Walaupun usia kronologi sering menggambarkan usia tubuh badan manusia secara menyeluruh dari sudut pandang umum, namun kajian sains menunjukkan ada perbezaan pada proses penuaan yang berlaku.
Secara amnya, kita tahu bahawa pergerakan masa berbeza mengikut kekuatan tarikan graviti.
Perkara ini telah dinyatakan di dalam teori kerelatifan am yang diusulkan oleh Albert Einstein pada tahun 1907 hingga 1915.
Ia telah dibuktikan melalui beberapa eksperimen yang membandingkan kelajuan masa pada permukaan bumi dan roket yang terbang tinggi di angkasa.
Hukum alam ini terpakai bagi semua benda termasuklah hidupan seperti manusia.
Berdasarkan kepada teori tersebut, oleh sebab kedudukan kepala kita jauh lebih tinggi daripada kaki, maka kita boleh simpulkan; kepala adalah lebih tua berbanding dengan usia kaki.
Menarik, kan? Teruskan membaca jika anda ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Perbezaan yang tidak begitu ketara, kepala sememangnya lebih tua berbanding dengan kaki
Subjek penuaan sememangnya sensitif bagi setiap individu.
Maklumlah, anda pasti berasa tersipu-sipu bangga jika seseorang meneka usia anda jauh lebih muda berbanding dengan usia sebenar.
Begitu juga jika seseorang meneka usia anda jauh lebih tua berbanding usia sebenar. Pasti anda berasa sedikit kecewa meskipun muka masih mengukir senyuman.
Walaupun teori saintifik jelas menunjukkan kepala manusia sebenarnya lebih tua berbanding dengan kaki, perbezaan di antara keduanya tidaklah begitu ketara.
Oleh sebab itulah proses penuaan kelihatan sama rata di seluruh badan walau terdapat perbezaan usia sebenar kesan daripada perbezaan daya tarikan graviti yang dialami.
Jika seseorang itu berusia 79 tahun, perbezaan usia di antara kepala dan kaki hanyalah 90 nano saat.
Meskipun perubahan masa bagi kaki dan kepala tampak langsung tidak ketara, ia membuktikan kebenaran fakta yang pernah diusulkan oleh Einstein suatu ketika dahulu.
Mengapa perkara ini penting? Seperti yang anda semua sedia maklum, manusia kini sedang giat mencari jalan bagi merealisasikan impian pengembaraan angkasa.
Pada masa akan datang, jangan terkejut jika pelancongan ke planet-planet di sekitar sistem suria menjadi realiti.
Oleh sebab setiap planet mempunyai tarikan graviti yang tersendiri, perkara ini sudah semestinya boleh mengubah corak penuaan yang dialami oleh mereka yang berada pada planet tertentu.
Maka, dari sudut kesihatan, topik ini merupakan satu fenomena atau isu yang menarik walaupun secara praktikalnya, kita belum pernah menemui manusia yang jauh lebih muda daripada usianya kesan daripada pengembaraan angkasa.
Ia memberikan perspektif baharu berkenaan dengan proses penuaan dan bagaimana ia boleh dipengaruhi oleh selain daripada faktor konvensional.
Paradoks kembar, analogi hukum kerelatifan masa terhadap tubuh badan manusia
Terdapat beberapa eksperimen yang telah dijalankan bagi membuktikan kebenaran fakta di sebalik fenomena kerelatifan masa.
National Institute of Standards and Technology (NIST) pernah menjalankan eksperimen dilasi masa bagi membuktikan kebenaran di sebalik kelajuan masa yang berubah mengikut graviti.
Mereka menggunakan sepasang jam atomik eksperimental yang merupakan jam paling tepat di seluruh dunia.
Ia boleh digunakan bagi melihat jika terdapat perbezaan masa walau sekecil manapun di antara dua situasi berbeza dalam kajian manusia.
Secara umumnya, terdapat dua senario pernah dijalankan menggunakan jam tersebut untuk membuktikan kerelatifan masa mengikut keadaan semasa.
Pada senario pertama, kedua-dua jam tersebut diletakkan pada kedudukan yang mempunyai daya tarikan graviti berbeza.
Satu diletakkan pada ketinggian 1 kaki (kira-kira 33cm) lebih tinggi berbanding dengan jam atomik yang lain.
Seperti apa yang diusulkan dalam teori kerelatifan am, jam yang berada pada kedudukan tinggi sememangnya bergerak lebih laju.
Pada senario kedua pula, saintis membuat pemerhatian bahawa subjek yang bergerak akan mengalami kadar pergerakan masa yang lebih perlahan.
Fenomena ini dikenali sebagai paradoks kembar. Seorang kembar yang bergerak laju di dalam roket akan pulang lebih muda berbanding dengan pasangan kembar yang tidak (atau kurang) bergerak.
Namun, oleh sebab perbezaan pada pergerakan manusia tidaklah begitu ketara, proses penuaan juga tidaklah signifikan. Melainkan seseorang itu boleh berlari menghampiri kelajuan cahaya persis The Flash.
Apakah impak dapatan kajian tersebut dari sudut kesihatan tubuh badan manusia?
Proses penuaan tubuh badan merupakan satu fenomena yang boleh dipengaruhi oleh pelbagai jenis faktor genetik dan persekitaran.
Pemakanan, senaman, tidur dan sebagainya, semuanya merupakan faktor konvensional yang boleh mempengaruhi proses penuaan manusia.
Namun, siapa sangka, tarikan graviti dan kelajuan subjek juga merupakan antara faktor-faktor yang boleh mempengaruhi kadar penuaan seseorang.
Bayangkan mereka yang bekerja di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), adakah mereka bakal pulang jauh lebih muda berikutan pergerakan stesen tersebut pada kelajuan 27,000 km per jam?
Secara teorinya perbezaan masa di antara pekerja di ISS dan mereka yang berada di bumi tidaklah begitu ketara memandangkan stesen tersebut tidak bergerak pada kelajuan cahaya.
Namun, ia merupakan prospek yang menarik untuk diterokai.
NASA pernah membuat kajian berkaitan dengan kesan pengembaraan angkasa terhadap proses penuaan manusia melibatkan dua orang kembar, Scott dan Mark Kelly.
Scott telah terbang untuk misi 1 tahun di stesen angkasa manakala Mark tinggal di bumi.
Hipotesis asal adalah Scott akan pulang lebih tua berbanding dengan Mark.
Ia berikutan beliau akan terdedah kepada faktor yang boleh mempercepatkan proses penuaan seperti graviti mikro, paras karbon dioksida yang tinggi di ISS, isolasi dan pendedahan terhadap sinaran kosmik galaksi.
Namun, kajian terhadap kepanjangan telomere, komponen pada struktur DNA yang memendek apabila individu dimamah usia, menunjukkan dapatan yang sebaliknya.
Telomere pada DNA Scott adalah lebih panjang berbanding dengan Mark!
Adakah ini bermakna kelewatan proses penuaan berlaku berpandukan kepada teori kerelatifan khas?
Mungkin, namun masih awal untuk kita membuat konklusi. Apa yang kita tahu sesuatu fenomena biologi itu tidak hanya dipengaruhi oleh satu hukum alam.
Kajian lanjut boleh membantu kita untuk lebih memahami proses penuaan dan kaitannya dengan pengembaraan angkasa suatu hari nanti.
[embed-health-tool-bmi]