brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Penderita Sakit Jantung, Ini 5 Jenis Senaman Paling Sesuai Untuk Anda Amalkan!

Tahukah anda, terdapat beberapa jenis senaman kuatkan jantung yang sesuai untuk diamalkan oleh pesakit jantung koronari. Senaman untuk jantung ini tidaklah membahayakan mereka, malah ia memberikan manfaat kepada fizikal dan jantung pesakit ini.

Apakah jenis-jenis senaman kuatkan jantung ini?

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kesihatan jantung, anda boleh klik di sini.

Pesakit jantung koronari juga perlukan senaman

Penyakit jantung koronari merupakan sejenis penyakit kardiovaskular yang disebabkan oleh penyumbatan plak pada pembuluh darah arteri yang menuju ke jantung.

Selain daripada siri rawatan, pesakit yang menghidap penyakit jantung koronari ini juga perlu menjalani gaya hidup yang aktif, termasuklah melalui rutin senaman.

Senaman secara rutin boleh membantu mengurangkan risiko kematian sekitar 20%, dan kematian akibat penyakit jantung sebanyak 26%.

Oleh kerana itu, individu yang menghidap penyakit jantung koronari amat disarankan untuk melakukan senaman aerobik bagi meningkatkan denyutan jantung dan juga pernafasan.

Peningkatan kadar denyutan jantung dan pernafasan ini bertujuan untuk memasukkan lebih banyak tenaga dan juga oksigen ke dalam sel-sel otot sewaktu anda sedang bersenam.

Namun, tidak ramai yang tahu apakah bentuk atau jenis senaman yang sesuai untuk diamalkan oleh pesakit jantung koronari ini.

Mari kita lihat penerangan di bawah ini.

5 jenis senaman kuatkan jantung yang boleh diamalkan pesakit jantung koronari

Berikut merupakan lima jenis senaman untuk jantung yang sangat bermanfaat untuk pesakit jantung koronari:

#1. Senaman untuk jantung: Berbasikal

Aktiviti berbasikal merupakan antara aktiviti fizikal kardio atau aerobik yang baik untuk meningkatkan tahap kesihatan jantung.

Aktiviti berbasikal boleh membantu meningkatkan kekuatan otot jantung, melancarkan aliran darah, selain menurunkan paras kolesterol dalam tubuh anda.

senaman kuatkan jantung

Bukan itu sahaja, berbasikal juga merupakan jenis aktiviti low-impact atau aktiviti berisiko kecil yang sangat sesuai untuk semua golongan termasuklah pesakit jantung koronari. 

#2. Senaman untuk jantung: Berjalan kaki

Berjalan kaki boleh menjadi salah satu aktiviti fizikal tahap sederhana yang membantu mengawal keadaan penyakit yang sedang anda alami.

Bagi pesakit jantung koronari, aktiviti berjalan kaki boleh membantu mengurangkan paras kolesterol dalam tubuh badan.

Perlu diingat, bahawa kolesterol yang terlalu tinggi boleh menyebabkan pembentukan plak pada pembuluh darah arteri yang seterusnya memicu penyakit jantung koronari.

Sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2019 ada menyebut, bahawa sekitar 50.2% individu dengan penyakit ini akan kembali mengalaminya dengan lebih teruk apabila kurang berjalan kaki. 

#3. Senaman kuatkan jantung: Yoga

senaman kuatkan jantung

Yoga merupakan salah satu bentuk senaman kelenturan yang bermanfaat untuk kesihatan jantung anda.

Jenis senaman ini melatih tubuh untuk tetap lentur sekali gus mengurangkan risiko kecederaan.

Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2021 juga ada menyebut berkenaan faedah senaman yoga terhadap pesakit jantung koronari dalam meningkatkan kualiti hidup mereka. 

#4. Berenang

Salah satu senaman kuatkan jantung yang sangat elok untuk diamalkan ialah melalui aktiviti berenang.

Menurut Pengarah Rehabilitasi Jantung Cleveland Clinic, Erik Van Iterson, berenang boleh menjadi aktiviti senaman yang sangat bermanfaat kepada pesakit jantung koronari.

Dalam waktu yang singkat, berenang boleh membantu meningkatkan aliran darah, menurunkan tekanan darah dan membuatkan degupan jantung rehat menjadi lebih rendah dengan lebih teratur.

Aktiviti senaman kuatkan jantung ini juga boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuklah pesakit jantung koronari yang mempunyai masalah sendi.

Golongan ini mungkin tidak perlu berenang di dalam air. Namun, mereka boleh cuba berjalan atau melakukan senaman aerobik ringan di dalam air. 

#5. Latihan ketahanan

senaman kuatkan jantung

Selain daripada empat jenis senaman kuatkan jantung di atas, pesakit jantung koronari juga boleh cuba melakukan latihan ketahanan (resistance training).

Senaman untuk jantung ini boleh membantu mengurangkan lemak dan membentuk jisim otot.

Selain itu, gabungan antara latihan ketahanan dan senaman aerobik juga boleh membantu mengawal paras kolesterol dalam tubuh.

Anda boleh mencuba latihan ketahanan ini dengan melakukan latihan resistance band atau mengangkat barbell dan dumbbell. 

Perhatikan gejala penyakit, hentikan senaman kuatkan jantung jika berlarutan

Ketika anda melakukan sebarang aktiviti senaman seperti yang dinyatakan sebelum ini, anda juga perlu sentiasa memerhatikan sebarang gejala penyakit jantung koronari yang mungkin berlaku.

Antaranya ialah seperti pening kepala, sakit dada, sakit kepala, mual, muntah-muntah, sesak nafas dan degupan jantung yang tidak teratur.

Jika simptom-simptom seperti ini berlaku, anda perlu menghentikan sebarang aktiviti senaman dengan kadar segera.

Sekiranya simptom menjadi lebih teruk atau tidak hilang, hubungilah doktor atau terus pergi ke hospital berdekatan. 

Kesimpulan 

Secara umumnya, pesakit jantung koronari amat disarankan untuk melakukan senaman secara rutin walaupun dalam jumlah yang sedikit atau berintensiti rendah.

Ini ternyata lebih baik berbanding jika anda tidak bersenam langsung.

Sekiranya anda kurang pasti berkenaan jenis senaman yang sesuai dengan keadaan anda, dapatkan nasihat daripada doktor yang merawat anda sebelum memulakan aktiviti senaman. 

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada tadi