Seperti yang anda sedia maklum, anatomi jantung berkait rapat dengan fungsinya untuk mengepam darah ke seluruh badan. Ini bermakna, struktur jantung manusia telah direka untuk membekalkan darah pada kadar yang optimum.
Jantung adalah organ berotot yang terletak di dalam dada berdekatan dengan tulang dada di ruangan bahagian sebelah kiri.
Jika diukur saiz jantung secara kasar, ia hampir sama dengan saiz penumbuk manusia.
Secara umumnya, terdapat 4 fungsi jantung:
- Mengepam darah beroksigen ke seluruh badan.
- Mengepam hormon dan bahan penting lain ke seluruh badan.
- Menerima darah yang telah dinyahoksigenkan dan membawa sisa buangan metabolik dari badan ke jantung.
- Mengawal nilai tekanan darah.
Sekiranya anda ingin mengetahui perihal fungsi bagi setiap bahagian pada anatomi jantung, baca artikel ini sehingga habis.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.
Anatomi jantung terbahagi kepada 4 ruang. Apakah ia?
Umumnya, struktur atau anatomi jantung manusia terbahagi kepada 4 ruang, 2 ruang atas dan 2 ruang bawah.
2 ruang atas dikenali sebagai atria dan 2 ruang bawah dikenali sebagai ventrikel.
Ia juga boleh dibahagikan kepada atrium kanan, atrium kiri, ventrikel kanan dan ventrikel kiri.
Atrium kiri dan ventrikel kiri digelar sebagai jantung sebelah kiri dan atrium kanan dan ventrikel kanan digelar jantung kanan.
Setiap ruang anatomi jantung dipisahkan oleh struktur dinding (septum).
Pemisahan ini bagi memastikan fungsi jantung untuk mengepam darah tidak terjejas akibat percampuran darah yang telah dioksigenkan dengan darah yang telah dinyahoksigenkan.
- Atrium kanan akan menerima darah dari sel badan yang telah dinyahoksigenkan. Ia akan dipam masuk ke dalam ventrikel kanan.
- Ventrikel kanan akan menerima darah dari atrium kanan. Ia akan dipam ke paru-paru untuk dioksigenkan.
- Atrium kiri menerima darah yang telah dioksigenkan oleh paru-paru. Ia kemudiannya akan dipam masuk ke dalam ventrikel kiri.
- Ventrikel kiri adalah bahagian struktur jantung manusia yang paling kuat dalam kalangan semua ruang jantung. Ia akan mengepam darah yang diterima dari atrium kiri yang telah dioksigenkan. Darah itu kemudiannya akan dipam ke seluruh sel badan.
Aliran darah masuk ke dalam jantung serta pergerakannya menerusi setiap ruang jantung akan dikawal selia oleh 4 injap jantung.
Organ tersebut sendiri menerima oksigen dan nutrien melalui salur darah koronari yang dipam oleh jantung.
Ia juga dilengkapi dengan tisu saraf yang berperanan penting dalam mengawal ritma jantung.
Oleh sebab struktur jantung manusia penting bagi setiap individu, ia dilindungi oleh kantung yang dipenuhi oleh cecair. Kantung tersebut dikenali sebagai perikardium.
Selain melindungi organ jantung, cecair di dalam perikardium juga boleh menghindarkan geseran di antara jantung dan organ berdekatan.
[embed-health-tool-heart-rate]
Masalah kesihatan yang berkait dengan jantung
Penyakit yang mempengaruhi fungsi anatomi jantung boleh menyebabkan kualiti hidup individu menurun.
Antara masalah kesihatan yang berkait dengan struktur jantung manusia adalah seperti berikut:
- Penyakit arteri koronari: Keadaan kesihatan yang menyebabkan salur darah arteri koronari (salur darah jantung) menjadi sempit.
- Angina pectoris stabil: Sakit dada yang berpunca daripada bekalan darah tidak mencukupi ke organ jantung. Apabila salur darah arteri koronari sempit, ia tidak boleh membekalkan darah beroksigen yang mencukupi ke organ jantung ketika beraktiviti. Lazimnya, simptom sakit akan hilang apabila penghidap berehat.
- Angina pectoris tidak stabil: Sakit dada yang menjadi semakin teruk atau tidak hilang walaupun seseorang itu berehat daripada aktiviti.
- Sakit jantung (infarksi miokardial): Sakit dada yang berpunca daripada otot jantung mati akibat kekurangan oksigen. Ia berikutan arteri koronari yang tersumbat.
- Aritmia (disritmia): Masalah ritma jantung tidak normal yang boleh mengganggu keupayaan jantung untuk mengepam darah.
- Kegagalan jantung kongestif: Jantung tidak berupaya untuk mengepam darah ke seluruh badan secara efisien.
- Kardiomiopati: Penyakit otot jantung yang menyebabkan dinding jantung menjadi tebal. Situasi ini boleh mengganggu keupayaan jantung untuk mengepam darah.
- Miokarditis: Radang pada otot jantung.
- Perikarditis: Radang pada kantung jantung (perikardium).
- Efusi perikardial: Keadaan kesihatan yang menyebabkan kumpulan cecair terbentuk di antara perikardium dan jantung.
- Penyakit injap jantung: Penyakit yang mempengaruhi integriti injap yang mengawal aliran darah menerusi organ jantung.
- Jantung terhenti: Keadaan di mana fungsi jantung terhenti secara tiba-tiba.
Konklusi
Jantung adalah organ penting bagi setiap individu. Ia menjadi pusat koleksi dan pengagihan nutrien serta oksigen melalui darah yang dipam ke seluruh badan.
Ia mempunyai struktur anatomi yang membolehkan proses pengepaman darah berlaku pada tahap yang optimum.
Sekiranya anda mempunyai simptom sakit dada atau gejala berkait dengan penyakit jantung, rujuk doktor perubatan sekarang untuk khidmat nasihat kesihatan.
#UseHeartForEveryHeart #WorldHeartDay #HelloDoktor