backup og meta

BAHAYA! Tulang Retak Kali Kedua Tingkatkan Risiko Kematian, Wajib Buat 4 Perkara Ini

BAHAYA! Tulang Retak Kali Kedua Tingkatkan Risiko Kematian, Wajib Buat 4 Perkara Ini

Tulang patah dan retak bukanlah masalah yang boleh diambil ringan. Ia hadir dengan komplikasi yang boleh mempengaruhi kualiti hidup seseorang.

Lebih parah lagi jika seseorang itu mempunyai masalah kesihatan kronik yang boleh mempengaruhi ketumpatan dan kekuatan tulang seperti osteoporosis.

Pada tahun 2019, Yayasan Osteoporosis Amerika Syarikat telah melaporkan statistik masalah keretakan tulang yang berkait dengan osteoporosis.

Dianggarkan 2 juta rakyat Amerika yang ditanggung oleh Medicare, sebuah program insurans nasional telah mengalami kira-kira 2.3 juta masalah keretakan tulang pada tahun 2015.

Ini merupakan satu perkara yang mengejutkan berikutan jumlah mereka yang masuk ke dalam hospital akibat keretakan osteoporosis adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar kemasukan ke hospital bagi gabungan pesakit yang menghidap masalah jantung, strok dan kanser payudara.

Jika negara maju seperti Amerika Syarikat turut bergelut dengan situasi sebegini, apatah lagi dengan negara membangun.

Oleh sebab itulah, kita seharusnya memfokuskan kepada langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan masalah ini daripada berlaku.

Artikel ini akan menerangkan secara spesifiknya berkenaan dengan cara untuk mengelakkan tulang patah. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Tulang patah kali kedua lebih berbahaya  

tulang retak

Tidak seperti pepatah yang boleh diterjemahkan sebagai “kilat tidak akan menyambar tempat yang sama dua kali,” risiko individu yang pernah mengalami keretakan untuk mendapatnya semula agak tinggi.

Apa yang lebih parah lagi, jika tulang patah atau retak buat kali kedua, ia boleh menyebabkan masalah yang lebih serius.

Mereka yang mengalaminya boleh mengalami kecacatan yang menyukarkan aktiviti harian atau lebih teruk, hilang keupayaan untuk berdikari secara kekal.

Dianggarkan 1 daripada 5 pesakit yang menjalani pembedahan bagi masalah retak tulang pinggul mati dalam tempoh setahun.

Pun begitu, kebanyakan kes retak atau tulang patah semula berlaku pada kawasan tersebut.

Masalah seperti ini bukan sahaja boleh meningkatkan risiko morbiditi dan mortaliti, malah meningkatkan kadar perbelanjaan rawatan.

Kajian pada tahun 2015 oleh Medicare dalam kalangan 2 juta pemegang insurans, kira-kira 307,000 pesakit mengalami tulang patah kali kedua dalam tempoh 2 hingga 3 tahun.

Perkara tersebut menyebabkan syarikat itu terpaksa menanggung kos tambahan setinggi 6.3 bilion USD (sekitar RM25 bilion).

Selepas alami keretakan tulang kali pertama, penting bagi pesakit untuk dirujuk kepada disiplin perubatan yang berkaitan bagi membuat saringan risiko.

Kunci kepada kawalan risiko adalah pendidikan dan preskripsi ubat atau suplemen bagi memperkuatkan tulang dengan mineral penting.

Apa yang saya boleh buat untuk elakkan masalah keretakan?

tulang patah

Selain daripada ubat yang dipreskripsikan oleh doktor, anda juga boleh mengamalkan diet yang kaya dengan elemen penguat tulang seperti kalsium dan vitamin D.

Antara nutrien penting yang boleh mempengaruhi kekuatan tulang:

Kalsium:

Perlu diambil oleh pesakit untuk memperkuatkan tulang. Produk tenusu seperti keju, yogurt dan susu kaya dengan kalsium. Makanan lain seperti brokoli, kacang almond dan sardin juga mengandungi kalsium dalam kepekatan rendah.

Bagi pesakit yang tidak mendapat bekalan kalsium yang mencukupi (alergi produk tenusu dan sebagainya), preskripsi suplemen boleh membantu mereka.

Vitamin D:

Ini merupakan elemen penting untuk kekuatan tulang berikutan ia membantu badan untuk menyerap masuk kalsium.

Apabila usia meningkat, keupayaan badan kita untuk menyerap kalsium semakin berkurangan. Ini bermakna, bekalan vitamin ini penting terutamanya apabila usia kita meningkat.

Bagi individu di bawah usia 70 tahun, 600 IU sudah memadai. Namun, apabila usia berlanjutan melebihi 70, anda perlu mengambil 800 IU sehari.

Kebanyakan suplemen kalsium dibekalkan dengan vitamin D bagi membantu penyerapan oleh badan.

Natrium:

Berbeza dengan elemen lain, jika diet anda tinggi natrium (tinggi garam) jumlah kalsium yang keluar melalui air kencing juga meningkat.

Ini bermakna, mereka yang mengamalkan pemakanan tinggi garam perlu mengambil lebih banyak kalsium. Kurangkan natrium dalam diet anda.

Protein:

Walaupun pengambilannya dalam jumlah yang tinggi boleh menyebabkan kadar pembuangan kalsium turut tinggi, protein penting dalam proses pembaikan tulang retak.

Lelaki disarankan mengambil 56 gram protein manakala wanita pula 46 gram protein.

Konklusi

Jika anda pernah alami tulang patah atau retak, penting untuk anda ambil langkah pencegahan bagi menghindarkan masalah retak kali kedua.

Amalan hidup sihat menjadi kepentingan utama memandangkan elemen seperti pemakanan dan aktiviti fizikal boleh memperkuatkan tulang.

Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan dengannya, rujuk doktor perubatan bertauliah untuk khidmat nasihat kesihatan.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Highlights Huge and Growing Economic and Human Toll of the Disease. (https://www.bonehealthpolicyinstitute.org/newsroom/2019/milliman-medicare-cost-of-osteoporodic-fractures). Diakses pada 1 Mac 2021.
  2. Secondary Fracture Prevention: Consensus Clinical Recommendations from a Multistakeholder Coalition. (https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31538675/). Diakses pada 1 Mac 2021.
  3. Once Is Enough: A Guide to Preventing Future Fractures. (https://www.bones.nih.gov/health-info/bone/osteoporosis/fracture). Diakses pada 1 Mac 2021.
  4. Preventing Falls and Related Fractures. (https://www.bones.nih.gov/health-info/bone/osteoporosis/fracture/preventing-falls-and-related-fractures). Diakses pada 1 Mac 2021.

Versi Terbaru

27/05/2021

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Anda Syak Patah Tulang Pangkal Lengan? Ini Langkah Awal Yang Perlu Buat!

Tulang Anak Anda Patah: Perlu atau Tidak Melakukan Pembedahan?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 27/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan