backup og meta

Aduh, Busuknya Bau Sendawa! Ketahui 5 Perkara Mungkin Jadi Punca Sendawa Bau Telur!

Aduh, Busuknya Bau Sendawa! Ketahui 5 Perkara Mungkin Jadi Punca Sendawa Bau Telur!

Pernahkah anda dengar mengenai sendawa sulfur? Jika anda kerap mengalami sendawa yang mempunyai bau yang busuk, ia mungkin berpunca daripada sejenis gas yang dikenali dengan nama hidrogen sulfida.

Walau bagaimanapun, gas ini jarang dikeluarkan oleh tubuh manusia semasa sendawa. Ada banyak lagi gas lain yang terkandung di dalam sendawa kita seperti nitrogen, karbon dioksida, oksigen dan kadangkala metana. 

Tetapi, hidrogen sulfida inilah yang menyebabkan sendawa mempunyai bau yang busuk! Jika anda ingin tahu bagaimana bau hidrogen sulfida, cuba bayangkan bau telur busuk.

Sendawa merupakan tindak balas semula jadi badan untuk mengeluarkan lebihan udara daripada bahagian atas saluran pencernaan anda. Selalunya, sendawa terjadi apabila anda makan terlalu cepat atau minum minuman berkarbonat.

Namun, jangan abaikan sendawa yang berbau busuk. Ia mungkin tanda penyakit yang anda tidak tahu!

Sendawa bau busuk, normal atau tidak?

sendawa bau

Jika anda kerap sendawa, pasti anda tertanya-tanya sama ada sendawa yang anda alami normal atau tidak, lebih-lebih lagi jika ia berbau busuk.

Adakah anda perlu berjumpa doktor untuk sesi konsultasi mengenai masalah sendawa yang anda alami?

Jom ambil tahu 5 sebab yang membuatkan sendawa anda berbau telur dan bila anda perlu berjumpa doktor untuk sesi konsultasi. 

1. Anda baru lepas makan makanan yang bersulfur

Cuba ingat kembali, ada tak anda makan makanan seperti telur, brokoli, bawang putih, dan daging proses baru-baru ini?

Selalunya, sendawa yang berbau busuk berlaku apabila badan mencerna makanan yang mempunyai kandungan sulfur yang tinggi.

Jika anda mengambil makanan yang banyak daging, bawang dan telur, mungkin sudah sampai masanya untuk anda tukar selera dan cuba makanan lain pula hinggalah bau sendawa tersebut hilang.

2. Anda makan terlalu banyak serat

Serat merupakan satu komponen penting di dalam sebuah diet yang sihat. Selain memastikan anda kekal kenyang selepas makan, serat juga baik untuk sistem pencernaan.

Walau bagaimanapun, ada orang yang akan mengalami masalah sendawa berlebihan dan berbau busuk jika makan terlalu banyak makanan yang mempunyai serat.

Jika anda mengesyaki serat merupakan dalang di sebalik masalah sendawa anda, cuba berhenti makan makanan yang mempunyai serat buat seketika.

Tetapi, jangan terus berhenti pula! Kalau boleh, masukkan kembali serat ke dalam diet anda secara perlahan-lahan.

Mungkin selepas ini, masalah sendawa yang mempunyai bau busuk dan tidak menyenangkan dapat dikurangkan.

3. Bau sendawa busuk sebab makan terlalu banyak

sendawa bau

Ha, ini satu lagi punca mengapa sendawa anda berbau busuk! Mungkin anda sebenarnya makan terlalu banyak.

Untuk pengetahuan anda, semua makanan di dalam perut akan mengalami proses fermentasi. Tetapi, apabila anda makan terlalu banyak, makanan tersebut akan duduk di dalam perut untuk tempoh masa yang lebih lama.

Sebab itulah sendawa anda berbau busuk! Kalau boleh, selepas ini bersederhanalah dalam pemakanan ya!

4. GERD sebabkan sendawa yang mempunyai bau busuk

GERD atau gastroesophageal reflux boleh menyebabkan anda mengalami sendawa yang berlebihan dan berbau busuk.

Penyakit ini akan menyebabkan gas dari perut naik ke bahagian esofagus dan keluar sebagai sendawa yang boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Selain masalah sendawa, pesakit GERD juga kerap mengalami masalah pedih ulu hati. Jika anda mengesyaki diri anda mempunyai GERD, pastikan anda berjumpa dengan doktor secepat mungkin untuk berbincang mengenai simptom dan rawatan anda.

5. Anda mungkin menghidap jangkitan saluran pencernaan

sendawa bau

Kadangkala, bakteria pada kawasan dinding perut boleh menjadi punca masalah sendawa yang berbau busuk, lebih-lebih lagi jika ia dibiarkan tidak dirawat untuk satu jangka masa yang lama.

Masalah ini mungkin berpunca daripada ulser atau lebih teruk lagi, kanser. 

Oleh sebab itu, jika anda mengalami masalah sendawa berbau busuk yang diikuti dengan sakit perut, tinja berwarna hitam dan muntah-muntah pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera ya!

Kesimpulan

Masalah sendawa berlebihan dan berbau busuk boleh membuatkan sesiapa sahaja rasa rendah diri dan tidak yakin. 

Walau bagaimanapun, masalah ini selalunya bukanlah berpunca daripada sesuatu yang serius. Sendawa boleh hilang baunya jika anda melakukan perubahan dari segi pemakanan.

Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai sulfur dan serat. Lakukan eksperimen dengan menukar-nukar makanan yang anda ambil setiap hari dan lihat makanan manakah yang membuatkan sendawa anda berbau.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Harvard Health Publishing. 2019. By the way, doctor: What can I do about excessive belching and feeling full? June 10. Accessed March 1, 2021. https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/what-can-i-do-about-excessive-belching-and-feeling-full.
  2. International Foundation for Gastrointestinal Disorders. 2019. Tips on Controlling Gas. October 2. Accessed March 1, 2021. https://www.iffgd.org/symptoms-causes/intestinal-gas/tips-on-controlling-gas.html.
  3. Mayo Clinic. 2020. Belching, gas and bloating: Tips for reducing them. February 13. Accessed March 1, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gas-and-gas-pains/in-depth/gas-and-gas-pains/art-20044739#:~:text=Belching%20is%20commonly%20known%20as,but%20accumulates%20in%20the%20esophagus.

Versi Terbaru

12/10/2022

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Tak Perlu Makan Ubat? Legakan Gastrik Angin Dengan 6 Cara Ini Di Rumah!

Bagaimana Sendawakan Bayi Yang Selalu Tertidur Masa Menyusu? Ini Caranya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/10/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan