Apabila seseorang itu menghidap penyakit asma, dia bukan setakat mengalami sakit itu sahaja. Malah, komplikasi asma itu sendiri boleh mengganggu gaya hidup seseorang. Bagaimana hal ini berlaku?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kesihatan pernafasan, anda boleh klik di sini.
Apakah penyakit asma?
Penyakit asma adalah sejenis penyakit kronik yang berkaitan dengan sistem pernafasan manusia.
Ia menyebabkan keradangan dan penyempitan saluran pernafasan sehingga membuatkan seseorang sukar bernafas.
Antara simptom-simptom jika seseorang itu mengalami asma ialah:
- Mengeluarkan bunyi berdehit sewaktu menarik dan menghembuskan nafas
- Mengalami kesukaran untuk bernafas
- Rasa ketat pada bahagian dada
- Batuk-batuk
Keparahan simptom-simptom ini bergantung kepada individu. Adakalanya, simptom-simptom yang dialami itu boleh mencetuskan serangan asma.
Asma tidak mempunyai ubat penyembuh. Namun, ada beberapa rawatan yang boleh dilakukan supaya asma tidak bertambah teruk.
Jika tidak, akan wujud beberapa komplikasi asma yang boleh mengganggu kehidupan anda di kemudian hari.
Komplikasi asma yang boleh mengganggu kehidupan seharian anda
Penyakit asma sememangnya boleh mengganggu kehidupan kita. Apabila penyakit asma berlaku, kita akan mengalami kesukaran bernafas.
Namun, komplikasi asma juga ternyata boleh mengganggu ketenteraman kehidupan.
Berikut adalah antara komplikasi asma yang boleh berlaku kesan daripada penyakit asma itu sendiri.
Gangguan tidur
Ada beberapa individu yang mempunyai asma akan mengalami simptom-simptomnya pada waktu malam ketika mereka sedang tidur.
Ini kemudiannya akan mengganggu kualiti tidur, seterusnya menyebabkan seseorang itu kekurangan tidur.
Kesannya, individu itu tidak dapat menunjukkan prestasi yang optimum dalam tugas mereka pada waktu siang seperti ketika bekerja.
Apatah lagi jika seseorang itu perlu memandu kenderaan dalam tempoh yang lama. Ia ternyata memberi kesan yang amat buruk.
Aktiviti fizikal
Apabila seseorang individu mempunyai penyakit asma, dia pastinya akan mengelak melakukan beberapa perkara yang boleh menyebabkan serangan asma.
Sebagai contoh, berjalan laju, berjoging atau bersenam. Aktiviti-aktiviti seperti ini pastinya lebih mudah membuatkan seseorang itu mengalami serangan asma.
Dengan itu, individu yang mengalami asma akan mengelakkan diri daripada menjalani kehidupan yang aktif seperti bersenam dan bersukan.
Kesannya, apabila seseorang itu kurang bersenam dan bersukan, ia akan mendedahkan mereka kepada penyakit-penyakit kronik.
Antaranya adalah seperti kencing manis, kemurungan, pertambahan berat badan dan tekanan darah tinggi.
Kesan sampingan ubatan asma
Asma adalah penyakit yang berlaku dalam jangka masa yang panjang dan boleh membawa maut. Oleh itu, beberapa ubat-ubatan akan diberikan bagi mengurangkan simptom-simptom asma.
Ubat-ubatan ini juga mempunyai beberapa kesan sampingannya yang tersendiri. Antaranya ialah:
- Degupan jantung yang laju
- Suara yang serak
- Berlakunya iritasi pada tekak
- Jangkitan yis pada mulut
- Insomnia
- Refluks gastroesophageal
Perubahan laluan udara atau saluran pernafasan
Ada sesetengah individu yang mungkin akan mengalami keradangan kronik yang berterusan akibat daripada penyakit asma.
Kesannya, akan berlaku perubahan struktur secara kekal pada laluan udara.
Ia melibatkan perubahan yang berlaku pada sel dan tisu laluan pernafasan.
Apabila perubahan ini berlaku, maka anda mungkin akan mengalami perkara-perkara seperti berikut:
- Mengalami batuk yang kronik
- Kehilangan fungsi paru-paru
- Penebalan dinding saluran udara
- Peningkatan penghasilan mukus
- Berlaku peningkatan bekalan darah pada laluan udara
Perbezaan komplikasi antara orang dewasa dan juga kanak-kanak
Simptom-simptom asma bagi orang dewasa dan juga kanak-kanak kebanyakannya adalah sama. Namun, kesan komplikasi asma itu boleh berlaku secara berbeza-beza.
Bagi golongan kanak-kanak, komplikasi asma biasanya boleh menyebabkan pertumbuhan yang terbantut.
Selain itu, ia juga boleh menyebabkan risiko yang lebih tinggi bagi mereka untuk mendapat gangguan pembelajaran.
Bagi orang dewasa pula, ia akan menyebabkan mereka kerap jatuh sakit selain berisiko tinggi untuk mendapat kemurungan.
Namun, ada juga kesan yang boleh berlaku kepada kedua-dua golongan ini. Antaranya ialah penyempitan tiub bronkial, kesan ubat-ubatan, berisiko untuk menjadi obes dan batuk yang berlarutan.
Bagaimana komplikasi asma ini boleh berlaku?
Terdapat banyak punca bagaimana komplikasi-komplikasi ini boleh berlaku. Salah satunya ialah pendedahan yang kerap terhadap bahan-bahan perengsa dan juga alergen.
Antara bahan-bahan perengsa dan alergen yang boleh mencetuskan komplikasi asma adalah seperti habuk, debu, asap rokok dan juga bahan pencuci lantai.
Selain itu, ada juga individu yang mengalami komplikasi asma ini setelah melakukan aktiviti fizikal seperti bersukan atau bersenam.
Bukan itu sahaja, faktor-faktor emosi dan perubatan juga boleh memicu komplikasi asma untuk berlaku.
[embed-health-tool-bmi]