Pasti ramai yang tahu akan peranan vitamin C untuk kulit cantik.
Ada sebabnya ia menjadi bahan wajib dalam pelbagai produk kecantikan, salah satunya adalah keberkesanannya untuk membuatkan kulit wajah tampak lebih cantik dan berseri.
Vitamin C atau turut dikenali sebagai asid askorbik merupakan sejenis vitamin larut air yang mempunyai pelbagai fungsi.
Ia bukan sahaja dapat melindungi sel badan dan memastikannya kekal sihat, malahan vitamin C juga penting dalam penyembuhan luka.
Badan kita tidak dapat menghasilkan vitamin C dengan sendirinya. Oleh sebab itu, ia perlu diambil dalam bentuk suplemen atau melalui makanan.
Selain itu, makanan yang mengandungi vitamin C juga perlu dimasak dengan betul supaya vitamin ini tidak terlerai disebabkan suhu yang tinggi.
Kita memerlukan pelbagai nutrisi untuk kekal sihat dan cantik. Namun, vitamin C mempunyai kepentingannya yang tersendiri, terutamanya untuk kesihatan kulit.
Malah, ia juga mempunyai banyak lagi kelebihan lain selain menguatkan sistem imun badan.
Jika anda ingin mempunyai kulit yang cantik, ada beberapa makanan yang sangat berkhasiat dan mengandungi vitamin C yang tinggi.
Nak tahu lebih lanjut? Jom teruskan pembacaan anda!
6 makanan yang mengandungi vitamin C untuk kulit cantik
Untuk memastikan kulit nampak berseri, kami telah sediakan 6 makanan yang mengandungi vitamin C untuk kulit cantik.
Jadi, tunggu apa lagi! Selepas ini, jangan lupa untuk masukkan makanan ini ke dalam diet anda setiap hari.
1. Buah oren untuk kulit cantik
Apabila bercakap mengenai vitamin C, buah oren pasti akan terlintas di fikiran kita.
Buah oren bukan sahaja akan membuatkan kulit kita nampak cantik dan awet muda, ia juga mengandungi bahan yang menggalakkan penghasilan kolagen. Jadi, buah oren juga dapat melambatkan proses penuaan.
Malah, asid sitrik yang terkandung di dalam buah ini juga dapat membantu melawan masalah kulit berminyak dan berjerawat.
Sebab itulah, ramai yang gunakan kulit oren sebagai skrub wajah. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kulit oren mempunyai lebih banyak vitamin C berbanding buah oren itu sendiri!
Jadi, kalau anda inginkan wajah yang lebih cantik berseri, cuba gunakan kulit oren sebagai salah satu bahan dalam skrub wajah.
Tetapi, ingat ya, jangan skrub muka secara berlebihan! Cukup seminggu sekali.
2. Minum jus buah tomato
Selain buah oren, buah tomato juga kaya dengan vitamin C.
Walau bagaimanapun, buah tomato mempunyai satu lagi bahan tambahan yang dikenali sebagai likopena. Bahan ini dapat melindungi kulit daripada sinaran UV yang berbahaya.
Bukan itu sahaja, tomato juga mempunyai efek antiradang yang amat baik untuk mereka yang mempunyai masalah kulit kusam dan kemerah-merahan.
Untuk mendapatkan khasiat yang terbaik daripada buah tomato, cuba minum jusnya sehari sekali.
Bukan kulit anda sahaja yang akan menjadi cantik, badan kita juga akan menjadi sihat dan lebih bertenaga!
3. Pilih brokoli sebagai vitamin C untuk kulit cantik
Siapa sangka sayuran hijau seperti brokoli mengandungi banyak vitamin C.
Bukan itu sahaja, antioksidan yang terkandung di dalam brokoli juga didapati boleh memperlahankan proses penuaan.
Pengambilan brokoli boleh meningkatkan penghasilan glucoraphanin. Badan kita akan menukar glucoraphanin kepada sulforaphane, yang memainkan peranan penting untuk memperbaiki kulit yang rosak.
Sama seperti tomato, brokoli juga dapat melindungi kulit kita daripada sinaran UV yang berbahaya.
Jadi, jika anda inginkan pelindung matahari semula jadi, makan sahaja salad yang mengandungi brokoli dan tomato!
4. Makan buah kiwi sebagai pencuci mulut
Siapa yang tidak suka buah kiwi? Rasanya yang sedap dan manis amat sesuai dijadikan pencuci mulut selepas makan.
Namun, mungkin ramai yang tidak tahu, buah kiwi mengandungi banyak vitamin C untuk kulit cantik.
Buah kiwi juga mengandungi serat yang dapat melancarkan sistem pencernaan.
Dalam masa yang sama, ia dapat menyingkirkan toksin dari badan dan membuatkan kulit lebih sihat, cantik dan bebas jerawat!
5. Buah strawberi untuk glass skin!
Inginkan kulit cantik dan berseri seakan-akan artis Korea? Haa, jus buah strawberilah rahsianya!
Buah strawberi bukan sahaja kaya dengan vitamin C, ia juga mengandungi magnesium dan potassium yang dapat memperbaiki rona wajah.
Buah ini juga mengandungi asid alpha-hydorxy yang amat penting untuk membuang sel kulit mati.
Jadi, jika anda inginkan kulit seperti bayi, tambahkan buah strawberi dalam diet anda.
6. Buah nanas untuk vitamin C tambahan
Buah nanas merupakan salah satu makanan super yang kaya dengan vitamin C dan antioksidan.
Segelas jus nanas mengandungi banyak khasiat yang dapat membantu melawan masalah jerawat, melindungi kulit daripada cahaya matahari dan memastikan kulit awet muda.
Ingin minum jus nanas? Cuba tambahkan beberapa hirisan lemon sebagai tambahan vitamin C untuk kulit cantik.
Kesimpulan
Tidak dinafikan, diet memainkan peranan penting untuk kulit yang cantik, terutamanya pengambilan vitamin C yang penting untuk kesihatan kulit.
Cara yang terbaik untuk memastikan anda mendapat vitamin C yang mencukupi adalah melalui pemakanan yang seimbang.
Tidak ada salahnya jika anda ingin mengambil suplemen, tetapi jangan ambil terlalu banyak kerana ia boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit.
Mengambil vitamin C kurang daripada 1000 mg sehari tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepada badan. Namun, 40 mg vitamin C sehari sudah cukup untuk orang dewasa berusia 19 hingga 64 tahun.
[embed-health-tool-bmr]