backup og meta

Orang Lelaki Kena Amalkan 3 Makanan Ini Kalau Nak Sperma Berkualiti Tinggi!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/06/2022

    Orang Lelaki Kena Amalkan 3 Makanan Ini Kalau Nak Sperma Berkualiti Tinggi! 

    Wajah yang tampan belum tentu menjamin kesihatan dan kualiti sperma seorang lelaki. Ia lebih berkait rapat dengan gaya hidup dan corak pemakanan seseorang. Percaya atau tidak, ada beberapa jenis makanan untuk sperma berkualiti.

    Hendak tahu apakah makanan tersebut? Teruskan bacaan anda dengan artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini

    Apakah faktor yang menentukan kualiti sperma lelaki?

    makanan untuk sperma berkualiti

    Bilangan sperma normal bagi seorang lelaki adalah kira-kira 20 hingga 150 juta sperma bagi setiap mililiter sampel air mani.

    Sesetengah lelaki pula mungkin tidak mempunyai sebarang sperma dalam sampel air mani mereka. Keadaan ini dipanggil azoospermia.

    Walaupun jumlah sperma yang rendah boleh mengurangkan kesuburan, namun ramai lelaki masih boleh membuatkan pasangan wanita mereka hamil.

    Ini kerana kesuburan juga biasanya bergantung kepada kualiti sel sperma yang dihasilkan.

    Selain kiraan sperma, faktor lain yang menentukan kesihatan sperma termasuklah:

    #1. Pergerakan sperma

    Sel sperma mestilah berkebolehan untuk berenang melalui saluran pembiakan wanita.

    Jika sperma tidak bergerak dan tidak mampu berenang, ia tidak akan sampai ke ovum atau telur wanita untuk disenyawakan.

    #2. Struktur sperma

    Struktur atau bentuk sperma itu sendiri mestilah dalam keadaan yang normal.

    Struktur sperma yang normal memiliki bentuk kepala yang bujur selain ekor yang panjang yang digunakan sebagai bantuan semasa berenang.

    Dua hal ini juga amat penting dalam menentukan kualiti sperma seorang lelaki, selain jumlah sperma yang dihasilkan dalam air mani.

    Ini 3 jenis makanan untuk sperma berkualiti

    makanan untuk sperma berkualiti

    Setiap apa yang kita makan pastinya memberikan kesan kepada tubuh badan kita, tidak kira sama ada ia bersifat positif atau negatif.

    Sesetengah makanan juga boleh membantu meningkatkan kualiti sperma yang dihasilkan.

    Bagi seorang lelaki, anda disarankan untuk mengambil tiga jenis makanan ini untuk meningkatkan kualiti sperma anda.

    Tiga jenis makanan tersebut ialah:

    #1. Buah-buahan dan juga sayuran

    Satu kajian telah dijalankan di sebuah klinik kesuburan yang melibatkan seramai 250 orang lelaki.

    Sampel sperma mereka telah diambil dan dianalisis.

    Hasil kajian mendapati, lelaki yang mengambil lebih banyak sayuran dan buah-buahan, terutamanya sayuran berdaun hijau dan kekacang, mempunyai kepekatan sperma yang lebih tinggi.

    Selain itu, mereka juga mempunyai pergerakan sperma yang lebih baik berbanding lelaki yang kurang memakan sayur dan juga buah.

    Perkara ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana makanan yang berasaskan tumbuhan sangat tinggi dengan kandungan antioksida, vitamin C dan likopen.

    Nutrien-nutrien ini sememangnya boleh meningkatkan kepekatan sperma lelaki. 

    #2. Ikan

    Satu kajian kecil telah menyatakan hubungan antara pengambilan ikan yang lebih tinggi dengan pergerakan sperma yang lebih baik.

    Manfaat pengambilan ikan terhadap kualiti sperma ini berkemungkinan disebabkan kandungan asid lemak omega-3 yang terdapat dalam ikan.

    Pengambilan ikan merupakan alternatif terbaik berbanding daging atau daging yang diproses untuk peningkatan kualiti sperma lelaki.

    #3. Kacang walnut

    Selain ikan dan juga sayuran atau buah-buahan, terdapat satu lagi makanan untuk sperma berkualiti yang bagus untuk lelaki. Makanan tersebut ialah kacang walnut.

    Pada tahun 2012, satu kajian telah dijalankan melibatkan seramai 117 orang lelaki yang berumur antara 21 hingga 35 tahun.

    Dalam kajian tersebut, kesemua peserta ini telah dibahagikan kepada dua kumpulan; satu kumpulan diberikan 18 biji walnut untuk dimakan setiap hari selama 12 minggu, manakala satu kumpulan lagi tidak mengambil kacang walnut.

    Kemudian, sampel air mani mereka telah diambil untuk dianalisis.

    Hasilnya, penyelidik mendapati bahawa terdapat perubahan yang signifikan berkaitan pergerakan sperma dalam kalangan peserta kajian yang memakan kacang walnut. 

    Elak makanan ini untuk jaga kualiti sperma anda

    Selain makanan untuk sperma berkualiti, adalah penting juga untuk anda mengetahui beberapa jenis makanan yang boleh menurunkan kualiti sperma. Antaranya ialah:

    #1. Daging yang diproses

    Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana telah banyak kajian yang menunjukkan hubungan antara daging yang diproses dengan risiko kesihatan.

    Antara jenis produk daging yang diproses ialah seperti sosej dan daging burger.

    makanan untuk sperma berkualiti

    #2. Produk berasaskan kacang soya

    Produk soya mengandungi fitoestrogen, sebatian yang menyerupai estrogen yang berasal daripada tumbuhan.

    Kajian terhadap 99 orang lelaki di sebuah klinik kesuburan di Boston menyimpulkan bahawa, pengambilan soya yang berlebihan mungkin boleh mengurangkan kepekatan sperma.

    #3. Lemak trans

    Lemak trans bukan sahaja boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Malah, ia juga boleh mengurangkan kualiti sperma orang lelaki.

    Kajian pada tahun 2011 menyatakan bahawa, terdapat hubungan antara pengambilan lemak trans dengan pengurangan jumlah sperma dalam air mani lelaki.

    Oleh itu, kurangkan pengambilan lemak trans mulai hari ini.

    Amalkan makanan untuk sperma berkualiti

    Kacang walnut mungkin agak sukar untuk didapati selain harganya yang agak mahal.

    Namun, ikan, sayuran dan juga buah-buahan tersedia secara meluas di negara kita.

    Dengan kata yang lebih mudah, amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang jika mahukan sperma yang sihat. Ambillah makanan untuk sperma berkualiti ini setiap hari. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 20/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan