
Pernahkah anak anda mengalami masalah hidung berdarah?
Jika ya, ia sudah pasti merupakan salah satu daripada keadaan yang sangat membimbangkan anda sebagai ibu bapa, bukan?
Sebagai ibu bapa, anda semestinya sangat prihatin dengan keadaan si comel anda.
Setiap tumbesaran dan perkembangan mereka sudah pasti akan membuat anda teruja dan gembira.
Namun begitu, apakah perasaan anda sekiranya anak anda mengalami kecederaan?
Sudah tentu anda akan berasa risau dengan keadaan mereka yang kelihatan sakit!
Hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak
Hidung berdarah (epistaksis) adalah masalah biasa yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Ia boleh berlaku secara spontan atau disebabkan oleh trauma.
Walau bagaimanapun, kebanyakan sebab-sebabnya adalah tidak dapat dikenal pasti.
Ia selalunya berkaitan dengan satu bahagian di dalam hidung iaitu “little area” yang sangat mudah untuk mengalami pendarahan.
Bagaimana anda boleh pasti bahawa pendarahan itu adalah berpunca daripada hidung dan bukan berpunca daripada bahagian lain?
Epitaksis dibahagikan kepada dua iaitu pendarahan di bahagian hadapan hidung (nosebleed anterior) dan satu lagi di bahagian belakang hidung (nosebleed posterior).
Hampir 90 peratus kanak-kanak yang mengalami hidung berdarah adalah disebabkan pendarahan bahagian hadapan.
Pendarahan di bahagian hadapan hidung selalunya melibatkan hanya sebelah rongga hidung dan ia adalah mudah untuk dirawat.
Manakala pendarahan di bahagian belakang hidung pula adalah lebih serius dan berbahaya kerana biasanya ia melibatkan saluran darah yang lebih besar seperti arteri.
Pendarahan teruk di bahagian belakang hidung berupaya menyebabkan saluran pernafasan tersumbat dan darah tersebut boleh masuk ke dalam paru-paru.
Untuk mengelakkan ibu daripada terkeliru antara kondisi-kondisi pendarahan hidung ini, anda perlu kenali gejala-gejalanya terlebih dahulu.
Gejala-gejala hidung berdarah
- Pendarahan satu atau kedua-dua lubang hidung
- Kerap menelan darah yang menyebabkan muntah darah
- Sering terasa seperti ada cecair di belakang hidung dan tekak
Jika gejala-gejala ini berlaku kepada anak anda, apakah yang perlu dilakukan segera?
Rawatan segera hidung berdarah
- Minta anak anda duduk dan tunduk ke hadapan
- Minta anak anda bernafas melalui mulut dan picit hidung di bahagian yang keras selama 10 minit
- Terus picit hidung anak anda dan letakkan pek ais di bahagian antara hidung dengan mata
- Selepas 10 minit, berhenti picit hidung anak anda dan periksa sama ada darah telah berhenti
- Minta anak anda elak daripada bersin, menghembus atau mengorek lubang hidung
- Bawa anak anda ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor
Ini seterusnya akan membawa kepada tanda tanya yang paling penting untuk diutarakan di dalam artikel ini iaitu apakah punca sebenar hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak?
Menurut pakar, punca utama kanak-kanak mengalami pendarahan pada hidung adalah kerana tabiat mengorek hidung.
Punca-punca lain kanak-kanak mengalami hidung berdarah
Pun begitu, sudah tentu bukan itu sahaja punca kanak kanak mengalami hidung berdarah.
Terdapat punca-punca lain juga yang akan menyebabkan keadaan ini berlaku, antaranya:
Trauma
Hidung yang terhantuk pada sesuatu objek atau tempat yang keras akan mengalami kecederaan dan menyebabkan pendarahan.
Ini tidak semestinya bermakna batang hidung itu telah patah atau apa-apa yang serius telah berlaku.
Selain terhantuk, ia juga mungkin berlaku disebabkan oleh pergaduhan sesama rakan sebaya mereka yang melibatkan penumbuk atau penyepak tepat di hidung anak anda.
Jangkitan yang teruk pada hidung
Hidung yang tersumbat teruk akibat alahan, sinus, atau demam selesema juga mungkin akan menyebabkan keadaan hidung berdarah.
Selain itu, hidung anak anda juga boleh mengalami pendarahan jika terdapat apa-apa yang merengsakan hidung terutamanya apabila anak menghembus hidung dengan terlalu kuat.
Infeksi bakteria atau impetigo
Lapisan dalam hidung mudah terdedah kepada infeksi daripada bakteria lantas mungkin menyebabkan hidung anak anda berdarah.
Udara kering
Rembesan hidung akan menjadi kering sehingga menyebabkan anak suka korek hidung.
Ini kemudiannya mungkin akan menjadi punca si comel anda mengalami pendarahan hidung.
Darah beku
Ini juga merupakan salah satu punca kanak-kanak mengalami pendarahan hidung dan juga merupakan punca yang paling ditakuti.
Namun begitu, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana keadaan ini jarang berlaku kecuali didiagnosis oleh doktor.
Jika anak anda mula menunjukkan gejala-gejala hidung berdarah, perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah jangan panik.
Ibu bapa seharusnya mempelajari berkenaan cara untuk mengendalikan keadaan jika anak anda mengalami pendarahan pada hidung.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.