backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

4

Tanya Doktor
Simpan

Takut Ambil Pil Perancang 'Plan B' Sebab Ada Kesan Sampingan? Relaks, Baca Ini Dulu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 11/01/2024

    Takut Ambil Pil Perancang 'Plan B' Sebab Ada Kesan Sampingan? Relaks, Baca Ini Dulu!

    Apakah kesan makan pil perancang? Itu pastinya adalah antara persoalan biasa bermain di minda sebelum anda mengambil pil kontraseptif, betul?

    Disebakan itu juga, ramai yang takut menggunakannya kerana bimbang akan kesan makan pil perancang kecemasan. Adakah ia berbahaya? Jom ikuti artikel dengan lebih lanjut!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu pil perancang kecemasan?

    Ramai orang yang tanya, kenapa perlu makan pil perancang kecemasan? Ada berapa jenis pil perancang?

    Untuk pengetahuan anda, pil perancang kecemasan adalah sejenis pil yang digunakan selepas hubungan seks tanpa perlindungan bertujuan mengelakkan kehamilan luar jangkaan.

    Namanya iaitu ‘morning after pill’ mungkin agak mengelirukan kerana ia tidak semestinya diambil pada keesokan pagi namun boleh juga diambil 3 ke 5 hari selepas hubungan intim berlangsung.

    Di pasaran negara kita, terdapat 2 jenis pil plan b yang utama iaitu:

    • Pil yang mengandungi progesterone – sesuai diambil 72 jam selepas seks tanpa perlindungan
    • Pil yang mengandungi ulipristal – sesuai diambil 120 jam selepas seks tanpa perlindungan
    kesan makan pil perancang
    Pengambilan pil kontraseptif kecemasan.

    Jika anda hendak mencarinya di farmasi, pil ini dikenali dengan nama Postinor atau Postinor-2.

    Adakah ia benar-benar berkesan?

    Adakah pancut luar boleh hamil? Ya, jika salah cara dan teknik melakukannya. Jadi, pengambilan pil ini penting.

    Menurut kajian yang dijalankan oleh Family Planning Victoria (FPV), pil ini dikatakan berkesan membantu mencegah kehamilan sehingga 85%.

    Pun begitu, adalah disarankan untuk kalian tidak bertangguh daripada mengambil pil ini untuk memastikan ia dapat memberikan kesan yang paling efektif.

    Ini kerana kesan makan pil perancang kecemasan ini juga mempunyai kebarangkalian untuk tidak membuahkan hasil lantas menyebabkan kehamilan di luar jangkaan.

    Keberkesanannya boleh menurun?

    Ya, dan terdapat beberapa faktor yang boleh membuat fungsinya kurang berkesan termasuklah:

    • Terlalu lambat mengambilnya
    • Muntah selepas 2 ke 3 jam mengambilnya
    • Mengambil ubatan tertentu

    Maka adalah sangat penting untuk anda mengambil pil ini tepat pada waktunya dan jika kalian masih ragu-ragu tentangnya, sila berjumpa doktor untuk berkonsultasi.

    Kesan makan pil perancang kecemasan!

    Hakikatnya, ‘morning after pill’ yang sering dijadikan ‘plan b’ ini juga mungkin akan mendatangkan beberapa kesan sampingan terhadap wanita.

    Namun anda tidak perlu terlalu risau kerana ia mungkin tidaklah seteruk disangka! Apakah kesan sampingan tersebut?

    #1. Anda mengalami mual-mual & muntah-muntah

    kesan makan pil perancang
    Wanita rasa mual dan kerap muntah.

    Kesan sampingan yang paling utama dan biasa adalah mual-mual dan muntah-muntah yang akan menjejaskan kira-kira 25% pengguna pil ini.

    Meskipun ia dianggap normal, kalian harus tahu bahawa jika termuntah 2 jam selepas mengambil pil ini, ia mungkin tidak akan berkesan secara efektif.

    Kesan makan pil perancang kecemasan #2. Jerawat

    Disebabkan oleh ketidakstabilan hormon, anda juga mungkin akan mengalami ‘breakout’ terutamanya pada kawasan muka yang dipenuhi jerawat.

    Kesan makan pil perancang kecemasan #3. Penat

    Akibat pil perancang kecemasan ini, anda juga mungkin akan mengalami kepenatan, kekejangan, dan sakit kepala yang boleh sembuh sendiri selepas beberapa hari.

    #4. Haid tidak hadir pada waktu sepatutnya

    Sekiranya anda mengambil pil ini dan mendapati bahawa haid tidak hadir pada waktu sepatutnya, anda mungkin akan berfikir bahawa ia tidak berkesan.

    Sebenarnya, ia bukanlah begitu kerana sekitar 20 ke 30% wanita akan mengalami haid tidak teratur selepas menggunakannya dan kesan makan pil perancang ini adalah normal.

    Ini kerana haid anda mungkin akan datang lebih awal atau lebih lewat berbanding waktu yang sepatutnya akibat reaksi daripada hormon pil ini.

    Ia juga mungkin hanya akan mengambil masa sebulan lebih untuk kitaran haid itu kembali menjadi normal, jadi jangan risau ya?

    #5. Jika haid berlaku, ia mungkin lebih berat

    darah haid
    Darah haid terlalu banyak dan asyik bocor.

    Bolehkah makan pil perancang ketika haid? Ya, sebenarnya tidak ada masalah untuk melakukan hal ini.

    Namun, kesannya kepada haid bukan sahaja ia akan menjadi tidak teratur malahan jika haid berlaku, ia mungkin lebih berat berbanding kadar yang normal.

    Pun begitu, usah terlalu berasa risau kerana ia juga adalah kesan makan pil perancang kecemasan yang normal dan boleh diselesaikan.

    Anda mungkin hanya perlu menggunakan tampon atau pad yang sedikit tebal sahaja!

    Namun ia juga mungkin boleh jadi petanda penyakit berbahaya ataupun keguguran janin, jadi sila berjumpa doktor untuk lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 11/01/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan