backup og meta

Bawa Telefon Pintar ke Tandas Boleh Jadi Punca Buasir?

Bawa Telefon Pintar ke Tandas Boleh Jadi Punca Buasir?

Kami mengesyorkan agar anda menjauhkan telefon pintar anda daripada diri anda apabila menggunakan tandas. Ini kerana, penggunaan telefon pintar yang berpanjangan semasa berada di tempat duduk tandas, sebenarnya menyumbang kepada terjadinya buasir. Sebelum kita membincangkannya dengan lebih mendalam, mari kita ketahui dengan lebih lanjut mengenai masalah buasir ini.

Apakah buasir?

Haemorrhoids atau buasir ini boleh terjadi dalam dua keadaan, iaitu sama ada buasir dalaman atau buasir luaran. Buasir dalaman terjadi di bahagian dalam saluran dubur manakala buasir luaran pula terjadi di bahagian luar saluran tersebut. 

Buasir dalaman berlaku sepanjang lapisan rektum yang melibatkan gejala biasa seperti pendarahan rektum tanpa kesakitan. Buasir luaran, seperti namanya, merujuk kepada penonjolan tisu buasir di luar dubur, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan pendarahan yang teruk.

Buasir disebabkan oleh anjakan kusyen saluran darah yang mendasari lapisan dinding dubur. Biasanya, kusyen ini menyumbang kepada ketegangan dan membantu mengawal najis semasa membuang air besar. Walau bagaimanapun, beberapa faktor boleh menyebabkan kusyen ini mengalami keradangan dan / atau pembengkakan, yang membawa kepada penonjolannya. Penyebab yang paling biasa dalam keadaan ini adalah penegangan berlebihan sewaktu membuang air besar. Penegangan jangka panjang menyebabkan tisu sokongan kusyen dubur menjadi pecah.

Semasa program “Don’t Sit on It Lah” Daflon Roundtable Session di Petaling Jaya semalam, Dato ‘Dr Meheshinder Singh, Pakar Perunding Pembedahan Am dan Pakar Bedah Kolorektal dari Pantai Medical Centre, Kuala Lumpur, menyatakan pendapatnya mengenai keadaan kesihatan ini bersama-sama Dato’ Dr Ho Teik Kok, Pakar Perunding Pembedahan Am yang juga Pakar Bedah Vaskular/ Endovaskular di KPJ Damansara Specialist Hospital; Datin Mariani Ahmad Nizaruddin, Naib Presiden Persatuan Farmasi Malaysia dan Yvonne Lee Shu Yee yang merupakan bekas penderita buasir.

Beliau juga menambah bahawa terdapat pelbagai faktor lain yang turut merisikokan seseorang individu untuk mendapat masalah buasir. Antara punca-punca tersebut adalah, penuaan, kehamilan, masalah sembelit, mengangkat benda-benda berat dan meneran secara berlebihan semasa membuang air besar. 

Penggunaan telefon bimbit dalam tempoh yang berpanjangan ketika berada di tempat duduk tandas

Toilet newspaper syndrom” adalah satu keadaan di mana seseorang duduk terlalu lama di mangkuk tandas kerana ditemani bahan bacaan seperti surat khabar. Mungkin pada zaman sekarang, orang ramai tidak lagi membawa masuk surat khabar bersama-sama mereka ke tandas. Walau bagaimanapun, tabiat ini masih berlaku memandangkan surat khabar telah digantikan dengan sesuatu yang lebih bersifat interaktif dan mengasyikkan iaitu gajet seperti telefon pintar. Bahkan terdapat individu yang masih sempat bermain game di telefon pintar ketika membuang air besar. Tabiat seperti inilah yang turut menyebabkan seseorang individu itu mendapat masalah buasir.

Dr Meheshinder mencadangkan agar setiap individu tidak membawa bersama bahan bacaan atau gajet seperti telefon bimbit ketika membuang air besar di tandas agar boleh memendekkan tempoh anda duduk di mangkuk tandas tanpa keperluan.

Seteruk manakah buasir boleh berlaku?

Mengulas mengenai rawatan penyakit ini, beliau berkata bahawa kebanyakan rakyat Malaysia masih berasa malu dan segan untuk berjumpa doktor bagi menyatakan masalah yang mereka hadapi apatah lagi jika ia berkaitan dengan masalah yang melibatkan bahagian sulit pada tubuh. Komplikasi termasuklah penyumbatan pada saluran haemorrhoids (trombosis) yang membawa kepada kesakitan yang teruk; pendarahan kronik dan fisur dubur kronik. Tambahan pula, tag kulit yang berkaitan dengan buasir luaran mungkin sukar untuk dibersihkan, mengakibatkan sentuhan berpanjangan najis dengan kulit perianal yang boleh menyebabkan kerengsaan dan meningkatkan risiko jangkitan perianal.

“Kesakitan yang dialami seperti rasa pedih dan pendarahan yang berlaku menjadi faktor pencetus untuk seseorang individu mula berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan,” kata Dr Meheshinder. Beliau turut menyarankan setiap individu yang berumur 45 tahun dan ke atas agar mendapatkan pemeriksaan proktoskopi untuk melihat rongga dubur, rektum atau kolon sigmoid. Proktoskopi adalah tiub logam yang pendek, lurus dan berongga, dan biasanya mempunyai mentol kecil yang dipasang pada hujungnya untuk membantu melihat saluran dubur. Selain daripada pemeriksaan proktoskopi, doktor juga akan melihat kepada sejarah perubatan seseorang individu, melakukan pemeriksaan fizikal dan melakukan ujian tambahan seperti ujian sampel najis atau kolonoskopi. 

Mencegah lebih baik daripada mengubati

Sementara itu, Datin Mariani menambah bahawa diet yang kurang atau tidak sihat turut menyumbang kepada kewujudan masalah ini terhadap seseorang. Beliau menyarankan kepada setiap individu agar memperbanyakkan pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan serat seperti buah betik dan buah pisang seiring dengan pengambilan air yang banyak untuk mengelakkan masalah sembelit. Sembelit diketahui menjadi antara punca terjadinya masalah buasir. Datin Mariani turut menyatakan bahawa rakyat Malaysia mempunyai tabiat mencari ubat sapuan atau topikal di farmasi komuniti untuk melegakan setiap kesakitan yang dialami berbanding daripada berjumpa dengan doktor untuk membincangkan masalah yang dialami. Hal-hal inilah yang menjadikan sebahagian besar rakyat Malaysia kekal mengalami buasir tanpa mendapatkan rawatan yang bersesuaian dengan keperluan diri individu. 

Seperti kebanyakan keadaan kesihatan yang lain, buasir boleh diuruskan dengan perubahan gaya hidup dan penggunaan prosedur dan ubat tertentu. Daflon 500mg turut berkesan dalam memberikan kelegaan terhadap masalah buasir yang terjadi. Ia bertindak dalam mengurangkan keradangan atau iritasi selain memberikan perlindungan terhadap saluran darah dalam bahagian rektum. Selain itu, partikel yang terkandung bahan aktif Daflon 500mg melalui proses khusus yang dipanggil sebagai “micronization” yang memberikan kelebihan penyerapan ubat yang lebih pantas di dalam usus yang akhirnya memberikan kelegaan simptom penyakit ini dengan cepat.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

“Don’t Sit on It Lah!” Daflon Roundtable Session. 22nd August 2019. 

Versi Terbaru

07/10/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: [email protected]


Artikel Berkaitan

Elakkan 5 Tabiat Buruk Ini Kalau Anda Mahu Hilangkan Buasir, Barulah Cepat Pulih!

Kanak-kanak & Remaja Boleh Alami Berak Berdarah, Ini 6 Punca Utamanya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 07/10/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan