Berbicara tentang gaya hidup dan diet sihat, kadar kolesterol normal adalah antara kepentingan dalam kesihatan.
Doktor sering mengingatkan pesakit mereka agar lebih berhati-hati dalam pengambilan makanan berkolesterol.
Keadaan ini terutamanya apabila menjelang sambutan perayaan dan setiap individu terpanggil untuk mencuba pelbagai jenis juadah yang tersedia.
Walau bagaimanapun, nasihat agar setiap individu ‘berjaga-jaga dengan tahap kolesterol’ tidak begitu membantu jika mereka tidak tahu apa yang hendak dipantau.
Jika anda ingin mempelajari sedikit sebanyak tentang kolesterol normal, baca artikel ini sehingga habis.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Jantung, anda boleh klik di sini.
Apa itu kolesterol?
Kolesterol adalah lemak lipid sterol yang dihasilkan oleh organ hati (perkataan ‘kole/chole’ secara umumnya merujuk kepada jus hempedu yang dihasilkan oleh hati).
Ia juga boleh didapati pada sumber makanan terutamanya produk haiwan seperti daging dan telur.
Kolesterol normal adalah elemen penting di dalam badan memandangkan ia boleh mengekalkan struktur sel serta ia merupakan asas kepada pembuatan hormon seperti testosteron dan estrogen.
Kolesterol normal – ada yang baik dan jahat
Anda pasti pernah dengar akan istilah kolesterol baik dan kolesterol jahat.
Kolesterol baik merujuk kepada lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL).
HDL dianggap sebagai kolesterol yang lebih memberikan kebaikan kepada badan.
Ini berikutan keupayaannya mengumpul kolesterol daripada kawasan badan lain dan membawanya ke organ hati untuk dimetabolismekan.
Kolesterol jahat pula mempunyai perwatakan yang bertentangan dengan HDL. Ia dikenali sebagai lipoprotein berketumpatan rendah (LDL).
LDL adalah sejenis kolesterol yang boleh memasuki sel pada tisu badan. Ia berupaya untuk membawa kolesterol daripada hati ke tisu periferal.
Peningkatan paras LDL di dalam badan sering dikaitkan dengan peningkatan pada risiko penyakit kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung dan strok.
Berbeza dengan HDL yang boleh mengutip kolesterol untuk dimetabolismekan, LDL berupaya untuk melekat pada salur darah manusia bagi membentuk plak kolesterol.
Diagnosis
Anda tidak perlu panik atau risau. Apa yang penting adalah anda perlu mengetahui paras kolesterol normal.
Setelah mengetahui status anda, doktor akan membuat pelan bagi memastikan profil lemak anda berada pada paras yang optimum.
Bila saya perlu melakukan pemeriksaan kolesterol?
Meskipun risiko penyakit jantung meningkat seiring dengan peningkatan usia individu, namun Persatuan Jantung Amerika menyarankan profil lemak diuji pada usia 9 hingga 11 tahun dan 17 hingga 21 tahun.
Orang dewasa yang berusia 20 tahun dan ke atas perlu menjalani ujian pemeriksaan umum disertakan sekali dengan ujian profil lipid sekiranya terdapat faktor risiko.
Selepas itu, pemeriksaan perlu diulangi setiap 4 hingga 6 tahun sekali.
Selepas anda berusia 40 tahun, ujian ini akan menjadi lebih penting terutamanya jika anda mempunyai risiko penyakit kardiovaskular yang tinggi atau mula menunjukkan simptom dan tanda kolesterol tinggi.
Apakah parameter yang akan diukur oleh ujian ini?
Kebiasaannya, doktor akan membuat ujian kolesterol, profil lipid atau ujian panel lipid untuk menentukan paras kolesterol dan lemak terkini.
Bergantung kepada permintaan doktor dan peralatan makmal di dalam fasiliti, ujian panel lipid boleh memeriksa paras:
- Jumlah kolesterol
- HDL
- LDL
- Trigliserida (lemak)
- Nisbah trigliserida berbanding kolesterol
Ujian ini akan dijalankan dengan mengambil sampel darah daripada salur vena yang terdapat pada lengan atau tangan, sama seperti pemeriksaan kiraan darah lengkap (CBC/FBC).
Pemeriksaan mungkin akan dilakukan pada sampel darah yang sama.
Anda dikehendaki berpuasa semalaman (8 hingga 12 jam) sebelum sampel darah akan diambil.
Berapa bacaan yang dianggap normal?
Seperti ujian perubatan yang lain, tiada parameter normal yang mutlak bagi setiap ujian.
Apa yang dianggap biasa oleh seseorang boleh jadi bacaan kolesterol yang bahaya untuk orang lain.
Walau bagaimanapun, terdapat lingkungan nilai normal bagi kumpulan usia dan jantina tertentu.
Lingkungan nilai ideal bagi jumlah kolesterol: <200 mmol/l.
Lingkungan nilai normal HDL: 45-70 mmol/l dan 50-90 mmol/l.
Paras jumlah kolesterol melebihi 240 mmol/l dianggap tinggi.
Wanita kebiasaannya mempunyai peratusan lemak badan yang tinggi berbanding lelaki. Maka, nilai lazim kolesterol dan trigliserida berbeza bagi kedua-dua jantina.
Usia juga memainkan peranan dalam menentukan paras kolesterol normal.
Rawatan dan pengurusan
Dalam kebanyakan kes, doktor akan menasihatkan anda untuk mengamalkan tabiat pemakanan sihat jika anda mempunyai paras kolesterol tinggi atau faktor risiko penyakit kardiovaskular.
Makanan yang mempunyai kandungan serat, protein dan asid lemak omega 3 yang tinggi merupakan pilihan terbaik.
Senaman berkala juga digalakkan bersama dengan pemakanan sihat untuk menambak baik profil lipid dan tahap kesihatan menyeluruh.
Tip pengurusan
Jika anda mengalami masalah berat badan berlebihan, penurunan berat badan boleh meningkatkan tahap kesihatan jantung dan menurunkan risiko penyakit.
Sekiranya diet dan senaman tidak cukup, doktor akan mempreskripsikan ubat seperti statin atau fibrate.
Penting buat anda untuk menuruti arahan doktor semasa mengambil ubat ini.
Jika anda mengalami sebarang kesan sampingan seperti kram otot, anda perlu memaklumkan kepada doktor yang merawat.
Selain itu, amalan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, tidur secukupnya dan tidak mengambil alkohol turut boleh menurunkan risiko penyakit kardiovaskular lantas menjadikan kadar kolesterol normal.
[embed-health-tool-bmi]