Dalam perspektif hubungan seks yang selamat, tindakan menanggalkan kondom tanpa pengetahuan pasangan mempunyai implikasi besar terhadap risiko kehamilan atau jangkitan penyakit kelamin (STD).
Kenapa aksi seks stealthing dilakukan?
Mesti anda tertanya-tanya mengapa perlakuan seks sebegitu dilakukan, kan? Pada dasarnya, tiada sebarang alasan yang baik untuk melakukannya.
Hubungan seks adalah 1 aksi intim bagi kebanyakan individu sama ada secara fizikal atau emosi. Manakala stealthing adalah perbuatan yang mengkhianati kepercayaan si isteri.
Ia boleh menyebabkan pasangan anda berasa marah, ditipu, malu, takut bahkan mungkin mengalami trauma.
Pun begitu, berikut adalah beberapa alasan yang diberikan oleh individu yang cuba untuk melakukan aksi seks yang tidak bermoral ini:
- Tidak gemar memakai kondom
- Berasa berhak untuk melakukan ejakulasi dalam faraj pasangan, tanpa menghiraukan persetujuan asal
- Mempunyai sikap mementingkan kepuasan diri sendiri
- Tidak menghiraukan perasaan atau keselamatan pasangan
- Berasakan mereka mempunyai kuasa lebih tinggi daripada pasangan
- Menganggap ia tindakan lucu atau sengaja mahu memalukan pasangan
- Menganggap tindakan tersebut baik untuk memuaskan pasangan atau lebih seksi
Hakikatnya, sebab yang diberikan adalah tidak boleh diterima dan dianggap sebagai 1 alasan untuk melakukan serangan seksual.
Tindakan yang perlu dilakukan
Apa yang perlu anda lakukan jika pasangan anda melakukan stealthing kepada anda?
Sekiranya anda syak kondom telah ditanggalkan semasa hubungan seksual, berikut beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk melindungi tahap kesihatan anda:
- Bukan salah anda
Perkara paling utama adalah untuk mengetahui bahawa ia bukan kesalahan anda.
Ini kerana anda telah bersetuju untuk melakukan aksi seks dengan kondom dan pasangan anda mencabutnya tanpa bertanyakan kepada anda.
Ia bermakna mereka telah melanggar perjanjian yang telah dibuat sebelum melakukan seks bersama.
- Melakukan pemeriksaan kesihatan
Jika stealthing berlaku, anda disarankan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan seksual anda.
Jalani ujian untuk memastikan keadaan sebenar tahap kesihatan anda. Ini membolehkan anda mengetahui langkah seterusnya dalam penjagaan kesihatan.
Jika anda bimbang dengan kemungkinan hamil, pengambilan kontraseptif kecemasan boleh membantu sehingga 5 hari selepas hubungan seks berlangsung.
- Berbincang dengan pasangan
Jika anda masih berasa selamat dengan pasangan, berbincanglah dengan si dia.
Biarkan si dia mengetahui bahawa aksi seks yang dilakukan tersebut adalah tidak wajar dan telah melanggar perjanjian bersama untuk memakai kondom.
Jelaskan kepadanya bagaimana perlakuan seks itu boleh meningkatkan risiko kehamilan atau jangkitan STD.

- Bantuan pakar
Seperti dinyatakan, stealthing yang dilakukan secara curi-curi ini boleh menyebabkan anda mengalami kesan emosi atau psikologi.
Jika anda tidak berani untuk meluahkan kepada pasangan, berkongsilah masalah anda dengan individu yang dipercayai atau profesional.
- Alat pencegahan kehamilan
Terdapat banyak kaedah kawalan kelahiran yang tidak boleh dirosakkan oleh pasangan anda. Antaranya seperti suntikan, implan atau IUD.
Jika anda sudah menggunakan sebarang bentuk alat kontraseptif, jangan lupa untuk tetap menyediakan pil kontraseptif kecemasan!
Saling menghormati
Dalam ikatan suami isteri, perhubungan yang sihat perlulah berlandaskan kepercayaan, rasa hormat dan persetujuan bersama.
Pasangan anda berhak untuk berasa selamat dan disokong dalam hubungan yang terjalin. Pastinya tiada siapa mahu melakukan serangan seksual kepada pasangan, kan?
Sebaiknya, antara suami isteri haruslah menghormati kehendak pasangan apabila memilih untuk menggunakan kondom sebagai alat kawalan kelahiran semasa hubungan seks.