backup og meta

Selain Jangkitan HPV, Ini Punca Lain Yang Boleh Menyebabkan Kanser Serviks, Anda Wajib Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 2 minggu lalu

    Selain Jangkitan HPV, Ini Punca Lain Yang Boleh Menyebabkan Kanser Serviks, Anda Wajib Tahu

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Serviks, sila dapatkannya di sini.

    Ada pelbagai punca serta penyebab yang boleh mengakibatkan seseorang itu menghidap kanser serviks. Kanser serviks berlaku apabila sel pada bahagian serviks mengalami perubahan ataupun mutasi pada DNA di dalam sel.

    Mutasi ini menyebabkan sel membesar dan membahagi secara abnormal. Kemudiannya, sel tersebut akan membentuk tumor ataupun merebak (metastasis) ke bahagian badan yang lain.

    Pakar masih lagi tidak pasti punca sebenar yang menyebabkan kanser serviks. Namun, salah satu faktor yang telah dikenal pasti ialah jangkitan oleh human papillomavirus (HPV).

    Disamping jangkitan HPV sebagai salah satu faktor yang terkuat, ada beberapa lagi punca lain yang boleh mengakibatkan kanser serviks.

    Punca 1 – Jangkitan human papillomavirus (HPV)

    Salah satu faktor yang meningkatkan risiko untuk menghidap kanser serviks ialah jangkitan human papillomavirus (HPV).

    Jangkitan ini merupakan sesuatu yang lazim dan akan sembuh dengan sendirinya. Kebanyakan wanita yang aktif secara seksual juga akan mendapat jangkitan HPV walaupun mereka hanya mempunyai beberapa orang pasangan seks.

    Tidak ada sebarang cara untuk mengetahui wanita yang mana akan menghidap kanser serviks setelah dijangkiti HPV. Malah, ada jangkitan yang tidak akan menyebabkan sebarang masalah kesihatan. Namun, ada beberapa jenis HPV yang akan menyebabkan ketuat genital dan kanser.

    Antara langkah yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan risiko dijangkiti HPV ialah dengan mengambil vaksinasi.

    Vaksinasi HPV ini adalah selamat dan efektif. Wanita yang berumur 21 hingga 65 tahun boleh melakukan ujian saringan untuk mengesan kanser serviks pada peringkat awal.

    Punca 2 – Tabiat merokok

    Tabiat merokok merupakan salah satu punca atau penyebab yang boleh mencetuskan kanser serviks. Namun, punca sebenar yang mengaitkan tabiat merokok dengan kanser serviks masih lagi misteri dan tidak diketahui.

    Wanita yang merokok mempunyai risiko dua kali ganda untuk menghidap kanser serviks. Ini kerana, kesan tembakau telah dijumpai pada cecair yang melapisi kawasan serviks wanita yang merokok.

    Para pengkaji percaya bahawa karsinogen daripada tembakau boleh merubah DNA pada kawasan serviks. Tabiat merokok juga menyebabkan sistem imun menjadi lemah dan tidak mampu untuk melawan jangkitan HPV.

    Punca 3 – Diethylstilbestrol (DES)

    Diethylstilbestrol (DES) ialah sejenis hormon wanita sintetik yang diberikan kepada ibu yang mengandung pada tahun 1940 hingga 1971 untuk mengelakkan keguguran. Penggunaan DES berkurang setelah kajian menunjukkan penggunaan hormon ini tidak efektif dalam mencegah keguguran.

    1 daripada 1000 wanita yang mengambil hormon ini akan mengidap sama ada kanser serviks atau kanser vagina. Kanser yang disebabkan oleh DES lebih berpotensi untuk menghidap kanser vagina daripada kanser serviks.

    Pada tahun 1971, para pengkaji menemui kaitan antara DES dan kanser serviks. Sejurus selepas itu, Food and Drug Administration (FDA) menghalang pemberian DES kepada wanita mengandung.

    Hormon sintetik ini dikenal pasti dapat mengganggu sistem endokrin lalu mengakibatkan wanita tersebut menghidap kanser, kecacatan semasa kelahiran dan masalah perkembangan janin yang abnormal.

    Punca 4 – Masalah sistem imun

    Wanita yang mempunyai sistem imun yang lemah lebih berisiko untuk menghidap kanser serviks. Sebagai contoh, wanita yang mempunyai penyakit human immunodeficiency virus (HIV) mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk menghidap kanser serviks.

    Selain itu, wanita yang mengambil ubat untuk menyekat sistem imun juga berisiko untuk menghidap kanser serviks. Ia sama juga dengan Individu yang sedang dirawat untuk penyakit autoimun atau akan melalui permindahan organ.

    Sistem imun yang sihat penting untuk melawan penyakit kanser. Malah dengan sistem imun juga bertanggungjawab untuk memperlahankan jangkitan kanser.

