Ramai yang tidak tahu, tanaman hiasan juga sebenarnya boleh memperbaiki kualiti udara di persekitaran kita. Ini termasuklah pokok hiasan luar rumah. Kami berikan beberapa cadangan pokok hiasan luar rumah tahan panas yang bukan sahaja cantik, tetapi juga bermanfaat untuk kesihatan pernafasan anda.
Semak senarainya di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Pernafasan, anda boleh klik di sini.
Pokok hiasan luar rumah boleh perbaiki kualiti udara?
Biasanya, tumbuhan atau pokok ditanam disebabkan kecantikan dan keindahan semula jadinya yang sesuai dijadikan sebagai hiasan.
Namun, ia sebenarnya lebih daripada sekadar menjadi bahan pengindah kediaman.
Terbaharu, saintis telah menemui bahawa sesetengah tumbuhan hiasan dalam rumah boleh membantu membersihkan udara dalaman daripada beberapa bahan pencemar dan toksin.
Ini disebabkan oleh proses fotosintesis tumbuhan di mana tumbuh-tumbuhan menyerap gas karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen.
Malah ada sesetengah tumbuhan yang berkemampuan menyerap beberapa gas berbahaya lain.
Namun, ia tidak terhad kepada jenis tanaman dalam rumah sahaja.
Ada beberapa jenis tanaman hiasan di luar rumah juga boleh memberikan kesan yang sama iaitu memberikan kualiti udara yang lebih baik kepada manusia.
Apakah jenis pokok hiasan tersebut?
Ini 7 jenis pokok hiasan luar rumah tahan panas yang bagus untuk anda
Anda boleh mula menanam tujuh jenis pokok hiasan ini di sekeliling rumah anda untuk mendapatkan kualiti udara yang lebih baik.
Pokok hiasan 1: Aloe vera atau lidah buaya
Pokok aloe vera atau lidah buaya ini sangat sinonim dengan khasiatnya terhadap kesihatan kulit dan juga rambut.
Ini kerana, ia kaya dengan kandungan vitamin, enzim dan juga asid amino.
Senang dijaga dan didapati, pokok ini juga boleh dibiakkan dengan kaedah yang sangat mudah.
Pokok hiasan luar rumah 2: Lidah jin
Pokok ini juga mungkin dikenali ramai sebagai pokok lidah mak mertua.
Ia membantu menyingkirkan toksin seperti benzena, formaldehid, trichloroethylene, dan xylene daripada udara di sekitar rumah anda.
Anda tidak perlu risau untuk menanam pokok ini kerana ia sangat mudah untuk dijaga selain boleh membiak dengan subur di kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari dan juga kering.
Pokok hiasan 3: Spider Plant
Kami pasti ramai daripada anda yang pernah menanam pokok ini di halaman rumah.
Pokok hiasan ini boleh meningkatkan kualiti udara dalam dan luar rumah kerana ia menghasilkan lebih banyak klorofil berbanding dengan tumbuhan lain.
Pokok ini juga cukup cekap dalam menghapuskan formaldehid, xilena, toluena, dan karbon monoksida.
Menurut bekas saintis penyelidikan NASA, Bill Wolverton, pokok Spider Plant ini berkemampuan menyingkirkan lebih daripada 95 peratus agen toksik yang boleh menyebabkan anemia, penyakit jantung, dan masalah pernafasan.
Pokok hiasan #4: Pokok pinang
Pokok pinang boleh didapati dalam pelbagai saiz, sama ada yang bersaiz mini dan juga yang boleh membesar setinggi pokok kelapa.
Pokok pinang terkenal dengan ciri penulenan udaranya.
Ia boleh menjadi pilihan pokok yang terbaik untuk mereka yang menghidap penyakit pernafasan seperti resdung, bronkitis, dan asma kerana ia mempunyai kadar transpirasi tertinggi.
Pokok pinang dengan ketinggian 5 hingga 6 kaki boleh mengeluarkan sehingga 946.35 ml wap air ke udara dalam setiap 24 jam.
Pokok hiasan 5: Pokok pandan serani atau dracaena
Pokok pandan serani atau dracaena ini sangat baik dalam menyingkirkan bahan pencemar udara yang berbahaya daripada persekitaran, yang boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.
Menurut kajian, ia juga merupakan tumbuhan yang mujarab untuk menyembuhkan asma.
Selain itu, ia juga boleh mengurangkan bahan pencemar udara seperti benzena, trichloroethylene, formaldehid dan karbon dioksida.
Pokok hiasan luar rumah 6: Pokok Bamboo Palm
Kajian mendapati bahawa tumbuhan seperti pokok Bamboo Palm ini boleh menyerap gas karbon dioksida, VOC, dan gas bukan organik daripada persekitaran, yang mempunyai kesan langsung dan tidak langsung terhadap masalah pernafasan.
Pokok ini juga menjadikan udara lebih segar dengan menghapuskan toksin dan menghilangkan kekeringan, yang ternyata lebih baik untuk kesihatan paru-paru kita.
Pokok hiasan 7: Pokok Peace Lily
Peace lily adalah tumbuhan yang sangat baik yang boleh membantu mengurangkan risiko pelbagai masalah pernafasan.
Ia juga boleh menyerap sebatian aseton yang boleh menyebabkan masalah pertuturan yang tidak jelas, tekanan darah rendah dan juga kelesuan.
Tanam segera di rumah anda
Jangan tunggu lagi. Cuba bertanya dengan rakan-rakan, jiran mahupun ahli keluarga lain sekiranya mereka mempunyai benih tujuh jenis pokok yang telah dinyatakan di atas.
Lebih banyak pokok yang ditanam, maka lebih hijau dan lebih sihatlah rumah anda!