak berlaku, yang penting anda menerima rangsangan, maka nikmatinya.
Tidak salah untuk melakukan ejakulasi perempuan
Sejujurnya ia tidak salah untuk dilakukan. Cuma anda dan pasangan perlu sentiasa mencuba dan terus mencuba untuk mendapatkan rangsangan yang betul.
Jika anda ingin mencuba untuk melakukan ejakulasi sendiri, mungkin ia sukar untuk berjaya.
Sebaliknya peluang untuk pasangan anda menemui titik rangsangan tersebut adalah lebih besar.
Penggunaan mainan seks seperti vibrator juga dikatakan sebagai 1 cara yang boleh membantu mencapai ejakulasi.
Kunci utamanya adalah untuk bertenang dan menikmati pengalaman tersebut serta mencuba pelbagai teknik sehingga anda berjaya, okay?
[embed-health-tool-ovulation]