Pernahkah anda terfikir perihal makanan untuk pesakit jantung? Bukan sahaja penting untuk anda makan secara sihat bagi menjaga kesihatan jantung, malah ia juga berkait dengan penjagaan buah pinggang.
Terdapat kajian yang menunjukkan kegagalan jantung merupakan faktor risiko yang penting untuk penyakit ginjal.
Ini bermakna, amalan pemakanan sihat bagi pesakit jantung bukan sahaja penting untuk menghindarkan episod serangan yang akan datang.
Ia juga sebahagian daripada langkah penjagaan buah pinggang.
Jika anda ingin mengetahui jenis makanan untuk pesakit jantung yang sesuai diambil, teruskan membaca artikel ini.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.
Makanan untuk pesakit jantung, peluang kedua selepas serangan
Makanan mesra jantung bukan sahaja boleh memberikan kebaikan kepada pesakit yang telah mengalami serangan jantung, ia juga boleh diambil oleh mereka yang ingin mencegah serangan daripada berlaku.
Lazimnya, makanan mesra jantung terdiri daripada:
- Buah-buahan dan sayur-sayuran
- Daging rendah lemak
- Daging ayam/itik tanpa kulit
- Kekacang
- Ikan
- Bijirin penuh
- Minyak berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti minyak zaitun
- Produk tenusu rendah lemak
- Telur (maksimum jumlah telur yang disarankan adalah 6 seminggu)
Makanan yang tersenarai mempunyai kandungan lemak tepu dan kalori yang sangat rendah.
Seperti apa yang disarankan oleh Badan Kesihatan Berautoriti seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui konsep pinggan sihat, separuh daripada pinggan perlu berisi dengan sayur-sayuran.
Makanan berserat seperti sayur dan buah bukan sahaja baik untuk sistem gastrousus, ia juga baik untuk kesihatan jantung.
Ikan adalah makanan untuk pesakit jantung yang boleh membantu menurunkan kolesterol dan meningkatkan tahap kesihatan vaskular.
Walau bagaimanapun, bukan semua jenis ikan sesuai diambil oleh pesakit jantung.
Ikan yang mengandungi nutrien seperti asid lemak omega 3 adalah pilihan yang terbaik memandangkan ia boleh membantu anda untuk mencapai matlamat penurunan paras kolesterol.
Anda juga perlu mengurangkan pengambilan minuman bergula dan banyakkan minum air kosong untuk menjaga kesihatan jantung.
Jika anda berasa bosan, cuba hiris lemon, timun atau buah beri bagi mendapatkan perasa semula jadi.
[embed-health-tool-heart-rate]
Jenis diet yang boleh diamalkan
Bukan semua jenis diet sesuai diamalkan oleh pesakit jantung. Terdapat beberapa amalan makanan untuk pesakit jantung yang boleh memberikan kebaikan terhadap tahap kesihatan kardiovaskular mereka.
Pun begitu, pastikan ia telah disahkan selamat oleh doktor perubatan atau pakar pemakanan.
- Diet Mediterranean: Ini merupakan salah satu jenis diet yang popular berikutan kesannya terhadap tahap kesihatan kardiovaskular (risiko rendah untuk mendapat penyakit jantung dan strok). Berbeza dengan kebanyakan diet yang membenarkan pengambilan daging, amalan pemakanan ini memberi tumpuan kepada makanan berlemak sihat, kekacang, ikan dan makanan berserat seperti buah dan sayur. Produk tenusu dan daging boleh diambil sekali-sekala.
- Diet DASH adalah amalan pemakanan terbaik bagi pesakit yang mengalami masalah tekanan darah tinggi. Seperti diet Mediterranean, diet ini turut memberi tumpuan kepada makanan yang berasaskan tumbuhan bersama dengan daging tanpa lemak. Apa yang membezakannya dengan diet yang lain adalah pengurangan pada jumlah garam dengan matlamat 1,500 hingga 2,300 mg sehari. Berbeza dengan diet Mediterranean, mereka yang mengamalkan diet DASH boleh mengambil produk tenusu setiap hari.
- Pesakit jantung boleh mengamalkan diet yang hanya mengambil produk tumbuh-tumbuhan. Ada yang menggelarnya sebagai ‘vegetarian’ namun terdapat pesakit yang turut mengambil makanan berdaging namun pada jumlah yang sangat sedikit. Selain daripada menghindarkan penyakit jantung, makanan berasaskan tumbuhan juga telah terbukti merendahkan risiko untuk mendapat masalah kanser, strok dan kencing manis jenis 2.
- Makan secara bersih (clean eating). Ia adalah istilah diet yang digunakan bagi menerangkan amalan pemakanan yang tidak menyentuh atau meminimumkan pengambilan makanan berproses.
Bagaimana pula jenis makanan yang perlu pesakit jantung hindari?
Lazimnya, makanan yang tidak boleh diambil oleh pesakit jantung adalah makanan yang mengandungi gula, garam dan lemak tidak sihat yang tinggi.
Berikut merupakan jenis makanan untuk pesakit jantung yang perlu dihadkan/dijauhi oleh mereka:
- Makanan segera
- Makanan bergoreng
- Makanan di dalam tin (kecuali sayuran dan kekacang)
- Gula-gula
- Keropok
- Makanan beku berproses
- Biskut
- Kek
- Aiskrim
- Kicap, mayones dan sos cili
- Daging merah (hadkan)
- Alkohol
- Minyak sayuran yang telah dihidrogenkan
Bagi menjamin tahap kesihatan jantung, pastikan anda mengambil lemak tepu pada kadar tidak melebihi 6% daripada pengambilan kalori harian.
Perkara ini penting terutamanya jika anda mempunyai masalah kolesterol tinggi.
Jika anda ingin mengambil makanan tertentu dan anda tidak pasti, pastikan anda merujuk kepada doktor anda.
Konklusi
Penjagaan jantung adalah satu bentuk penjagaan buah pinggang secara tidak langsung. Ia berikutan masalah kegagalan jantung merupakan faktor risiko untuk penyakit ginjal.
Prinsip utama dalam rawatan dan penjagaan jantung berkait rapat dengan diet.
Makanan untuk pesakit jantung kebiasaannya mengandungi jumlah lemak, gula dan garam yang rendah.
Pastikan anda menuruti saranan pakar pemakanan dan doktor anda berkaitan dengan pantang larang pemakanan.
Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan, ajukannya kepada doktor perubatan bertauliah untuk khidmat nasihat kesihatan.
#UseHeartForEveryHeart #WorldHeartDay #HelloDoktor