    Punca 5 – Genetik

    Kanser serviks mempunyai potensi untuk berlaku dalam kalangan keluarga. Oleh itu, individu yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser serviks, maka anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit yang sama.

    Keluarga yang mempunyai risiko untuk menghidap kanser serviks mempunyai perubahan dari segi genetik. Sebagai contoh, keluarga yang mempunyai sejarah kanser serviks mempunyai abnormaliti dalam gen HLA-DRB1*13-2, HLA-DRB1*3(17) dan HLA-B*07.

    Bukan setiap wanita yang dijangkiti HPV akan menghidap kanser serviks, namun sebarang abnormaliti dari segi genetik mungkin akan meningkatkan risiko untuk menghidap kanser ini. 

     Punca 6 – Faktor gaya hidup

    Perbezaan dari segi sosio ekonomi dan gaya hidup juga boleh menjadi penyebab seseorang itu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser serviks.

    Sebagai contoh, individu yang mempunyai pasangan seksual yang lebih daripada seorang, wanita yang berkahwin awal atau melakukan seks pada usia yang muda dan wanita yang jarang membuat pemeriksaan kesihatan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser serviks.

    1.   Mempunyai lebih dari seorang pasangan seksual

    penyebab kanser serviks

    Wanita yang mempunyai pasangan seks yang berbeza mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser serviks. 

    Disebabkan HPV merupakan sejenis STD (sexually transmitted disease), maka wanita yang mempunyai pasangan yang berbeza berisiko tinggi untuk dijangkiti HPV.

    Perkara yang sama juga akan berlaku jika wanita tersebut melakukan hubungan seksual dengan pasangan yang mempunyai lebih daripada seorang pasangan seksual. Sekaligus wanita berkenaan juga berisiko untuk menghidap kanser serviks.

    2.   Melakukan hubungan seksual pada usia yang muda

    Wanita yang melakukan hubungan seksual pada umur yang muda, misalnya di bawah umur 18 tahun, di mana mereka juga mempunyai risiko tinggi untuk menghidap kanser jenis ini. 

    Menurut kajian, wanita yang berkahwin lebih awal mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana mereka melakukan hubungan seksual pada usia yang lebih muda. 

    Lebih awal wanita melakukan seks, lebih besarlah risiko untuk wanita tersebut dijangkiti virus HPV.

    3.   Menggunakan ubat-ubatan kontraseptif

    Ubat kontraseptif seperti pil perancang mengandungi hormon yang diambil secara oral bagi menghalang kehamilan yang tidak diingini.

    Kebanyakan ubat-ubatan ini mengandungi hormon estrogen dan progesterone sintetik. Pil perancang ini turut dikenali sebagai kontraseptif oral gabungan.

    Berdasarkan kajian, wanita yang mengambil pil kontraseptif selama 5 tahun atau lebih mempunyai risiko tinggi untuk menghidap kanser serviks.

    Kajian tersebut mendapati individu yang mengambil pil kontraseptif mempunyai peningkatan risiko sebanyak 10%. Sementara itu,individu yang menggunakan pil kontraseptif selama 5-9 tahun pula mempunyai peningkatan risiko sebanyak 60%.

    4.   Tidak melakukan pemeriksaan kesihatan

    Wanita yang mempunyai status sosio ekonomi yang rendah mempunyai risiko yang lebih besar untuk menghidap kanser serviks.

    Salah satu penyebabnya ialah wanita yang berasal daripada keluarga miskin selalunya akan berkahwin lebih awal. 

    Perkahwinan awal ini bermaksud wanita tersebut akan melalui fasa hubungan seksual yang lebih cepat. 

    Selain itu, mereka juga sukar untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap disebabkan kesempitan hidup dan masalah kewangan. 

    Oleh itu, wanita yang mempunyai latar belakang ini selalunya hanya akan mendapatkan rawatan ketika kanser mereka telahpun merebak ke bahagian badan yang lain.

     Kesimpulan

    penyebab kanser serviks

    Pakar masih lagi mencari penyebab yang menyebabkan penyakit ini termasuklah cara untuk mencegah kanser serviks daripada menyerang golongan wanita.

    Walaupun anda tidak dapat mengelakkan diri daripada kanser serviks secara total, namun, anda boleh lakukan pelbagai kaedah bagi menurunkan risiko kanser serviks.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, anda boleh:

    1.  Mendapatkan vaksinasi
    2. Melakukan ujian saringan kanser serviks secara berkala
    3. Lakukan hubungan seks selamat menggunakan alat kontraseptif seperti kondom

    Belum terlambat untuk anda mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat bagi mengelakkan risiko kanser serviks.

    Bukan semua wanita yang mengalami faktor risiko yang digariskan di atas akan menghidap kanser serviks. Malah ramai wanita yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat namun masih kuat dan mempunyai kesihatan yang baik.

    Walau bagaimanapun, wanita yang mempunyai faktor risiko yang lebih banyak sudah pasti akan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 2 minggu lalu

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan