Merancang kehamilan adalah satu tindakan yang bijak dan bertanggungjawab. Sebab itulah, pasangan yang baru berkahwin perlu tahu jenis jenis perancang keluarga yang boleh anda dapati di pasaran. Pada zaman ini, kaedah merancang keluarga sangat penting.
Jarak kelahiran yang terlalu rapat bukan sahaja menyebabkan kandungan seterusnya berisiko tinggi, malahan ibu juga mungkin akan menjadi penat dari segi mental terutamanya dalam menguruskan perihal rumah tangga, peribadi dan juga anak-anak yang mungkin masih menyusu.
Benar, anak adalah rezeki Tuhan. Namun, setiap rezeki itu adalah amanah yang perlu diuruskan dengan baik.
Apa gunanya jika kita tidak mampu memberikan perhatian yang cukup kepada anak-anak.
Malah, jika kita mempunyai terlalu banyak masalah disebabkan zuriat yang terlalu banyak, bukankah ia merupakan satu kegagalan dalam menjaga rezeki yang diberikan?
Sebab itulah, ibu bapa perlu bijak merancang kelahiran!
Dalam artikel kali ini, kami akan bincangkan mengenai jenis jenis perancang keluarga serta kaedah merancang kehamilan yang boleh anda praktikkan dalam membina keluarga masing-masing.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Seksual, anda boleh klik di sini.
Apakah jenis jenis perancang keluarga yang ada?
Kebanyakan ibu bapa kini faham dan mudah menerima konsep perancangan keluarga.
Walaupun begitu, masih ramai yang kabur terutamanya tentang pilihan kaedah perancang yang sedia ada, apatah lagi yang sesuai untuk mereka.
Untuk itu artikel ini akan menceritakan serba sedikit mengenai jenis jenis perancang keluarga.
Secara amnya, terdapat dua kategori utama kaedah pencegah kehamilan iaitu kaedah jangka pendek dan kaedah jangka panjang.
Jenis jenis perancang keluarga 1: Kaedah jangka pendek
Dalam kategori jangka pendek, terdapat beberapa pembahagian lanjut yang dapat dibentuk berdasarkan mekanisma setiap kaedah.
1. Kaedah mekanikal/fizikal
Dalam kumpulan ini, pencegahan kehamilan berlaku disebabkan wujudnya satu halangan fizikal.
Contoh paling mudah adalah penggunaan kondom. Kondom membentuk lapisan fizikal yang menghalang pelepasan air mani ke dalam faraj wanita.
2. Kaedah berasaskan hormon
Dalam kumpulan ini, hormon digunakan untuk mencegah kehamilan. Contoh yang paling mudah adalah penggunaan pil perancang gabungan (COCP). Pil ini mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan juga progesteron.
Pil ini akan membuatkan lendiran pada pangkal rahim menebal lalu menghalang proses ovulasi. Ia juga akan menjadikan dinding rahim lebih nipis daripada biasa.
Kesemua kesan tersebut akan menyukarkan proses-proses yang terlibat dalam proses persenyawaan.
Dalam kumpulan ini, terdapat juga kaedah yang berasaskan suntikan hormon progesteron ke dalam otot dengan kekerapan 3 bulan sekali (Depo-Provera).
Jenis jenis perancang keluarga 2: Kaedah jangka panjang
Dalam kategori jangka panjang pula, ia dapat dibahagikan kepada jenis yang kekal dan jenis sementara.
1. Kaedah merancang keluarga jenis sementara
Dalam kumpulan sementara, ia membabitkan penggunaan alat dalam rahim (ADR) dan juga implan. Implan yang dimaksudkan ini mampu bertahan sepanjang 3 tahun.
Implan ini mengandungi hormon progesteron. Sepenjang tempoh 3 tahun pemakaian, hormon akan dirembeskan secara berkala bagi menghalang kehamilan.
Pada zaman sekarang, alatan perancang atau pencegah kehamilan dalam rahim boleh dibahagikan kepada jenis yang berasaskan hormon dan juga bukan hormon.
Alat pencegah kehamilan yang berasaskan hormon bertindak secara mekanikal. Ia juga akan merembeskan hormon progesteron untuk memastikan kehamilan tidak berlaku.
ADR yang mengandungi kuprum mempunyai keberkesanan sebanyak 99%. Ini bermaksud, hanya 1 dalam 100 wanita yang menggunakan alat ini akan hamil secara tidak sengaja dalam masa setahun. ADR yang tidak mengandungi kuprum tidak mempunyai keberkesanan yang sama.
Bagi ADR yang bukan berasaskan hormon pula, jenis yang kerap digunakan adalah alat yang mengandungi kuprum (copper). Kuprum yang dirembeskan oleh alat ini boleh mematikan sel sperma dan menghalang kehamilan.
2. Jenis kekal
Dalam kumpulan perancang kekal pula, kaedah-kaedah yang tergolong dalam kumpulan ini turut disebut sebagai kaedah pemandulan.
Ini kerana ia melibatkan prosedur pembedahan yang mengubah struktur anatomi sistem reproduktif yang menghalang terus daripada proses persenyawaan untuk berlaku.
Kaedah ini juga bersifat kekal dan tidak boleh diubah semula.
Dalam kaum lelaki, prosedur yang dijalankan adalah vasektomi. Prosedur ini membabitkan ikatan pada saluran yang membawa air mani daripada testikel ke zakar.
Jika saluran tersebut dipotong atau diikat, air mani yang mengandungi sperma tidak mampu untuk dipancut keluar daripada zakar.
Dalam kalangan wanita pula, prosedur yang dilakukan adalah dengan mengikat saluran fallopian.
Saluran ini menjadi terowong yang membenarkan ovum untuk bergerak dari ovari ke dalam bahagian rahim.
Sekiranya terowong ini diikat dan/atau dipotong, ovum tidak lagi mampu untuk berhijrah untuk disenyawakan.
Baca juga:
- Takut Nak Ambil Pil Perancang Plan B Sebab Ada Kesan Sampingan? Usah Gusar, Baca Ini Dulu
- Pernah Ambil Pil Perancang, Dan Kini Ingin Hamil Semula, Bagaimana Nak Tahu Bila Waktu Subur?
Kesimpulan
Tuntasnya, ada banyak jenis jenis perancang keluarga yang ada di pasaran. Setiap daripadanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Malah, ada juga kaedah perancang keluarga yang tidak boleh digunakan untuk sesetengah individu, bergantung kepada keadaan kesihatan mereka.
Jika anda ingin mendapatkan kaedah perancang yang terbaik, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan rundingan yang menyeluruh dan tepat.
[embed-health-tool-ovulation]