
Bernafas, suatu tindakan yang dilakukan tanpa berfikir. Namun, perbuatan paling mudah dilakukan ini boleh menimbulkan masalah dan menjadi penghalang kepada semua kehidupan. Walau bagaimanapun, kira-kira setengah juta rakyat Malaysia yang menghidap Penyakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD).
Pemegang Amanah Yayasan Paru-paru Malaysia, Datuk Dr Aziah Ahmad Mahayiddin berkata, COPD adalah sejenis masalah paru-paru progresif yang mengehadkan aliran udara ke dalam paru-paru sehingga menyebabkan seseorang berasa seperti sesak nafas.
“Lazimnya ia berpunca daripada pendedahan jangka panjang kepada perengsa seperti asap rokok boleh merosakkan paru-paru dan saluran pernafasan, simptom lain termasuk batuk yang kerap (berkahak atau tanpa kahak), berdehit dan rasa sesak dada.
“Walaupun simptom awal mungkin tidak ketara dan tidak disedari, COPD boleh membawa maut jika tidak diuruskan dengan sewajarnya.
“Inisiatif Global untuk Penyakit Paru-paru Obstruktif Kronik (GOLD) meramalkan bahawa COPD akan menjadi punca ketiga kematian menjelang 2020,” katanya pada World COPD Day: Live Every Breath, hari ini.
Menurut Datuk Dr Aziah , ciri-ciri dan tahap keterukan simptom yang ditunjukkan oleh COPD dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk pendedahan kepada asap rokok, virus dan pencemaran udara menjadikan perjalanan setiap pesakit COPD unik.
“Akibatnya, kaedah “satu pendekatan untuk semua (one size fits all)” terhadap pengurusan penyakit mungkin tidak berkesan kerana penghidap mungkin mempunyai keperluan rawatan berbeza yang boleh berubah-ubah mengikut masa.
“Bagaimanapun, penularan penyakit boleh dilengahkan dengan diagnosis awal, penilaian tepat penyakit dan pengurusan yang sewajarnya,” katanya.
Selain daripada simptom pernafasan, COPD juga dikaitkan dengan pelbagai penyakit seperti disfungsi otot tulang, radang sistemik dan masalah kardiovaskular yang boleh menjejaskan kualiti hidup penghidap dengan ketara. Penghidap COPD juga mungkin hilang selera makan akibat masalah pernafasan dengan 25% hingga 40% penghidap mengalami kekurangan pemakanan berkhasiat.
Tambah Presiden Persatuan Torasik Malaysia, Prof Madya Pang Yong Kek, bagi kebanyakan penghidap COPD, aktiviti harian mungkin membebankan dan meletihkan. Justeru, mereka hendaklan berbincang dengan doktor dan mencari jalan pengurusan yang paling sesuai untuk memenuhi keperluan fizikal dan emosi masing-masing.
“Salah satu langkah paling penting dalam pengurusan COPD adalah berhenti merokok kerana ia mengurangkan kemerosotan fungsi paru-paru.
“Di samping pengambilan ubat-ubatan, pesakit perlu mengamalkan gaya hidup aktif, diet seimbang, kerap bersenam dan mendapatkan rehat yang cukup. Manakala bagi yang kekurangan upaya untuk bersenam, mereka boleh mengikuti program pemulihan pulmonari yang mana mereka diajar kaedah pernafasan yang disesuaikan mengikut keupayaan masing-masing,” Katanya.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.