Mungkin ramai yang belum tahu tentang penyakit polip pundi hempedu ini bukan? Adakah ia kondisi yang biasa atau berbahaya? Jom baca artikel ini dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.
Definisi
Apa itu polip pundi hempedu?
Penyakit ini adalah ketumbuhan yang menonjol daripada lapisan bahagian dalam pundi hempedu. Ia kebiasaannya dikesan melalui ultrabunyi.
Kebanyakan polip pundi hempedu tidak merbahaya – terdiri daripada kolesterol dan bukan sel-sel kanser.
Tetapi sesetengah yang lain mungkin sebenarnya adalah ketumbuhan kecil – ada yang boleh menjadi kanser manakala yang lain adalah ketumbuhan benigna.
Saiz ketumbuhan ini menentukan keadaan pesakit: lebih besar polip, lebih besar risiko kanser pundi ini.
Polip yang lebih besar daripada 1 sentimeter paling berkemungkinan menjadi kanser, jadi doktor sering mengesyorkan untuk membuang pundi ini pada pesakit dengan polip saiz tersebut atau yang lebih besar.
Polip yang lebih kecil daripada itu sangat jarang menjadi kanser.
Simptom
Apa simptom polip pundi hempedu?
Polip ini mungkin tidak menyebabkan sebarang simptom sama sekali. Tetapi ia juga boleh menyebabkan sakit biliari (sakit perut yang datang daripada pundi ini).
Sakit ini biasanya berpunca daripada batu karang dalam pundi itu, tetapi jika tiada batu karang, kemungkinan polip pundi hempedu mestilah dipertimbangkan.
Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai simptom tertentu, sila berunding dengan doktor anda.
Punca
Apa punca polip pundi hempedu?
Punca sebenar ketumbuhan ini masih tidak diketahui. Walaupun keadaan ini biasanya tidak berbahaya, terdapat juga beberapa bukti yang menunjukkan usia, kehadiran batu karang, atau saiz polip lebih besar boleh dikaitkan dengan kanser.
Walau bagaimanapun, memandangkan ketumbuhan biasanya tidak didiagnosis melainkan dengan ultrabunyi abdomen atau pembedahan pundi ini (kolesistektomi), adalah penting untuk menyedari kemungkinan masalah kesihatan yang serius.
Faktor Risiko
Apa faktor risiko polip pundi hempedu?
Tidak banyak yang diketahui tentang faktor-faktor yang dikaitkan dengan berlakunya masalah ini.
Pembentukan ketumbuhan ini bagaimanapun berkait dengan metabolisme lemak. Hubungan antara ketumbuhan pundi hempedu dan sejarah beberapa penyakit dalam keluarga mencadangkan keperluan terhadap kajian genetik.
Pesakit dengan sindrom poliposis kongenital seperti Peutz-Jeghers dan sindrom Gardner juga mungkin mengalami polip pundi ini.
Kajian faktor-faktor risiko ketumbuhan pundi itu dalam populasi Cina mengenalpasti hepatitis B kronik sebagai faktor risiko.
Kemungkinan faktor risiko ketumbuhan yang malignan termasuklah berumur lebih daripada 60 tahun, kehadiran batu karang dalam pundi itu, dan kolangitis mensklerosis primer (primary sclerosing cholangitis).
Ciri-ciri polip yang lebih berisiko termasuklah saiz yang lebih besar daripada 6 mm, tunggal, dan sesil (tidak bergerak).
Diagnosis dan Rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana pesakit masalah ini didiagnosis?
Untuk melihat pundi itu dengan baik, ultrabunyi biasanya dilakukan. Polip ini kebiasaannya akan dilihat pada ultrabunyi, dan saiz (dan risiko merbahaya) boleh diukur.
Imbasan tomografi pancaran positron (PET) atau tomografi berkomputer (CT) boleh membantu menilai kemungkinan sel-sel kanser dalam polip ini yang lebih besar.
Ujian-ujian ini kedua-duanya boleh digunakan untuk memantau ketumbuhan pundi ini dari masa ke masa untuk melihat sebarang perubahan yang mencurigakan yang menunjukkan kanser pundi hempedu.
Bagaimana pesakit masalah ini dirawat?
Jadi, jika ia adalah polip yang tidak berbahaya, apakah yang patut dilakukan? Demikianlah soalan yang masih dalam kajian.
Jawapannya bergantung kepada saiz ketumbuhan dan kemungkinannya menjadi kanser. Pada dasarnya terdapat dua pilihan: tunggu dan lihat, atau menjalani pembedahan penyingkiran pundi hempedu (kolesistektomi).
Polip yang sangat kecil, yang kurang daripada 1 sentimeter (atau kurang daripada 1.5 cm, menurut beberapa kajian) mungkin tidak memerlukan kolesistektomi, dan sebaliknya boleh dipantau dengan imbasan dan menilai semula sebarang perubahan yang mencurigakan yang boleh menunjukkan kanser pundi ini.
Polip lebih besar daripada 1 sentimeter lebih cenderung untuk menjadi kanser, terutamanya 1.5 sentimeter dalam diameter atau lebih besar – terdapat risiko 46-70 peratus bahawa ia mengandungi sel-sel kanser.
Pemantauan ketumbuhan pundi hempedu kurang daripada 1.5 sentimeter perlu dilakukan setiap tiga hingga enam bulan selama dua tahun, selepas itu ia boleh dihentikan jika tiada sebarang perubahan dalam ketumbuhan.
Dalam kes yang lebih kecil daripada 0.5 sentimeter dalam diameter, penyingkiran pundi ini tidak disarankan kerana risiko kanser pundi ini amat jarang berlaku.
Ketumbuhan pundi hempedu yang menjadi kanser boleh dirawat dengan pembedahan pundi hempedu. Untuk yang lebih besar, kolesistektomi juga boleh disyorkan untuk mencegah perkembangan kanser pundi itu.
Membuat keputusan bagaimana untuk merawat ketumbuhan pundi hempedu memerlukan pertimbangan teliti – menilai risiko pembedahan berbanding risiko perkembangan kanser pundi itu.
Beri perhatian kepada risiko kanser secara keseluruhan dan ingat bahawa pemantauan yang teliti boleh menjadi strategi rawatan yang berkesan untuk mengekalkan kesihatan anda.
[embed-health-tool-bmr]