Seramai kira-kira 384 juta individu menderita penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) di seluruh dunia dan lebih 3 juta kematian adalah disebabkan olehnya pada setiap tahun.
Mungkin ada dalam kalangan kita yang tahu bahawa penyakit ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan paru-paru dan perlu dirawat dengan kadar segera untuk mengelakkan sebarang komplikasi.
Pun begitu, masih ramai yang belum tahu bahawa ia juga mempunyai kaitan dengan aspek penjagaan pemakanan kita. Ada makanan untuk COPD yang perlu kita makan dan perlu kita elak.
Untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, jom sama-sama kita ikuti artikel ini!
Apa itu COPD?
Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, haruslah kita berkenalan dengan penyakit ini terlebih dahulu.
Untuk pengetahuan anda, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) adalah salah satu daripada penyakit paru-paru yang biasa dan mengakibatkan penderitanya mengalami kesukaran untuk bernafas.
Terdapat dua jenis utama COPD, iaitu:
- Bronkitis kronik
- Emfisema
Pun begitu, kebanyakan individu dengan penyakit ini akan menghidapi kombinasi antara kedua-dua kondisi ini.
Apa simptom penyakit ini?
Antara simptom penyakit ini adalah seperti berikut:
- Batuk, dengan atau tanpa kahak
- Pelbagai jangkitan pernafasan
- Kerap sesak nafas (dispnea)
- Kerap mengeluarkan bunyi mendesah
- Keletihan
Namun begitu, kebanyakan individu tidak mengetahui bahawa mereka menghidapi penyakit ini kerana simptom-simptomnya akan berkembang secara perlahan.
Sebaiknya, sila segera berjumpa dengan doktor sekiranya anda mula berasa sesuatu yang pelik terhadap sistem pernafasan anda.
Apa punca penyakit ini?
Penyakit ini adalah berpunca daripada beberapa perkara, termasuklah:
- Merokok
- Kekurangan protein alpha-1 antitrypsin dalam tubuh badan
- Terdedah kepada gas atau asap di tempat kerja
- Terdedah kepada pencemaran atau asap pasif perokok
- Penggunaan dapur memasak yang terlalu kerap tanpa sistem pengudaraan yang baik
Jika anda telah didiagnosis dengan penyakit ini, doktor berkemungkinan besar akan menasihatkan anda untuk menjaga dan mengawal pemakanan anda.
Jadi, makanan apakah yang sesuai atau tidak sesuai untuk anda makan jika menghidap penyakit ini?
Makanan yang bagus dimakan oleh penghidap COPD
- Makanan yang kaya protein seperti yang terdapat dalam daging haiwan pemakan rumput, daging ayam, telur ayam, ikan salmon, ikan sardin dan ikan makerel.
- Makanan yang kaya potasium seperti yang terdapat dalam aprikot, asparagus, tomato, ubi kentang, pisang dan oren
- Karbohidrat kompleks seperti yang terdapat dalam kekacang, barli, ubi kentang dan oat
- Sayur-sayuran dan buah-buahan segar yang mengandungi vitamin, mineral dan serat
Makanan yang perlu dielak oleh penghidap COPD
- Makanan bergaram atau berperisa seperti snek dan makanan ringan
- Makanan bergoreng atau makanan pedas seperti kentang goreng atau ayam goreng
- Coklat yang mengandungi kafein
Ya, penjagaan diet mungkin tidak berkeupayaan untuk memulihkan sepenuhnya penyakit ini namun ia mungkin membantu tubuh badan melawan jangkitan pada dada sekali gus mengurangkan risiko dan komplikasi penyakit ini.
Dalam masa yang sama, tabiat makan yang sihat memang bagus untuk memastikan anda dapat menjalani hidup yang sihat bukan? Jadi, tidak salah untuk anda mengikuti panduan makanan untuk COPD ini!
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga:
- COPD: Penyakit Nombor 3 Menyebabkan Kematian Seluruh Dunia Menjelang 2020
- COPD: Perbezaan Bronkitis Kronik Dan Emfisema
- COPD, Berkait Dengan Tabiat Merokok
- Senaman Pernafasan Membantu Pesakit COPD
- Mengembara Bersama COPD? 8 Tip Yang Diperlukan