Pada umumnya, hipertensi adalah satu penyakit senyap. Malahan kebanyakan individu yang mengalami keadaan ini tidak berdepan sebarang simptom ataupun gejala.
Ia mungkin memerlukan tempoh masa yang lama sehingga masalah kesihatan itu berada pada tahap yang kritikal untuk menampakkan sebarang simptom darah tinggi yang wujud.
Walau bagaimanapun, simptom atau gejala yang berlaku itu mungkin didasari oleh masalah kesihatan lain.
Antara gejala darah tinggi yang kronik adalah seperti:
Sekiranya mengalami simptom darah tinggi seperti yang dinyatakan, ini bermakna anda memerlukan pemeriksaan dan rawatan perubatan pada kadar yang segera.
Namun, harus diingatkan, tidak semua individu yang menghidapi hipertensi akan mengalami simptom. Tetapi jika anda menunggu sebarang simptom darah tinggi muncul untuk melakukan pemeriksaan, ia mungkin sudah terlambat dan berisiko untuk menyebabkan kematian.
Bacaan tekanan darah
Sememangnya satu-satunya cara terbaik untuk mengetahui sama ada anda berkemungkinan untuk mempunyai masalah tekanan darah yang tinggi adalah dengan melakukan bacaan tekanan darah secara berkala.
Biasanya proses ini dilakukan oleh doktor apabila anda mempunyai temu janji pemeriksaan di klinik atau hospital.
Sekiranya anda mempunyai pemeriksaan fizikal tahunan, anda boleh berbincang dengan doktor mengenai risiko untuk anda mengalami hipertensi atau sebarang bacaan lain yang dapat membantu mengawal tahap tekanan darah anda.
Sebagai contoh, jika anda mempunyai sejarah ahli keluarga dengan masalah penyakit jantung atau mengalami sebarang faktor risiko untuk mengembangkan keadaan berkaitan tekanan darah tinggi, berkemungkinan doktor anda akan mengesyorkan untuk anda melakukan pemeriksaan tekanan darah tinggi dua kali setahun.
Ini sudah tentu akan dapat membantu doktor anda untuk berada dalam keadaan berwaspada terhadap sebarang isu sebelum ia menjadi satu masalah kronik.
Memahami bacaan tekanan darah

Apa yang boleh kita simpulkan setakat ini adalah mendapatkan pemeriksaan bacaan tekanan darah penting sebagai salah satu langkah berwaspada terhadap sebarang peningkatan tekanan darah.
Tetapi adakah anda memahami cara membaca bacaan tekanan darah?
Ketika melakukan pemeriksaan bacaan tekanan, akan muncul dua nombor, iaitu:
- Tekanan sistolik – Ia adalah nombor pertama atau pada bahagian atas. Biasanya ia adalah lebih tinggi daripada bacaan nombor kedua. Fungsinya adalah untuk menunjukkan tahap tekanan dalam arteri apabila jantung anda berdegup dan mengepam darah
- Tekanan diastolik – Ia merupakan nombor kedua atau pada bahagian bawah. Fungsinya adalah untuk menunjukkan bacaan tekanan arteri yang terletak di antara degupan jantung
Terdapat lima kategori untuk menentukan tahap bacaan tekanan darah bagi individu dewasa:
- Sihat – Bacaan tekanan darah yang normal adalah kurang daripada 120/80 milimeter merkuri (mm Hg)
- Meningkat – Nombor sistolik antara 120 dan 129 mm Hg, dan bilangan diastolik kurang daripada 80 mm Hg. biasanya jika keadaan ini berlaku, doktor tidak akan merawatnya dengan memberikan ubat tekanan darah tinggi. Tetapi doktor akan menasihatkan anda untuk melakukan perubahan dalam gaya hidup bagi membantu menurunkan nombor anda.
- Tekanan darah tinggi tahap 1 – Nombor bacaan sistolik antara 130 dan 139 mm Hg, manakala bacaan tekanan diastolik adalah antara 80 dan 89 mm Hg.
- Tekanan darah tinggi tahap 2 – Nombor sistolik ialah 140 mm Hg atau lebih tinggi, dan nombor diastolik adalah 90 mm Hg dan ke atas.
- Krisis tekanan darah tinggi – Bacaan nombor sistolik melebihi 180 mm Hg dan bacaan tekanan diastolik adalah melebihi 120 mm Hg. Jika bacaan tekanan darah adalah dalam julat ini, ia bermakna anda memerlukan perhatian perubatan dengan segera. Jika terdapat simptom darah tinggi seperti sakit dada, sakit kepala, sesak nafas atau berlaku sebarang perubahan visual, rawatan perubatan kecemasan adalah diperlukan.
Sekiranya bacaan yang diperolehi berada di atas paras normal, sebaiknya berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan cara menurunkan tekanan darah tinggi anda.
Jika bacaan tekanan anda adalah pada 140/90 mm Hg atau lebih untuk tempoh yang panjang, ini bermakna anda mempunyai masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi.