backup og meta

Anak Sakit Lengan Selepas Jatuh? AWAS! Si Kecil Berisiko Alami 4 Masalah Tulang Retak Ini

Anak Sakit Lengan Selepas Jatuh? AWAS! Si Kecil Berisiko Alami 4 Masalah Tulang Retak Ini

Tulang retak berlaku apabila daya yang dikenakan terhadap struktur tersebut melebihi kapasiti daripada apa yang boleh ditanggungnya. Berbeza dengan orang dewasa, kanak kanak lazimnya mengalami paten retakan yang berbeza.

Protokol rawatan dan tahap kepentingan untuk merawat masalah tulang retak dalam kalangan kanak-kanak berbeza mengikut jenis keretakan tulang.

Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui jenis keretakan tulang yang lazim dialami oleh kanak-kanak. 

Bagaimana masalah keretakan pada kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa?

Fasa tumbesaran yang dialami dalam peringkat usia kanak-kanak adalah antara yang terpenting khususnya bagi proses tumbesaran tulang.

Potensinya untuk membesar bermakna keupayaan tulang kanak-kanak untuk sembuh daripada masalah keretakan juga jauh lebih menakjubkan berbanding dengan orang dewasa.

Terdapat beberapa perbezaan yang dapat dilihat pada tulang kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa. Antaranya adalah: 

  1. Tulang kanak-kanak lebih fleksibel berbanding dengan orang dewasa. Lazimnya sebelum mengalami keretakan, tulang mereka akan membengkok terlebih dahulu. Oleh sebab itulah kanak-kanak kebiasaannya mengalami jenis retak yang unik.
  2. Kanak-kanak mempunyai plat tumbesaran pada tulang yang sedang membesar. Berbeza dengan orang dewasa, tulang kanak-kanak mempunyai potensi tumbesaran yang optimum berikutan kewujudan plat tersebut. Namun, kawasan tersebut juga mudah untuk mengalami kecederaan apabila berlakunya masalah keretakan tulang. Kadar tumbesaran tulang boleh terkesan akibat masalah ini.
  3. Tulang retak pada kanak-kanak sembuh lebih cepat berbanding dengan orang dewasa. Terdapat lapisan tisu penghubung yang dikenali sebagai periosteum mengelilingi tulang kanak-kanak. Ia menyumbang aliran darah bagi membantu sel tulang untuk sembuh lebih cepat apabila ia mengalami keretakan. Orang dewasa turut mempunyai lapisan tersebut namun ia jauh lebih nipis.

Jenis keretakan yang lazim dialami oleh kanak-kanak

kanak kanak

#1 Retak tulang radial distal

Ini merupakan jenis keretakan terlazim yang boleh dialami oleh kanak-kanak. Ia kebiasaannya didiagnosis berikutan lengan mengalami ekstensi semasa jatuh. 

Terdapat beberapa jenis variasi bagi masalah keretakan ini. Antaranya adalah:

  1. Retak Greenstick: Masalah ini berlaku apabila tulang membengkok dan retak. Jika anda ambil ranting kayu pokok dan cuba mematahkannya (sukar memandangkan ia fleksibel), ia kelihatan seperti itu.
  2. Masalah tulang radial distal retak lazimnya berlaku pada bahagian metafisis tulang. Apabila bahagian yang terlibat adalah bahagian fisis, paten retaknya menyerupai klasifikasi Salter-Harris jenis 2 (tidak merentasi plat tumbesaran).
  3. Retak Torus: Keadaan kesihatan ini didiagnosis apabila masalah keretakan pada tulang tidak berlaku sepenuhnya (atau separa).

#2 Retak tulang supracondylar

Masalah keretakan ini lazim berlaku (lebih daripada 50% insiden) pada kawasan siku kanak-kanak.

Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan pelbagai jenis komplikasi berkait dengan kecederaan salur darah atau kecederaan saraf atau kedua-duanya.

Selain itu, keretakan pada tulang supracondylar juga dianggap ‘melecehkan’ berikutan sambungannya boleh jadi tidak betul (malunite) selepas mengalami kecederaan.

Kecederaan salur darah turut boleh berlaku semasa proses merawat keretakan. Oleh itu jika rawatan dibuat melalui kaedah tertutup, ia perlu dilakukan secara berhati-hati.

Jika tiada tanda-tanda kecederaan saraf atau salur darah yang jelas, pemasangan wayar besi K untuk meminimumkan kadar pergerakan boleh dilakukan dengan berhati-hati.

#3 Retak batang tulang lengan hadapan bahagian tengah

retak tulang

Masalah tulang retak ini melibatkan struktur diafisis bagi tulang radius dan ulna.

Mereka yang mendarat dengan ekstensi lengan dan siku semasa jatuh berisiko tinggi untuk mengalami masalah keretakan ini.

Jika dilihat pada jenis keretakan yang dialami, kebanyakan daripadanya adalah retak Greenstick seperti yang telah disebut pada jenis retak pertama.

Oleh sebab tulang kanak-kanak membengkok dan mengakibatkan keretakan berlaku separa, rawatan melibatkan proses meretakkan tulang yang sedia retak secara sempurna dan memasang kas siku bagi menggalakkan proses pemulihan yang optimum.

Lazimnya, bagi kes kanak-kanak, pakar bedah akan menggunakan paku tulang fleksibel yang dipasang melalui kulit.

Paku tersebut akan ditanggalkan semula apabila tahap kesembuhan optimum telah tercapai.

#4 Retak Galeazzi

Walaupun jenis keretakan ini boleh berlaku dalam kalangan orang dewasa, namun ia lebih lazim didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak.

Retak Galeazzi boleh berlaku pada penghujung 1 per 3 tulang radius berserta dengan gangguan pada sendi radio-ulna distal (DRUJ).

Bagi kanak-kanak, rawatan kebiasaannya melibatkan penggunaan kas lengan panjang selama 6 minggu selepas tulang tersebut diperbetulkan menggunakan kaedah pembiusan umum.

Bagi orang dewasa pula, rawatan lazimnya melibatkan pembedahan pembukaan.

Konklusi

Masalah tulang retak dalam kalangan kanak-kanak boleh mengakibatkan implikasi teruk berikutan risiko gangguan proses tumbesaran pada plat tumbesaran tulang.

Jika tidak dirawat dengan betul dan segera, ia boleh menyebabkan komplikasi yang mengganggu tumbesaran mereka.

Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan atau anak anda mengalami sakit selepas jatuh, rujuk kepada doktor perubatan bertauliah untuk khidmat nasihat kesihatan.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Fractures. (https://www.childrenshospital.org/conditions-and-treatments/conditions/f/fractures). Diakses pada 6 Mac 2021.
  2. Greenstick fractures. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/greenstick-fractures/symptoms-causes/syc-20351962). Diakses pada 6 Mac 2021.
  3. Galeazzi fracture – dislocation. (https://www.rch.org.au/clinicalguide/guideline_index/fractures/Galeazzi_fracturedislocations_Emergency_Department_setting/). Diakses pada 6 Mac 2021.
  4. Common fractures in children. (http://www.pmmonline.org/page.aspx?id=848#). Diakses pada 6 Mac 2021.

Versi Terbaru

18/01/2023

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: [email protected]


Artikel Berkaitan

Patah Tulang Belikat? Ini Keadaan Yang Perlu Anda Fahami

Anda Syak Patah Tulang Pangkal Lengan? Ini Langkah Awal Yang Perlu Buat!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 18/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan