backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Bagaimana Nak Faham Keputusan Ujian Pap Smear, Tak Normal Bermakna Ada Kanser Serviks?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 31/03/2021

    Bagaimana Nak Faham Keputusan Ujian Pap Smear, Tak Normal Bermakna Ada Kanser Serviks?

    Apa yang anda faham berkenaan dengan keputusan ujian pap smear tidak normal? Adakah bermaksud anda positif kanser serviks?

    Jika tidak, ada sesuatu yang tak kena ke pada organ reproduktif anda?

    Walaupun perkataan ‘tidak normal’ sering menimbulkan ketakutan, namun ujian pap smear hanyalah ujian saringan.

    Ini bermakna, bukti yang dikemukakan tidak konklusif. Cuma, analisis tersebut mencurigakan dan ia boleh jadi masalah kesihatan seperti kanser.

    Bagi memahami keputusan ujian pap smear, anda perlu faham konsep ujian pap smear itu sendiri.

    Perihal ujian pap smear, kenapa ia sering disarankan kepada wanita?

    kanser serviks

    Ujian pap smear tidak mengesan sel kanser secara langsung.

    Ia merupakan satu prosedur ringkas yang dibuat bagi mengenal pasti sebarang perubahan sel pada organ serviks.

    Jika dilihat pada struktur anatomi laluan reproduktif wanita, serviks terletak di bukaan rahim selepas faraj.

    Pada kebanyakan masa, ujian ini mampu mengesan perubahan sel yang dianggap prakanser (mempunyai potensi menjadi sel kanser).

    Jika ia dikesan pada peringkat awal, prosedur pembuangan sel tersebut boleh dilakukan bagi mencegah daripada berlakunya kanser kelak.

    Secara umumnya, ujian pap smear mampu melindungi wanita daripada kesan buruk kanser serviks.

    Pelbagai jenis faktor boleh mempengaruhi keputusan ujian 

    Seperti prosedur yang lain, ujian pap smear perlu dilakukan dengan teliti.

    Bagi mendapatkan nilai analisis  yang tepat, faktor yang mampu mempengaruhi dapatan perlu dielakkan.

    Sebagai contoh:

    1. Tampon
    2. Krim faraj, sebarang ubat atau alat supositori faraj
    3. Baru sahaja lepas melakukan hubungan seks

    Prosedurnya mudah sahaja. Sama seperti pemeriksaan pelvik, doktor akan menggunakan alat yang dipanggil sebagai spekulum untuk membuka faraj anda.

    Ia dilakukan semasa anda sedang baring dengan kaki terletak di atas tempat khas.

    Selepas itu, sampel sel daripada kawasan serviks akan dicalit menggunakan alat khas dan dihantar ke makmal.

    Prosedur pengambilan sel serviks itu boleh jadi tidak selesa namun ia tidak menyakitkan.

    Sampel tersebut kemudiannya akan dianalisis di atas slaid kaca.

    Anda mungkin berminat:

    Memahami keputusan ujian pap smear yang diperolehi

    keputusan ujian pap smear

    Keputusan akan keluar dalam masa seminggu dua.

    Ia bergantung kepada kemudahan makmal, jumlah tenaga kerja dan sampel yang perlu dianalisis.

    Jika anda beroleh keputusan ‘normal’, anda tidak perlu risau.

    Ia bermakna tiada bukti menunjukkan anda mempunyai sel tidak normal pada permukaan serviks.

    Bagaimana pula jika anda mendapat keputusan tidak normal? Perlu bimbang ke?

    Jawapannya tidak semestinya. Apa yang anda perlu tahu adalah keputusan yang anda perolehi boleh jadi tidak konklusif.

    Kadangkala, sel yang terdapat pada permukaan serviks anda merupakan sel normal yang berlainan daripada apa yang disetkan sebagai normal. 

    Ini dipanggil sebatypical squamous cells of undetermined significance.

    Ada juga sampel yang tidak elok dihantar ke makmal menyebabkan keputusan tidak konklusif.

    Perkara ini boleh berlaku apabila anda melakukan hubungan seks atau menggunakan sebarang produk berkaitan pada faraj anda sebelum ujian.

    Jika anda mendapat keputusan tidak normal, ia tidak semestinya kanser. Boleh jadi ia petanda:

    1. Keradangan
    2. Jangkitan kuman
    3. Jangkitan kelamin (herpes, trikomoniasis atau HPV)

    Tambahan pula, sel tidak normal terbahagi kepada dua iaitu gred rendah dan gred tinggi.

    Sekiranya perubahan sel pada serviks anda dilabel sebagai perubahan gred tinggi, maka ia berpotensi menjadi sel kanser kelak.

    Ada juga keputusan yang merupakan positif palsu atau negatif palsu.

    Semua ini akan diterangkan oleh doktor anda selepas mendapat keputusan ujian pap smear.

    Jadi apa yang perlu saya lakukan seterusnya?

    keputusan ujian pap smear

    Kanser serviks tidak didiagnosis menggunakan ujian pap smear.

    Ujian pap smear ini boleh diibaratkan sebagai termometer. Kita boleh tahu orang demam jika bersuhu tinggi namun ia tidak mendiagnosis jangkitan.

    Jika anda tidak membuat ujian HPV, doktor mungkin akan menempah ujian tersebut bagi mengetahui status jangkitan anda.

    Langkah seterusnya selepas mendapat keputusan tidak normal adalah prosedur kolposkopi.

    Ia merupakan satu prosedur yang melibatkan penggunaan mikroskop bagi memeriksa sel yang terdapat pada serviks anda.

    Ketika kolposkopi sedang dijalankan, doktor mengambil cebisan tisu untuk tujuan diagnosis.

    Jika analisis tisu positif kanser, rawatan bergantung kepada faktor seperti gred dan tahap kanser tersebut.

    Konklusi

    Jika anda mendapat keputusan pap smear tidak normal, ia tidak semestinya kanser.

    Doktor mungkin akan mengulang semula ujian tersebut sekiranya tidak konklusif.

    Kalau masih tidak normal, langkah seterusnya adalah prosedur kolposkopi dan pengambilan sampel tisu untuk dianalisis.

    Ujian pap smear boleh bantu mengesan kanser serviks pada peringkat awal, namun jika tidak normal, ia tidak semestinya kanser serviks.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 31/03/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan