backup og meta

5 Punca Anda Boleh Tiba-Tiba Muntah Darah, Bahaya Ke Kalau Ia Kerap Terjadi?

5 Punca Anda Boleh Tiba-Tiba Muntah Darah, Bahaya Ke Kalau Ia Kerap Terjadi?

Walaupun masalah ini mungkin jarang berlaku kepada anda, itu bukan bermakna ia mustahil. Maka, kita semua wajar ambil tahu apa maksud, gejala, punca dan kesan muntah darah kepada individu. Jom baca artikel!

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Sistem Penghadaman, anda boleh klik di sini.

Apa maksud sebenar di sebalik muntah darah?

Muntah dan cirit birit merupakan satu refleks luar kawalan dalam usaha tubuh badan mengeluarkan kandungan yang tidak elok di dalam perut. Bayangkan pula jika yang keluar dari mulut anda itu melibatkan darah!

Apakah maksud darah yang keluar daripada mulut dan perut anda itu?

Masalah yang turut dikenali dengan nama hematemesis ini akan berlaku apabila isi kandungan di dalam perut keluar bercampur sedikit sebanyak dengan darah akibat beberapa sebab atau faktor risiko tertentu.

Kebiasaannya, masalah muntah darah selalu disalahertikan dengan batuk berdarah (hemoptisis) atau hidung berdarah  (epistaksis) sedangkan ketiga-tiga kondisi ini berlaku di atas sebab dan faktor risiko berbeza.

muntah darah
Sisa darah pada tisu.

Ada kemungkinan masalah ini terjadi gara-gara punca yang ringan, sederhana ataupun berat seperti petanda penyakit kanser dan lain-lain. Persoalannya, adakah anda perlu risau jika ia terus berlaku dan berulang?

Sebelum pergi dengan lebih lanjut, anda perlu tahu kenapa masalah ini terjadi terlebih dahulu. Jom terus baca artikel.

Berikut punca masalah ini terjadi kepada anda!

Sebenarnya, masalah muntah darah mungkin tidak akan terjadi secara tiba-tiba sahaja melainkan ada sebab yang tertentu. Untuk pengetahuan anda semua, di bawah merupakan beberapa punca paling umum ia berlaku:

#1. Refluks asid perut (GERD)

Pertama, anda mungkin boleh muntah berdarah apabila berlaku masalah GERD pada masa yang sama. Kebiasaannya, refluks ini akan terjadi akibat injap pada hujung esofagus tidak mampu tertutup dengan baik.

Disebabkan tekanan atau paksaan yang berlebihan, ia mungkin menjadi punca kerongkong anda merengsa, meradang dan mengalami luka. Ini sekali gus juga boleh menjadi punca anda menghidapi hematemesis.

simptom gerd
Kenal pasti simptom GERD!

Punca muntah darah #2. Kecederaan

Kedua, kecederaan yang bukan sahaja terjadi pada kerongkong malah mulut, tekak, hidung dan mungkin dalam perut juga boleh menjadi punca muntah berdarah. Ini ekoran darah kesan kecederaan tersebut boleh tercampur dengan isi perut sekali gus memicu masalah hematemesis.

Punca muntah darah #3. Keracunan

Ketiga, adalah tidak mustahil untuk individu tertelan bahan kimia yang berbahaya seperti asid, toksik dan lain-lain. Ia seterusnya akan menyebabkan sistem imun tubuh badan bertindak mengeluarkan bendasing ini melalui muntah yang kadangkala mungkin keluar berdarah dan berbahaya.

#4. Beberapa keadaan kesihatan yang lain

Kadangkala, masalah muntah kuning, muntah hijau serta melibatkan pendarahan mungkin bukan akibat satu isu sahaja malah gejala kepada keadaan kesihatan tertentu termasuk:

  • Pendarahan ulser peptik dalam perut atau lain-lain
  • Pembengkakan salur vena dalam perut atau lain-lain
  • Hakisan dalam perut akibat gastrik
  • Sindrom Zollinger-Ellison
  • Sindrom Mallory-Weiss
  • Divertikular Meckel (Meckel’s Diverticulum)

Memandangkan masalah muntah berdarah boleh menjadi indikator kepada banyak jenis penyakit lain, individu wajar berjumpa dan berbincang dengan doktor segera apabila ia mula berlaku kepada diri masing-masing.

Punca muntah darah #5. Kanser

Terakhir dan paling bahaya, ia juga mungkin merupakan simptom kepada kanser di bahagian yang terlibat termasuk perut, tekak, kerongkong, hati dan lain-lain. Selain itu juga, akan hadir simptom lain seperti penurunan berat badan, hilang selera makan, kerap rasa letih dan sebagainya.

muntah darah
Wanita yang sedang muntah.

Apa yang anda perlu buat untuk elak & rawat?

Sekiranya anda mengalami muntah berdarah pada tahap yang ringan atau sederhana di mana darah yang keluar itu sedikit serta tidak kerap dan tiada sebarang komplikasi lain, ia mungkin tidak begitu bahaya.

Sebaliknya pula kalau darah yang keluar itu terlalu banyak atau terlampau kerap, ia menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada tubuh badan sekali gus menjejaskan keadaan kesihatan.

Doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan di bawah jika kalian mendapatkan khidmat di klinik atau hospital:

  1. Ujian darah.
  2. Ujian kamera.
  3. Ujian sinar-X.
  4. Ujian khas lain.

Kemudian, rawatan seperti pemberian oksigen, transfusi darah, cecair saline serta pengambilan ubat mungkin akan diperlukan bergantung kepada hasil gejala, punca, kesan dan pemeriksaan di atas tadi.

Konklusinya, masalah muntah darah boleh jadi ringan, sederhana atau berat bergantung kepada punca, gejala serta kesannya terhadap individu. Segera jumpa doktor jika anda rasa sesuatu yang tidak kena berlaku!

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Vomiting Blood, https://my.clevelandclinic.org/health/symptoms/17708-vomiting-blood, Accessed Mar 31 2023.
  2. Vomiting blood, https://www.mountsinai.org/health-library/symptoms/vomiting-blood, Accessed Mar 31 2023.
  3. Vomiting blood, https://www.beaconhealthsystem.org/library/symptoms/vomiting-blood?content_id=SYM-20050732, Accessed Mar 31 2023.
  4. Hematemesis, https://muschealth.org/medical-services/ddc/patients/symptoms-and-conditions/hematemesis, Accessed Mar 31 2023.
  5. Vomiting blood, https://middlesexhealth.org/learning-center/symptoms/vomiting-blood, Accessed Mar 31 2023.

Versi Terbaru

04/06/2024

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Muntah Tiba-tiba, Tapi Bukan Sebab Mengandung? Awasi Punca Ini!

Suka Berat Turun Tiba-tiba? BAHAYA, Ada 15 Penyakit Punca Badan Kurus Tanpa Sebab!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/06/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan