backup og meta

Nak Sentiasa Nampak Awet Muda & Lambatkan Proses Penuaan, Cuba Minum Jus Mengkudu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 31/05/2022

    Nak Sentiasa Nampak Awet Muda & Lambatkan Proses Penuaan, Cuba Minum Jus Mengkudu!

    Dalam kalangan orang muda, mungkin ramai lagi yang masih tidak mengetahui berkenaan khasiat mengkudu. Bahkan mungkin ramai juga yang tidak mengenali bagaimana rupa bentuk mengkudu itu.

    Namun, tahukah anda, salah satu daripada kebaikan jus mengkudu adalah disebabkan kandungan antioksidan di dalamnya.

    Ikuti penerangan lanjut mengenainya di bawah ini.

    Baca lebih lanjut tentang Pemakanan Sihat di sini.

    Nutrisi buah dan khasiat mengkudu

    jus mengkudu

    Dalam bahasa Latinnya, ia disebut sebagai Morinda citrifolia dan dalam Bahasa Inggeris, ia disebut sebagai Noni. Pohon ini banyak tumbuh di kawasan sekitar Asia Tenggara.

    Rasanya pula amatlah pahit dan buah ini mengeluarkan bau yang amat kuat terutamanya bagi buah yang telah masak.

    Dalam jualan secara komersial di negara-negara barat, buah ini dijadikan jus dan dicampurkan dengan beberapa jus buah lain bagi menghilangkan rasa pahit dan baunya yang kuat.

    Jus mengkudu mengandungi kandungan karbohidrat, vitamin C, biotin dan juga folat.

    Kandungan vitamin C yang terdapat dalam jus ini sememangnya bermanfaat untuk kecantikan kulit dan juga kesihatan imun tubuh.

    Selain itu, kandungan biotin dan juga folat di dalamnya membantu menukarkan makanan yang dimakan kepada bentuk tenaga untuk keperluan tubuh. 

    Jus mengkudu kaya antioksidan

    Selain daripada jus-jus seperti jus oren dan jus blueberi, jus mengkudu juga sebenarnya amat tinggi dengan kandungan antioksidannya.

    Bagi mereka yang tidak tahu, antioksidan berperanan mengelakkan kerosakan sel tubuh yang disebabkan oleh molekul yang bernama radikal bebas.

    Tubuh badan kita memerlukan kandungan radikal bebas dan antioksidan yang seimbang bagi mengekalkan kesihatan yang optimum.

    Jenis antioksidan yang paling utama dalam kandungan jus mengkudu ialah beta karoten, iridoid, vitamin C dan vitamin E.

    Dalam kajian makmal, iridoid ini menunjukkan aktiviti antioksidan yang kuat, namun masih banyak kajian diperlukan bagi melihat kesannya terhadap tubuh badan manusia.

    Makanan atau minuman yang kaya dengan antioksidan seperti jus mengkudu ini boleh membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung dan juga kencing manis.

    Khasiat mengkudu lain yang jarang diketahui

    khasiat mengkudu

    Selama ribuan tahun, buah mengkudu telah digunakan sebagai salah satu ubatan tradisional disebabkan kesannya sebagai pelega kepada kesakitan yang dialami.

    Bahkan, kajian menunjukkan kesannya yang sama terhadap manusia.

    Dalam satu kajian yang dilakukan selama 1 bulan, jus mengkudu didapati telah mengurangkan kesakitan yang dialami oleh mereka yang mempunyai sakit sendi tulang belakang.

    Ia juga telah memberikan kelegaan total terhadap sakit leher dalam kalangan 60% peserta kajian.

    Kesemua mereka ini telah mengambil kira-kira 15 mililiter jus mengkudu dua kali dalam sehari.

    Selain itu, ia juga telah mengurangkan sakit sendi dalam kalangan mereka yang mempunyai osteoarthritis setelah mereka mengambil jus ini dalam tempoh 90 hari.

    Sakit sendi atau arthritis biasanya berpunca daripada keradangan yang berlaku selain tekanan oksidatif.

    Jus mengkudu mungkin telah bertindak sebagai pelega semula jadi bagi mengurangkan keradangan tersebut selain melawan radikal bebas dalam tubuh.

    Selain daripada kandungan antioksidan dan juga peranannya dalam sakit sendi, ia juga membantu menyokong kesihatan imun tubuh anda.

    Kebanyakannya disebabkan oleh kandungan vitamin C yang tinggi di dalam kandungan jus buah ini.

    Vitamin C bertindak menyokong sistem imun tubuh dengan melindungi sel tubuh daripada kerosakan radikal bebas dan toksin persekitaran.

    Selain itu, kandungan beta karoten dalam jus ini juga mempunyai peranan yang sama dengan vitamin C tersebut.

    Satu kajian ada menyatakan, individu yang meminum kira-kira 330 mililiter jus mengkudu setiap hari berjaya meningkatkan aktiviti sel imun dalam tubuh mereka selain mengurangkan paras tekanan oksidatif. 

    Semak dahulu botol jus, elak khasiat mengkudu hilang

    Kandungan antioksidan, vitamin C dan beta karoten yang tinggi menjadikan jus ini berkemampuan mengurangkan keradangan yang dialami selain melawan kerosakan sel akibat daripada radikal bebas.

    Ia juga dikatakan mempunyai beberapa manfaat lain seperti menyokong kesihatan jantung dalam kalangan perokok dan juga meningkatkan daya tahan semasa bersenam.

    Namun, ia masih memerlukan kajian lanjutan bagi menyokong manfaat ini dengan lebih kuat.

    Jika anda ingin membeli jus sedia ada yang telah dipasarkan di pasaran, anda perlu melihat kepada kandungannya terlebih dahulu.

    Ini kerana, kebanyakan daripada jenama jus buah mengkudu yang terdapat di pasaran mungkin mengandungi hanya sedikit kandungan jus tersebut kerana telah dicampurkan dengan jus buah-buahan lain.

    Selain itu, jus yang dijual di pasaran juga mungkin mengandungi kandungan gula yang tinggi, yang semestinya sangat tidak elok untuk kesihatan anda.

    Jika anda ada menanam pokok mengkudu, adalah lebih baik untuk anda memetik dan menjadikannya sebagai jus tanpa sebarang bahan tambahan lain berbanding membeli jus di pasaran.

    Secara umumnya, pengambilan jus ini adalah selamat namun jangan sesekali mengambilnya dengan jumlah yang berlebihan untuk mengelakkan sebarang masalah lain yang mungkin timbul. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 31/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan