Kecederaan lutut akibat sukan adalah cabaran yang sering dihadapi oleh atlet, sama ada profesional mahupun amatur. Salah satu rawatan yang ada ialah pembedahan ortopedik, satu bentuk pembedahan penting untuk memastikan para atlet sembuh dengan baik.
Para atlet berdepan dengan risiko kecederaan kecil seperti terseliuh hinggalah kecederaan serius yang memerlukan pembedahan. Malah, risiko mereka mengalami kecederaan turut meningkat sekiranya bergiat aktif dalam sukan.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Tulang/Otot, anda boleh klik di sini.
Pembedahan ortopedik memainkan peranan penting dalam membantu atlet pulih sepenuhnya terutama apabila melibatkan kecederaan lutut.
Menurut Pakar Bedah Ortopedik Sukan di Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC), Dr. Mazzre Mahmod, diagnosis dan rawatan yang tepat adalah kunci untuk mempercepatkan proses pemulihan para atlet serta mengelakkan komplikasi jangka panjang.
Kecederaan lutut dan ligamen

Kecederaan lutut adalah salah satu kecederaan yang kerap dialami oleh atlet yang berkecimpung dalam sukan berimpak tinggi seperti bola sepak, bola keranjang dan badminton.
Dr. Mazzre menjelaskan, ligamen Cruciate Anterior (ACL) dan Medial Collateral (MCL) berisiko mengalami kecederaan akibat perubahan arah secara tiba-tiba atau perlanggaran fizikal.
“Kecederaan ACL boleh menyebabkan ketidakstabilan pada lutut. Rehabilitasi sukan yang melibatkan pembedahan perlu dilakukan untuk memulihkan fungsi dan struktur lutut dengan sepenuhnya.
“Oleh itu, prosedur seperti arthroskopi digunakan untuk membaiki kerosakan dengan trauma minimum pada tisu sekeliling dan membolehkan pemulihan berlaku dengan lebih cepat dan efektif,” katanya.
Selain itu, koyakan meniskus, iaitu tulang rawan juga kerap berlaku dalam sukan yang melibatkan pergerakan berulang seperti berlari.
Menurut Dr. Mazzre, pembedahan arthroskopi membantu memperbaiki atau membuang tisu yang rosak, sekali gus mengurangkan kesakitan dan memulihkan mobiliti lutut.
Faktor usia dan sejarah kecederaan

Menurut Dr. Mazzre, usia dan sejarah kecederaan memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan pemulihan melibatkan kecederaan lutut.
“Seiring peningkatan usia, tisu badan menjadi kurang elastik dan proses penyembuhan menjadi lebih perlahan.
Atlet yang lebih berusia biasanya memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih walaupun selepas melakukan pembedahan ortopedik.
“Kecederaan berulang, terutamanya pada kawasan yang sama, boleh menyebabkan ketidakstabilan sendi dan kelemahan struktur tisu sekeliling. Dalam kes sebegini, pembedahan mungkin lebih kompleks,” tambahnya.
Dr. Mazzre berkata, penggunaan pengimejan resonans magnetik (MRI) memainkan peranan penting dalam mendiagnosis kecederaan lutut dan ligamen.
“Teknologi ini membolehkan pakar melihat kerosakan tisu lembut secara terperinci dan memudahkan perancangan rawatan.
“Namun, MRI perlu digabungkan dengan pemeriksaan fizikal bagi memastikan rawatan yang dirancang benar-benar berkesan,” jelasnya.
Pendekatan pembedahan ortopedik moden
Pembedahan moden kini banyak menggunakan teknik kurang invasif seperti arthroskopi. Teknik tersebut bukan sahaja selamat, ia juga mengurangkan masa pemulihan yang terpaksa dijalani atlet akibat kecederaan sukan.
“Arthroskopi membolehkan kami merawat kecederaan seperti koyakan ACL dan meniskus dengan trauma minimum kepada tisu sekeliling.
“Malah, pesakit boleh memulakan fisioterapi lebih awal dan kembali ke aktiviti dengan lebih cepat,” jelas Dr. Mazzre.
Rehabilitasi dan pemulihan daripada kecederaan lutut

Rehabilitasi sukan selepas pembedahan adalah komponen utama dalam pemulihan kecederaan lutut.
“Pembedahan hanyalah separuh daripada perjalanan pemulihan. Pelan rehabilitasi yang teratur adalah penting untuk mendapatkan semula kekuatan, fleksibiliti dan mobiliti.
“Fisioterapi juga penting. Ia mempengaruhi seberapa cepat atlet boleh kembali melakukan sukan yang diceburi,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mazzre berkata, pemakanan yang seimbang juga membantu menyokong proses pemulihan. Selain itu, atlet juga tidak dibenarkan kembali kepada sukan yang dilakukan secara tiba-tiba.
“Atlet perlu kembali secara perlahan-lahan agar mereka tidak memaksa diri, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan semula.
“Matlamat utama adalah mengembalikan atlet ke tahap prestasi terbaik mereka dengan selamat,” katanya.
- Pembedahan lutut adalah langkah utama dalam memastikan atlet pulih sepenuhnya dan dapat kembali ke tahap prestasi terbaik mereka.
- Rawatan yang dimulakan segera selepas diagnosis dapat mempercepatkan pemulihan dan mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang.
- Prosedur seperti arthroskopi membantu mempercepatkan pemulihan dengan mengurangkan trauma kepada tisu sekeliling dan masa penyembuhan.
- Fisioterapi dan pelan pemulihan berstruktur adalah kunci untuk mengembalikan kekuatan, fleksibiliti dan mobiliti lutut dengan selamat.
- Walaupun rawatan penting, fokus pada pencegahan kecederaan adalah langkah terbaik untuk memastikan kesihatan dan kelestarian jangka panjang atlet.
[embed-health-tool-bmi]