backup og meta

Perancangan Keluarga adalah Hak Asasi Manusia: Hari Populasi Sedunia 2018

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/12/2019

    Perancangan Keluarga adalah Hak Asasi Manusia: Hari Populasi Sedunia 2018

    “Saya berumur 24 tahun dan berkahwin pada usia 18 tahun. Saya sedang hamil 9 bulan dan ini anak kedua saya. Apabila tiba masanya saya akan menunggang sendiri motorsikal ke hospital selama kira-kira 30 minit untuk sampai ke bandar. Suami saya seorang kontraktor daripada kampung lain. Saya berhenti sekolah pada darjah 5 dan tinggal di rumah selepas itu. Suami saya tidak membenarkan saya pergi ke bandar untuk bekerja. Sekarang saya menjaga anak dan keluar bersama rakan-rakan. Adik saya tidak mahukan anak buat masa ini. Dia melakukan perancangan keluarga, dia tahu tentangnya sendiri dan melalui jururawat dan UNFPA.’

    Demikianlah perkongsian daripada seorang warga Sarawak melalui Humans of Kuala Lumpur. Perancangan keluarga mungkin menjadi norma bagi sesetengah orang dan sesuatu yang sukar bagi orang lain. Di pedalaman Borneo dengan kekangan capaian kepada kemudahan penjagaan kesihatan, ramai ibu sama ada tidak menyedari atau menolak kaedah perancang keluarga moden. Disebabkan kepentingan isu ini, “Perancangan Keluarga adalah Hak Asasi Manusia’ dipilih sebagai tema Hari Populasi Sedunia.

    Hari Populasi Sedunia 2018

    Hari Populasi Sedunia adalah hari untuk menumpukan perhatian dunia mengenai isu-isu penting berkaitan penduduk dunia dan disambut pada 11hb Julai setiap tahun seperti yang disyorkan oleh Majlis Pimpinan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1989.

    Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-50 Persidangan Antarabangsa mengenai Hak Asasi Manusia, di mana perancangan keluarga, buat kali pertama, ditekankan sebagai hak asasi manusia di seluruh dunia. Proklamasi Tehran menyatakan, “Ibu bapa mempunyai hak asasi manusia untuk menentukan secara bebas dan bertanggungjawab bilangan dan jarak antara anak mereka.’

    Populasi Malaysia

    Kepadatan penduduk di Malaysia adalah 98 orang per km2 dengan saiz populasi yang menduduki tangga ke-45 di dunia. Menariknya, Malaysia terletak di salah satu rantau terpadat di dunia yang menyumbang kepada hampir separuh daripada keseluruhan penduduk dunia.

    Visual daripada: Visual Capitalist

    Walaupun rakyat Malaysia menikmati kepadatan penduduk yang agak sederhana – tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah – berbanding dengan negara-negara jirannya, perancangan keluarga dalam kalangan rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding dengan purata global.

    Mengapa perancangan keluarga penting?

    Perancangan keluarga menyumbang kepada peningkatan kesihatan ibu, pengurangan kematian ibu dan anak sewaktu kelahiran dan membasmi kemiskinan. Kajian mendapati penggunaan perancangan keluarga mengurangkan kadar pengguguran dengan sengaja.

    Mengikut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia, satu pertiga daripada 210 juta kehamilan yang berlaku setiap tahun adalah kehamilan yang tidak dikehendaki. Kebanyakannya berakhir dengan kelahiran mati, keguguran, dan pengguguran dengan sengaja. Lima juta wanita dimasukkan ke hospital setiap tahun untuk rawatan komplikasi keguguran seperti pendarahan dan sepsis.

    Di Malaysia, wanita yang memerlukan tetapi tidak menggunakan kaedah perancang keluarga, (iaitu mereka yang ingin menghalang atau menangguhkan kelahirkan tetapi tidak menggunakan kaedah pencegahan) telah meningkat daripada 25% kepada 36% pada tahun 2004. Ini termasuk remaja yang aktif secara seksual yang tidak ingin hamil.

    Akibatnya, berlaku peningkatan laporan mengenai bayi yang dibuang di Malaysia. Dengan kes terbaru ialah seorang bayi perempuan yang diletakkan dalam beg kertas yang tergantung di cermin sisi kereta di Ipoh.

    Dalam kajian remaja di antara umur 18-21 tahun di Malaysia, sekitar 20% melakukan hubungan kelamin dengan pasangan mereka tanpa menggunakan sebarang kaedah pencegahan. Daripada 510 462 bayi yang dilahirkan pada tahun 2010, terdapat 52 982 kehamilan luar nikah. Apa yang pasti, para ibu ini tidak mengamalkan sebarang kaedah pencegahan.

    Walaupun mendidik dan menggalakkan kaedah pencegah kehamilan kepada orang awam sering kali mencetuskan kemarahan bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pendedahan tersebut kepada muda-mudi belum berkahwin tetapi aktif secara seksual, hakikatnya dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin sekalipun, penggunaan kaedah pencegah kehamilan di Malaysia adalah rendah.

    Kekangan perancangan keluarga di Malaysia

    Di Malaysia, kadar penggunaan pencegah kehamilan pada tahun 1966 adalah 8.8 peratus tetapi telah meningkat kepada 52 peratus (termasuk kaedah tradisional) pada tahun 1984 kerana pengenalan Akta Perancang Keluarga Negara. Dari segi kaedah kontraseptif moden, hanya 32.3% wanita mengamalkannya berdasarkan soal selidik tahun 2005-2010.

    Malangnya, kadar penggunaan kontraseptif di Malaysia telah menjadi statik di takuk yang sama sejak 25 tahun yang lalu. Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia (RRAAM) melaporkan bahawa kehamilan yang tidak diingini semakin meningkat disebabkan amalan kontraseptif yang rendah dalam kalangan wanita Malaysia. Laporan terhadap punca kematian ibu melahirkan pada tahun 2001-2005 mendedahkan dalam 70% daripada kematian tersebut, si ibu tidak menggunakan sebarang bentuk kaedah perancang keluarga.

    Sementara itu, dari segi perbezaan kaum, masyarakat Melayu dilaporkan mempunyai peratusan terendah dalam amalan perancang keluarga menurut kaji selidik oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Negeri-negeri di pantai timur yang mempunyai peratusan masyarakat Melayu sebanyak 90% menunjukkan penggunaan terendah.

    Bahkan dalam satu kajian yang dilakukan pada tahun 2014, para penyelidik mendapati bahawa wanita Melayu adalah 92% lebih cenderung menolak kaedah kontraseptif berbanding kaum lain. Faktor kaum ini didapati menjadi penentu penting penggunaan kaedah pencegah kehamilan berbanding status kewangan atau tahap pendidikan.

    Perancangan keluarga: untuk masa depan yang lebih baik

    Perancangan keluarga bukan masalah menolak kejadian semula jadi tubuh anda, atau apa yang telah ditakdirkan. Ia hanya satu pilihan untuk membantu anda membina keluarga yang lebih sihat dan stabil. Yang seterusnya akan menyumbang kepada masyarakat yang lebih baik.

    Tetapi perancangan keluarga tidak harus dibebani kepada kaum wanita sahaja. Sokongan masyarakat adalah penting agar perancangan keluarga berjaya. Wanita yang membincangkan perancangan keluarga dengan pasangan mereka didapati lebih cenderung menggunakan kontraseptif moden berbanding dengan wanita yang tidak. Memberikan remaja akses kepada pengetahuan kontraseptif tidak akan menggalakkan hubungan seksual di luar perkahwinan dengan sendirinya. Sebaliknya ia membantu untuk membendung lambakan kejadian bayi yang dibuang di Malaysia.

    Matlamat akhir perancangan keluarga bukanlah untuk menafikan hak membentuk keluarga seperti yang anda mahukan. Sebaliknya, untuk mencipta dunia di mana setiap kehamilan yang berlaku adalah kehamilan yang dimahukan, setiap proses kelahiran adalah selamat dan setiap anak kecil mampu mengembangkan potensi mereka sepenuhnya sebagaimana yang digariskan oleh Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan