Nota Pengarang: 30 tahun berlalu, usaha perangi HIV/AIDS berterusan

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 05/12/2019 . 4 minit bacaan
Share now

Semenjak tahun 1988, 1 Disember diisytiharkan sebagai Hari AIDS Dunia bagi mengenang mereka yang meninggal dunia kerana epidemik HIV/AIDS, meningkatkan kesedaran mengenai penyakit tersebut, memberi sokongan kepada mereka yang hidup dengan virus tersebut dan menghapus stigma dan prejudis terhadap HIV/AIDS. Tahun ini genap 30 tahun dunia bersatu tenaga dan usaha dalam pembasmian HIV/AIDS.

Apakah ertinya perjuangan masyarakat dunia selama 30 tahun ini? Banyak yang telah kita pelajari dan ketahui mengenai HIV/AIDS namun begitu, tidak kurang juga ada di antara masyarakat kita memilih untuk berada dalam penafian serta meneruskan stigma mereka terhadap mereka yang telah pergi dan masih bertarung melawan penyakit tersebut.

Sempena 30 tahun perjuangan tersebut, kami di Hello Doktor ingin membantu masyarakat kita memahami HIV/AIDS menerusi persoalan-persoalan berikut:

hiv-and-how-to-prevent-it


Apakah statistik yang perlu diketahui?

Sejak bermulanya epidemik tersebut, dianggarkan 35.4 juta orang maut disebabkan komplikasi berkaitan HIV/AIDS. Buat masa ini, terdapat 36.9 juta orang menghidap virus tersebut di seluruh dunia. Di Malaysia, sehingga tahun 2016, pihak KKM melaporkan:

  • 111,916 jumlah keseluruhan kes HIV (1986 – 2016)
  • 99,338 lelaki menghidap HIV (1986 – 2016)
  • 33,206 kes jangkitan HIV melalui hubungan seks (1986 – 2016)
  • 68, 392 kes HIV melalui suntikan penagih (1986 – 2016)
  • 3,397 kes baharu jangkitan HIV pada 2016
  • 15 kes baharu HIV melibatkan kanak-kanak bawah 13 tahun pada 2016


Apakah perubahan signifikan dapat dilihat sepanjang 30 tahun ini?

Kita telah melihat perubahan yang positif dalam ubat-ubatan yang digunakan bagi merawat HIV, dengan pelbagai penyelidikan berterusan dan ubat baru dihasilkan setiap tahun. Jika diawal epidemik, seseorang yang didiagnosis dengan HIV hanya mampu bertahan selama beberapa bulan sahaja dengan rawatan hampir 30 biji pil sehari, dengan pelbagai kesan sampingan — menyukarkan pesakit untuk meneruskan kehidupan seharian seperti manusia biasa. HIV/AIDS merosakkan tubuh badan pesakitnya dengan bermacam jenis jangkitan dan komplikasi, mengakibatkan ramai yang tidak mampu bertahan. Kini, pesakit HIV/AIDS hanya perlu merawat keadaan mereka dengan sebiji pil sehari dengan kesan sampingan yang minimum dan dalam sesetengah kes, tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan.

Walau bagaimanapun, kehidupan dengan HIV adalah berbeza-beza mengikut keadaan individu. HIV sangat rumit, dan jika sesuatu rawatan berjaya ke atas sesorang, tidak bermakna rawatan itu juga mampu membuahkan hasil yang sama ke atas pesakit lain. Ubat-ubatan bagi merawat HIV/AIDS adalah sangat mahal dan potensinya ke atas kesan sampingan jangka panjang masih lagi belum dapat dipastikan. Seseorang yang didiagnosis hari ini mungkin dirawat dengan sebiji pil dan menampakkan perubahan positif kepada kesihatan mereka, manakala seseorang pesakit lain yang didiagnosis 20 tahun lalu mungkin menderita kesan sampingan jangka panjang akibat ubat-ubatan di tahun-tahun awal rawatannya.


Masih adakah mereka yang dijangkiti HIV?

Kenyataannya, masih ada yang dijangkiti HIV. Walaupun secara amnya, terdapat penurunan dalam jangkitan dan dalam sesetengan populasi, remaja berusia 15-23 tahun meningkat kes jangkitan baru. Kadangkala, terdapat jangkitan baru dilaporkan di sesetengah negara membangun. Ini meupakan peri pentingnya masyarakat dididik dengan maklumat bagaimana HIV disebarkan dan bagaimana untuk membanterasnya.

hiv dan aids


Bagaimana jangkitan HIV dapat dibanteras?

Penggunaan kondom ketika hubungan seksual dan tidak berkongsi jarum suntikan dadah adalah kaedah paling berkesan dalam menangani jangkitan HIV. Dalam satu kajian terbaru, terdapat pelbagai cara lain bagi mengelak penyebaran HIV. PrEp (pre-exposure prophylaxis) merupakan pil yang boleh diambil setiap hari oleh mereka yang bebas HIV bagi menghalang jangkitan virus tersebut.

Kajian juga menunjukkan PrEP berjaya membendung jangkitan HIV pada kadar 90-99 peratus keberkesanannya. Ini merupakan pilihan terbaik bagi mereka yang mempunya pasangan yang aktif aktiviti seksual atau bagi mereka yang tidak mengetahui status HIV mereka. Kebanyakan insurans menanggung rawatan HIV/AIDS dan terdapat juga bantuan kewangan bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh penghidapnya.

nsaids-less-damaging-stomach


Adakah sebarang perkembangan terbaru mengenai HIV yang patut diketahui?

Ya dan perkembangan tersebut sangat penting. Menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC), penghidap HIV yang mengambil ubat-ubat mereka setiap hari dan mencapai tahap penghentian viral, tidak akan menyebarkan virus tersebut kepada individu lain.

Ubat-ubatan selalunya dapat mengurangkan kehadiran virus tersebut sehingga membuat ia tidak dapat dikesan dalam badan. Namun begitu, tidak bermakna seseorang itu berjaya dirawat, tetapi jumlah virus tersebut yang terlalu sedikit untuk dikesan menerusi ujian. Begitu juga jumlah virus yang terlalu sedikit dalam badan juga tidak mampu untuk menjangkiti orang lain.

Slogan baru U=U (undetectable-equals-untrasmittable) membuktikan fakta tersebut. Kebanyakan kes jangkitan baru berlaku apabila seseorang tidak mengetahui mereka dijangkiti HIV, tidak mendapatkan rawatan serta menjangkiti individu lain.

Seseorang mudah terdedah mendapat HIV daripada seseorang yang mempercayai mereka adalah HIV negatif berbanding seseorang yang HIV positif dan menerima rawatan.

Kami percaya maklumat ini perlu dikongsi dengan meluas, bukan hanya mendidik masyarakat mengenai bagaimana jangkitan HIV berlaku, dan menghapus stigma dan diskriminasi terhadap penghidap HIV yang berlaku saban hari. Kaedah terbaik bagi mengetahui status HIV seseorang adalah dengan menjalani ujian secara berkala.

Apakah isu utama yang dihadapi oleh mereka menghidap HIV?

Ramai penghidap HIV merasakan perlu untuk mereka merahsiakan status mereka kerana bimbang dipulaukan.

Seperti dinyatakan di atas, penghidap HIV tidak menjangkiti seseorang dengan semudah tanggapan kita terhadap mereka, sehingga ada yang dibuang keluarga dan menidakkan hak mereka untuk bertemu pasangan hidup.

Penghidap HIV harus dilayan dengan penuh belas ehsan dan hormat kerana mereka juga mempunyai maruah serta harga diri seperti orang lain. Walaupun terdapat perkembangan rawatan yang signifikan, namun begitu mereka yang HIV positif terus hidup dalam keadaan ketakutan dan trauma dek kerana stigma masyarakat ke atas mereka. Ketika di tahun-tahun awal epidemik tersebut, ramai penghidapnya menghembuskan nafas terakhir tanpa keluarga dan orang yang tersayang di sisi mereka.

Dan mereka yang berjaya meneruskan kehidupan kini masih lagi berjuang dengan parut luka dalam kehidupan mereka mengenangkan sudah berapa ramai kawan mereka menjauhkan diri, mengalami krisis kesihatan dengan kesan sampingan dan apatah lagi ditolak ketepi oleh masyarakat.

Walaupun begitu, dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan, keluarga dan kesungguhan diri, ramai penghidap HIV meneruskan kehidupan mereka dengan penuh kasih sayang,

Maka sempena Disember ini, bulan kesedaran HIV/AIDS, kami menyeru agar masyarakat terus mendapatkan maklumat dan berkongsinya di antara satu sama lain. Selain itu, anda digalakkan untuk menjalani ujian HIV bagi mengetahui status anda. Dan jika rakan atau ahli keluarga anda adalah di antara mereka yang HIV positif, berikanlah sokongan tidak berbelah bahagi dan hargailah mereka serta kurangkanlah beban yang ditanggung oleh mereka kerana anda tidak mengetahui kepayahan yang dialami oleh mereka.

~ Pengarang, Hello Doktor

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy